Teknik ajaib meringkaskan cara berkawan

By | 30/10/2012

Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup adalah dengan berkawan. Kesemua kajian yang dijalankan terhadap penduduk yang umur mereka panjang dan sihat walaupun umur telah lanjut menunjukkan salah satu ciri yang mesti ada pada mereka adalah menjalani kehidupan sosial yang positif. Maknanya mereka masyarakat yang menjaga perhubungan silaturahim.

Berkawan itu perlu tetapi memilih kawan juga perlu agar kita dilingkungi oleh kawan-kawan yang membantu memperbaiki diri kita agar apa yang kita impikan tercapai dengan lebih mudah cepat dan ringkas. Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk mengoptimumkan aktiviti berkawan.

Berikut saya cadangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk meringkaskan keperluan berkawan dengan menggunakan prinsip Pareto:

  1. Prinsip pareto mengatakan hanya 20% sahaja (lebih atau kurang) daripada kawan-kawan yang memberikan 80% daripada manafaat yang kita kehendaki. Manakala lebihan 80% lagi daripada kawan-kawan yang ada hanya memberikan 20% sahaja daripada manafaat.
  2. Tinggalkan 80% daripada kawan-kawan yang kurang mendatangkan manafaat pada kita. Bermakna masa yang banyak dapat diluangkan untuk memberikan fokus yang lebih pada 20% kawan yang banyak mendatangkan manafaat. Ini tidak merugikan jika dilihat kita hanya hilang 20% manafaat sedangkan keuntungan masa mencapai lebih dari 80%.
  3. Seterusnya, hendaklah merapatkan lagi hubungan dengan baki 20% kawan-kawan yang berharga tadi dan tambahkan jumlah mereka yang memiliki ciri-ciri yang sama. Ini akan menambahkan manafaat yang kita kehendaki dengan lebih besar dan mempercepatkan matlamat kita.
  4. Bagaimana dapat kita aplikasikan:
    1. Tentukan matlamat yang hendak dicapai dengan berkawan. Jika kita mahu menjadi usahawan yang berjaya, maka fikirkan siapa kawan-kawan yang selama ini kita bersosial dalam mencapai matlamat tersebut.
    2. Senaraikan kesemua kawan-kawan yang sering kita hubungi selama ini dalam menjalani usaha menjadi usahawan berjaya.
    3. Semak dengan terperinci sumbangan daripada setiap kawan-kawan tersebut dalam membantu kita menjadi usahawan berjaya. jangan tinggal satupun segala sumbangan mereka samada peluang yang diberikan, nasihat, tunjuk ajar atau galakan.
    4. Jika kita perhatikan hanya dalam 20% saja kawan-kawan yang sering membantu kita dan selainnya hanya membuang masa dan kadangkala melemah semangat kita tanpa membantu malah ada yang lebih suka mengutuk dan mengecilkan kebolehan kita.
    5. Berikan komitmen yang lebih untuk mendampingi kawan-kawan yang masuk dalam lingkungan 20% tersebut. Ini dapat dilakukan dengan meninggalkan 80% daripada kawan-kawan kita yang kurang bermanafaat tadi, sekaligus membebaskan masa kita dengan banyak.
    6. Perhatikan apakah ciri-ciri kawan yang termasuk dalam lingkungan 20% tadi dan tetapkan ciri-ciri itu sebagai kriteria untuk anda memilih kawan baru.

Tidak meluangkan masa dengan kawan-kawan yang kurang bermanafaat tadi bukan mermakna kita membenci mereka, cuma kita bersikap objektif dalam menentukan masa dengan siapa kita bersama. Jika mereka meminta bantuan atau lain-lain perkara penting jangan pula kita lupakan mereka.

Jika kita amalkan teknik ini, kita akan dapati kehidupan kita lebih ringkas dan sederhana dalam masa yang sama amat bermakna serta tidak membuang masa. Umur manusia terlalu pendek untuk membuat semua perkara dan masa tidak cukup untuk berkawan dengan semua orang. Selamat mencuba!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge