Usahawan dan kawan

By | 22/05/2013

Hubungan antara usahawan dan kawan cukup penting sepanjang perjalanan mengharungi dunia keusahawanan.

Semua orang ada kawan. Sebagai makhluk yang suka bersosial, kita tak dapat elakkan diri daripada hidup dikelilingi kawan-kawan.

Cuba fikirkan sejenak berapa ramai kawan rapat yang anda ada?

Kebiasaannya, kita ada secara purata 5 atau 6 orang kawan yang sering ditemui di mana kebanyakan masa dihabiskan dengan mereka dalam aktiviti bersosial.

Dunia terasing seorang usahawan

Bagi usahawan kecil, apabila pasangan anda tidak terlibat dan tidak ambil tahu tentang perniagaan yang sedang dijalankan, kehidupan anda adalah sesuatu yang cukup terasing. Di sini hubungan usahawan dan kawan menjadi cukup penting.

Apabila pasangan terlibat dalam perniagaan pulak, kebiasaannya anda akan rasa terkongkong dan dunia semacam sempit. Kebebasan terasa seperti hampir tiada. Dalam keadaan ini hubungan usahawan dan kawan agak longgar kerana di kongkong pasangan masing-masing.

Tetapi sekurang-kurangnya anda tidak rasa kesunyian. Walaupun kesunyian itu dipecahkan oleh pergaduhan atau pertelingkahan falsafah bersama pasangan.

Berlainan pulak dengan usahawan atau ahli korporat yang menerajui perniagaan besar atau konglomerat, mereka biasanya dikelilingi oleh ramai ahli lembaga pengarah yang merupakan sumber inspirasi dan rakan perkongsian idea. Di peringkat itu hubungan usahawan dan kawan lebih terarah pada perhubungan yang profesional.

Usahawan dan kawan

Jika anda usahawan kecil yang tiada keistimewaan lingkungan kawan-kawan korporat, masalah kesunyian yang dihadapi perlu di selesaikan dengan mendapatkan kawan daripada sumber luar.

Anda tentu tidak punyai ahli lembaga pengarah yang boleh dijadikan teman berkongsi idea dan kejayaan.

Usahawan kecil perlukan kawan-kawan untuk dikongsikan masalah atau kejayaan dalam dunia perniagaan. Biasanya, kawan-kawanlah tempat mengadu masalah dalam  perniagaan.

Walaupun tiada apa-apa yang dapat dilakukan oleh kawan-kawan dengan masalah yang dihadapi, namun dengan meluahkan masalah pada kawan-kawan tersebut sahaja usahawan akan merasa lega dan tersuntik semula semangat untuk berjaya.

Oleh kerana kawan-kawan cukup penting sebagai tempat berkongsi masalah dan kejayaan, memilih kawan yang betul adalah amat mustahak.

Kebiasannya, anda adalah purata pencapaian yang dimiliki oleh 5 orang kawan-kawan yang anda sering bertemu dan menghabiskan masa.

Jika kelima-lima kawan anda itu baik pencapaiannya, maka anda boleh berasa lega kerana biasanya pencapaian anda adalah purata pencapaian kelima-lima kawan-kawan tersebut.

Agak sukar untuk membuat kiraan purata pencapaian kawan-kawan anda, tetapi dengan congakan seimbang anda akan dapat merasakan sendiri di mana kedudukan anda berbanding kawan-kawan yang anda ada.

Usahawan dan kawan perlu berjiwa kuat

Kebiasannya, enggang akan terbang sesama enggang dan pipit akan terbang sesama pipit. Jika anda faham makna perumpaan tersebut anda akan dapat rasakan sendiri sama anda dalam kumpulan enggang atau pipit.

Kalau kita burung, adalah mustahil untuk pipit menjadi enggang, tetapi sebagai manusia, identiti kita ditakrifkan oleh jiwa atau roh yang kita ada.

Jika jiwa kuat, positif dan bersemangat tinggi, maka jadilah kita orang yang berjaya. Sebaliknya jika jiwa lemah, sering menyerah kalah, berburuk sangka, suka salahkan orang lain dan sentiasa mencari alasan untuk mengelakkan diri daripada tanggung jawab, maka jadilah kita orang yang gagal.

Berita baik di sini adalah jiwa boleh dibina. Oleh itu harapan untuk terbang bersama enggang adalah sesuatu yang tidak mustahil. Bina jiwa secara konsisten melalui amalan atau perbuatan yang dapat meningkatkan jiwa.

Nasihat Nabi hendaklah kita ambil dalam membina jiwa yang besar. Nabi menyuruh kita memilih perkara yang walaupun kecil tetapi dilakukan secara konsisten. Ini salah satu teknik membina kekuatan jiwa untuk menjadi lebih berjaya.

Imam Ghazali juga banyak memberikan petua mengubah jiwa menjadi besar dengan melakukan paksaan amalan. Jika kita sombong, basuhlah tandas, lama kelamaan jiwa akan mula jinak. Jika kedekut, banyaklah bersedekah secara paksaan, lama kelamaan jiwa akan menjadi pemurah.

Untuk menjadikan jiwa kuat, pilihlah kawan-kawan dari kalangan mereka yang berjiwa kuat dan hebat. Jiwa anda adalah purata kekuatan jiwa 5 orang kawan yang sering anda berhubung dan habiskan masa.

Jika separuh daripada kawan anda jiwanya lemah dan separuh lagi adalah kuat, anda hanya menjadi usahawan yang purata dan biasa-biasa sahaja. Oleh itu lebihkan masa berjumpa mereka yang berjiwa kuat dan kurangkan masa atau gantikan mereka yang lemah jiwanya dengan kawan yang kuat.

Selain daripada menggunakan kawan-kawan rapat bagi memecah kesunyian seorang usahawan kecil, ada beberapa lagi usaha yang perlu dilakukan untuk melonjakkan diri naik ke atas dengan lebih laju. Antaranya adalah:

  • Jadikan mereka yang berjaya seperti Warren Buffette, Richard Branson, Syed Mokhtar Al-Bukhari, Daim Zainuddin, Tony Fernandez dan lain-lain lagi sebagai kawan. Untuk berkawan dengan mereka secara fizikal mungkin sukar, tapi anda boleh dapatkan jiwa kekuatan mereka melalui bacaan buku biography, berita kejayaan, menonton TV mendengar radio dan lain-lain seumpamnya.
  • Lazimkan diri menyertai seminar, pameran perdagangan, bengkel dan lain-lain. Ini akan menemukan anda dengan kawan-kawan baru yang bersemangat tinggi. Mereka yang sertai seminar, bengkel dan pameran sebegitu tak akan berada di situ jka punyai jiwa kacau dan lemah.
  • Bersosial secara maya juga boleh menemukan anda dengan kawan-kawan yang berfaedah. Tetapi pastikan anda tidak terperangkap dengan kumpulan yang membuang masa di media sosial dengan posting yang memualkan dan fitnah yang menjemukan. Pilihlah kawan media sosial yang berintegriti.
  • Dapatkan jurulatih perniagaan sepertiHR Biz Coaching. Dengan mengambil jurulatih, anda akan berpeluang meluangkan masa sekurang-kurangnya sebulan sekali bersama berbincang secara positif ke arah meningkatkan diri dan juga perniagaan anda.
  • Sertai atau bina kumpulan pemikir dan perancang. Jika ada peluang adakan kumpulan pemikir dan perancang dari kalangan mereka yang berbeza industri. Ada banyak kumpulan seperti ini sekarang jika anda rajin mencarinya. Mereka akan adakan pertemuan secara rutin bagi membincangkan idea baru atau berkongsi peluang.
Demikianlah serba sedikit panduan atau idea untuk para usahawan fikirkan tentang kawan. Jika kawan anda jutawan kesemuanya, lambat laun anda juga akan jadi jutawan. Jika kawan anda tak ketahuan semuanya, anda juga satu hari akan jadi tak ketahuan.
Oleh itu buat keputusan samada mahu jadi juwatan atau tak ketahuan dengan memikirkan semula lingkungan kawan-kawan yang anda ada! Perhatikan betul-betul bagaimana hubungan usahawan dan kawan yang anda ada.

 

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge