Tips praktikal menghadapi masalah

By | 05/07/2012
problem

Semua orang yang waras punyai masalah. Hanya orang gila sahaja yang tidak merasa masalah kerana masalah ada hubungkait dengan akal.

Bila akal tak berfungsi samada semua benda jadi masalah atau tiada satu bendapun yang akan jadi masalah. Bagi kita yang waras masalah diperlukan sebagai salah satu alat membina kekuatan dan membetulkan keadaan.

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita cuba lihat apa yang didefinisikan sebagai masalah. Jika kita rujuk kamus, perkataan ‘masalah; dikatakan sinonim dengan:

  • Kesulitan
  • Kerumitan
  • Kesukaran
  • Kemusykilan
  • Persoalan
  • Isu
  • Hal
Semua perkataan di atas menggambarkan makna masalah. Masalah merupakan satu isyarat tubuh badan yang disalurkan ke akal untuk memberitahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Bila kita terseliuh, badan akan memberikan isyarat kesakitan di mana ia mengharapkan agar kita berbuat sesuatu. Begitu jugalah dalam lain-lain masalah fizikal, masalah adalah terjemahan otak agar kita bertindak.
Cuba bayangkan jika fungsi seperti itu tidak ada dalam diri kita, sudah tentu tidak ada usaha awal untuk kita memperbetulkan keadaan dan seluruh anggota fizikal kita akan rosak dengan cepat tanpa ada usaha pembetulan.

 

Selain daripada masalah fizikal, otak juga memainkan peranan untuk menyampaikan masalah mental atau apa yang kita namakan masalah rohani. Ia berkaitan dengan masalah jiwa.

Bila kita marah, itu adalah isyarat sesuatu telah berlaku terhadap jiwa. Akal kita kerjanya tidak lain adalah untuk memastikan diri kita sentiasa berada dalam keadaan yang selamat sejahtera. Kita jugalah yang meletakkan makna selamat atau sejahtera bergantung bagaimana kita dibesar dan didik dengan segala takrifan.

Jika kita dibesarkan dengan fahaman bahawa mengetuk kepala itu boleh membuatkan diri seseorang menjadi bodoh, dan kita juga diajar bahawa bodoh itu tidak selamat maka sebaik saja kepala kita diketuk walaupun lansung tidak sakit, kita akan naik marah.

Ini kerana jiwa kita meronta dan mahu menyelamatkan tuannya daripada berada di dalam keadaan bahaya. Kalau marah tak timbul, kita akan membiarkan orang meneruskan mengetuk kepala kita. Bila kita marah dan bertindak, kita menyelamatkan diri kita daripada terus diketuk.

Begitu juga dengan masalah fizikal. Jika kita membesar dalam suasana perang dan terdedah setiap hari dengan orang yang luka parah dan meninggal dunia. Luka dan kecederaan tidak akan ditakrifkan sebagai bahaya sekuat orang biasa yang hidupnya di Malaysia yang tak pernah mengalami kesukaran pergaduhan yang brutal.

Terbelah lengan dengan parang yang dirasai oleh kaki jaduh samseng jalanan tidak sama dengan apa yang orang biasa seperti kita rasai.

Itu adalah rumusan yang saya terfikirkan bagaimana pejuang Islam seperti Khalid Al-Walid lansung tak gentar dengan tusukan tombak atau anak panah serta libasan pedang setiap kali pergi berperang.

Luka parah adalah satu perkara biasa saja bagi pejuang seperti Khalid Al-Walid dan juga para pejuang Islam hebat yang lain. Bukannya tak sakit, tapi takrifan otak yang diterjemahkan pada mereka tidak sama dengan takrifan otak kita.

Apa yang saya cuba nak sampaikan disini ialah semua masalah hanyalah berkisar di dalam otak kita sahaja. Ia hanyalah mainan minda, maka untuk mengawalnya kita hanya perlu mengawal minda kita sahaja dan ia boleh dilatih jika kita mahu.

Kajian membuktikan selain daripada latihan secara fizikal atau nyata, kita juga dapat berlatih melalui minda dengan membayangkan dalam imaginasi kita. Kita tak perlu menyuruh orang hiris tangan kita untuk berlatih tahan sakit, cukup sekadar bayangkan tangan kita dihiris yang mana sudah tentu kita pernah mengalaminya dan bayangkan juga reaksi kita menahannya dan mengawal kesakitan dengan tenang.

Begitulah juga dengan lain-lain masalah fizikal atau mental, kita boleh mengawal dengan latihan dan menukar definisi selamat yang telah tertanam dalam minda kita.

Apa yang saya cuba kongsikan di sini lebih berkisar kepada masalah atau kerumitan jiwa dan bukannya masalah fizikal. Pendekatan menghadapi masalah fizikal dengan masalah jiwa sebenarnya agak sama sahaja kerana semuanya bermula dengan definisi kita terhadap apa yang dikatakan selamat dan apa yang dikatakan tidak selamat, juga apa yang kita takrifkan sebagai besar atau kecil dan lain-lain.

Walau apapun mari kita fokuskan hanya kepada masalah yang kita hadapi setiap hari dalam menjalani kehidupan.

Sepanjang hidup, masalah yang paling kerap berlaku pada diri kita adalah masalah jiwa seperti rasa marah, takut, bosan, tak tahan, risau, kecewa, tertekan, terkilan, kecil hati, patah hati, malu, gementar, terhina, dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.

Masalah jenis ini jauh lebih besar berlaku dengan kerap berbanding masalah fizikal seperti kecederaan, terseliuh, mengantuk, letih, mual, meloya, luka dan lain-lain. Kita merasakan masalah jiwa seperti itu hampir setiap waktu dalam kebanyakan aktiviti kita.

Kadangkala masalah jiwa tersebut menyumbang kepada berlakunya masalah fizikal apabila jiwa kita tidak tenang. Kita mungkin jatuh tangga bila turun tergesa-gesa dalam ketakutan atau kita boleh menemui kemalangan ketika memandu dalam marah.

Bila kita keluar rumah untuk pergi kerja misalnya dan kereta tak ada di depan rumah, kita terus naik takut berdebar tak tentu hala. Kita lalu masuk ke rumah memberitahu isteri atau kawan tentang kehilangan kereta dan mendapat jawapan, ‘padan muka’, membuatkan timbul satu lagi masalah jiwa bila kita naik marah.

Itu reaksi yang biasa kita alami. Jika semua itu tidak berlaku, kadangkala kita saja-saja teringatkan kisah lama teman yang berpaling tadah membuatkan timbul pula masalah jiwa dan mood kita berubah jadi tak menentu.

Jika kita seorang usahawan, jualan kita nampak merosot sedikit tidak seperti biasa, membuatkan peluh sejuk keluar di dahi, dan ini mencetuskan perasaan tidak tenteram.

Ditambah pulak dengan duit yang sedikit dalam akaun dan pembekal mula menjerit-jerit melalui panggilan telefon minta bayarannya. Kita mungkin boleh jatuh demam jika tidak kuat menghadapi semua masalah seperti itu.

Apa yang saya terangkan di atas rasanya sudah cukup untuk kita faham apa yang saya maksudkan dengan masalah yang saban waktu kita hadapi, jadi bagaimana kita boleh harungi kesemua masalah harian tersebut dengan tenang dan meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan menumpukan kepada usaha memajukan diri serta apa yang kita lakukan?.

Kita perlu ingat bahawa hanya jiwa yang tenang sahaja yang mampu memberikan tumpuan dan melaksanakan tugasan dengan cekap, kalau kita layan kesemua masalah jiwa, sudah tentu lansung tidak ada ketenangan yang membawa kepada terbantutnya usaha pembaikan dan memajukan diri kita.

Oleh itu matlamat kita di sini adalah untuk pastikan jiwa kita sentiasa tenang walaupun ketika menghadapi masalah. Keadaan itu bakal membantu kita menyelesaikan kesemua masalah kita dan bukannya untuk melarikan diri kita daripada menghadapi masalah.

Berikut saya berikan beberapa langkah yang biasa saya amalkan ketika menghadapi kesulitan. Jika saya melakukannya biasanya keadaan akan kembali tenang dan saya dapat meneruskan aktiviti saya tanpa gangguan emosi yang mampu membuatkan kemurungan, cuma kadang-kadang kita akan terikut-ikut juga dengan perasaan melayan masalah yang dihadapi sehingga jiwa menjadi tidak tenteram:

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge