Tiada sesiapa yang berjaya uruskan masa!

By | 23/03/2013
Ramai orang sekarang yang hidup di zaman serba maju ini bercakap tentang pengurusan masa. Dalam bahasa orang putih mereka panggil ‘Time Management’.

Jika anda tertanya-tanya kenapa saya melawan arus bercakap seolah-olah sia-sia berusaha menguruskan masa, nanti dulu! ini bukan ajaran songsang!. Ia hanyalah mainan ayat.

Cuba fikirkan betul-betul. Setiap orang di dunia ini diberikan masa yang sama. Samada anda miskin atau kaya, barat atau utara, timur atau selatan, Melayu atau Jawa…anda semua mendapat 24 jam sehari. Tidak lebih dan tidak kurang.

Sehebat mana pun anda, masa itulah juga yang anda ada dan jika anda berusaha menguruskan masa, anda hanya akan dilanda kekecewaan.

Kita tak boleh uruskan masa sebaliknya kita hanya boleh uruskan apa yang kita buat dengan masa terhad yang diberikan pada kita.

Jadi persoalan utama di sini adalah apakah perkara utama yang perlu kita buat? Untuk memahami sedikit sebanyak tentang masalah ini mari kita ikuti sebuah cerita yang disampaikan oleh Abu Juhaifah atau nama sebenarnya Wahab bin Abdullah.

Beliau melaporkan, “Nabi Muhammad mempersaudarakan antara Salman dengan Abu Darda’. Salman melawat Abu Darda’ dan dia melihat Ummu Darda’ (isteri kepada Abu Darda’) berpakaian selekeh. Dia bertanya, ‘Mengapa Puan?’. Jawab Ummu Darda’, ‘Saudara kamu Abu Darda’ itu tidak mahukan dunia lagi.’

Kemudian Abu Darda’ datang lalu menyediakan makanan untuk Salman. Abu Darda’ berkata kepadanya, ‘Makanlah, saya puasa.’. Salman berkata, Saya tidak makan sehinggalah saudara makan’. Abu Darda’ pun makan.

Apabila tiba waktu malam, Abu Darda’ hendak bangun. Salman berkata kepadanya, Tidurlah.’ Abu Darda’ pun tidur semula. Kemudian Abu Darda’ hendak bangun lagi. Salman berkata kepadanya, ‘Tidurlah.’ Abu Darda’ pun tidur semula.

Apabila waktu penghujung malam, Salman berkata kepada Abu Darda’, Bangunlah sekarang.’ Mereka berdua bersembahyang berjemaah bersama.

Kemudian Salman berkata kepadanya, ‘ Saudara ada tanggungjawab kepada Tuhan yang saudara mesti tuniakan, saudara ada tanggungjawab kepada diri saudara sendiri yang mesti saudara tuniakan, dan saudara ada tanggungjawab kepada keluarga saudara yang mesti saudara tunaikan. Oleh itu saudara tunaikanlah tanggungjawab kepada yang berhak itu.’

Kemudian, Salman datang berjumpa Nabi Muhammad dan memberitahu beliau apa yang berlaku. Nabi Muhammad menjelaskan, ‘Salman betul.’ – Direkodkan oleh Bukhari.

Hadith di atas memberikan panduan yang cukup cantik untuk kita renungkan bersama.

Jika anda bertanya apakah yang lebih penting antara beribadah sebagaimana yang Abu Darda’ mahu lakukan berbanding ‘pulun cari duit’ sebagaimana yang sibuk kita lakukan sekarang, tentu kita semua setuju, apa yang Abu Darda’ mahu lakukan jauh lebih utama.

Sekarang mari kita bertanya, kenapa kita pulun cari duit sehingga tak cukup tanah, kerja siang malam, terlepas pandang hal ehwal keluarga dan terlepas pandang hal ehwal kesihatan diri kita dan lain-lain?.

Uruskan apa yang kita buat dengan masa yang ada
Ideanya di sini adalah untuk kita menguruskan apa yang kita perlu buat dalam masa 24 jam yang diberikan oleh Allah kepada kita. Umumnya sebagaimana panduan dari Hadith di atas adalah:

  • Tunaikan tanggungjawab pada Tuhan – Masa yang diperuntukkan untuk ibadah. Dalam bab ini hanya solat dan haji sahaja yang memerlukan masa yang tidak boleh dicampur adukkan dengan benda lain. Ibadah seperti puasa, zikir, zakat dan lain-lain boleh digabungkan dengan aktiviti cari makan. 
  • Tunaikan Tanggungjawab pada Keluarga – Masa untuk mengadakan diri hadir bersama mereka juga tidak boleh dicampur adukkan dengan benda lain.
  • Tunaikan tanggungjawab pada diri sendiri – Dalam bab diri sediri kita perlu melihat pada beberapa perkara penting yang memerlukan masa. Antaranya adalah:
    • Cari rezki untuk tanggungan
    • Ilmu
    • Kesihatan
    • Kebajikan (termasuk senyum dan mendengar masalah kawan)
Mungkin para pembaca dapat mengolah lebih jauh lagi idea yang saya cuba sampaikan di atas. Yang pentingnya kita perlu tahu menguruskan apa yang kita buat dengan masa.
Dengan ilmu kita dapat memilih apa yang paling penting antara yang penting dan seterusnya kita dapat menghasilkan benda yang banyak dengan usaha dan masa yang sedikit.
Ingat! kita tidak dapat melakukan semua perkara walaupun rasanya terlalu banyak yang kita mahu lakukan. Hanya mereka yang bijak memilih apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan sahaja akan pergi jauh ke depan.
Jika kita faham semua itu kita tentu dapat kunci jawapan kenapa ada orang yang kaya raya, kenapa ada yang miskin papa kedana sedangkan semuanya diberikan masa 24 jam sehari sama banyak.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge