Tanam sifat usahawanjaya ketika makan gaji

By | 13/05/2013
Apa saja kerja anda, berfikirlah sebagai usahawan

Adakah anda adalah pekerja yang tidak berjaya dalam kerjaya makan gaji kerana mempunyai tabiat yang buruk lalu berhasrat berhenti kerja untuk menjadi usahawan?

Kalau anda begitu, nanti dulu!. Fikirkan semula untuk berhenti kerja dan berniaga. Kerana saya yakin jika anda gagal beraksi baik dalam kerjaya makan gaji, anda juga bakal gagal jika berniaga.

Kejayaan adalah satu tabiat. Mereka yang mempunyai banyak tabiat yang membawa kepada kejayaan akan berjaya melakukan apa saja usaha samada makan gaji atau berniaga.

Sementara anda masih ada kerja dan majikan masih belum membuang, elok perbetulkan diri dan gunakan landasan kerja yang anda ada sekarang untuk tanam ciri-ciri usahawan jaya seperti berikut:

  1. Jangan berfikir seperti seorang yang makan gaji. Sebaliknya berfikirlah sebagai seorang usahawan. Anda sebenarnya sedang menawarkan khidmat atau kemahiran yang anda ada pada pelanggan anda dan terma bayaran yang ditawarkan adalah bulanan.
  2. Senaraikan tugasan dan tanggung jawab anda. Jika anda tidak jelas dengan tugasan sebenar, bagaimana anda dapat anda tunaikan apa yang dijangkakan pada anda?. Malang bagi mereka yang sudah bekerja bertahun-tahun tetapi masih tidak jelas apa tugasan atau tanggung jawabnya.
  3. Kenal pasti siapa pelanggan anda yang sebenar. Daripada tugasan, anda dapat kenal pasti pada siapakah hasil kerja anda disalurkan. Mereka yang memerlukan khidmat anda merupakan pelanggan yang perlu dijaga sebaik mungkin agar mereka berpuas hati dengan kerja yang dilaksanakan.
  4. Dekati pelanggan dan memahami mereka. Lain orang l;ain pula perangainya. Cara terbaik untuk memahami adalah dengan menjadikan pelanggan sebagai kawan baik anda. Lebih rapat anda dengan mereka maka lebih mudah anda memberikan khidmat sebagaimana yang mereka jangkakan.
  5. Senaraikan keperluan minimum. Apakah jangkaan paling minima yang pelanggan ada harapkan. Buat senarainya dan penuhi tanpa kompromi. Selagi jangkaan minima ini tidak dipenuhi, anda perlu berusaha gigih sehingga dapat.
  6. Berikan perkhidmatan yang konsisten. Setelah anda berjaya menunaikan sebarang kerja pada tahap asas, jadikan ianya sebagai satu standard gaya kerja anda. Berikan mesej pada semua pelanggan abahawa hasil kerja anda sentiasa konsisten. Di tahap ini, anda sebenarnya telah mula membina jenama diri anda.
  7. Berikan lebih sedikit daripada jangkaan. Menunaikan kerja atau tanggung jawab secara lengkap hanya melayakkan anda dibayar gaji. Untuk melayakkan anda dinaikkan gaji, anda perlu memberikan lebih sedikit daripada apa yang pelanggan jangkakan.
  8. Jangan tolak kerja lebih. Fikiran makan gaji akan memberikan seribu satu alasan untuk menolak sebarang tambahan tugasan. Sebaliknya fikiran usahawan melihat itu semua adalah satu peluang.Ini akan membuatkan anda belajar cara menyelesaikan kerja dengan lebih pantas tanpa merosakkan reputasi anda. ia juga akan mengajar anda menguruskan kerja melalui kumpulan ayang anda ada.
  9. Jangan terima tugasan yang diluar daripada skop kerja anda. Oleh kerana anda terlalu cekap dan setiap kerja yang diberikan akan habis dan sempurna malah lebih dari jangkaan, jangan pula anda terima kerja yang diluar daripada bidang kerja. Contohnya jangan ambil tugasan cuci longkang kilang yang tersumbat sedangkan anda adalah seorang perancang pengeluaran.
  10. Sentiasa intai peluang. Fikiran seorang usahawan sentiasa terbuka untuk sebarang kemungkinan peluang baru. Untuk itu membuat jaringan seluas mungkin merupakan satu perkara yang perlu anda usahakan. Kenali semua orang di berbagai jabatan membuatkan anda popular disamping memudahkan urusan anda.
  11. Pertimbangkan untuk mengubah terma bayaran. Seandainya anda berjaya melakukan segala yang saya sebutkan di atas, percayalah anda sudah pasti menjadi pekerja yang berharga untuk syarikat. Untuk melangkah setapak lebih dekat sebagai ushawan, bincangkan terma bayaran berbeza jika ada peluang. Mungkin anda boleh mohon bayaran berdasarkan progres kerja berbanding bulanan. Maknanya anda minta menjadi vendor kepada majikan anda sekarang!
Jangan lepaskan peluang untuk membina tabiat kejayaan ketika anda sedang makan gaji. Tidak ada perkara yang lebih menguntungkan berbanding mereka yang dibayar untuk belajar dan membaiki diri menjadi lebih berjaya.
Bagi mereka yang berjaya melakukan semua perkara di atas, samada anda terus makan gaji atau menjadi ushawan dalam bidang apapun, Insyallah!, kejayaan pasti milik anda!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Tanam sifat usahawanjaya ketika makan gaji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge