Usahawan yang tak ada gaji?

By | 31/05/2013

“Adakah gaji hanya untuk orang yang makan gaji?”

Mungkin ramai usahawan yang amalkan konsep tak ada gaji apabila menjalankan perniagaan sendiri.

Bagi mereka keuntungan yang diperolehi oleh syarikat itulah pendapatan atau gaji untuk mereka.

Jika syarikat buat untung sejumlah RM20 ribu, maka jumlah tersebut akan digunakan sepenuhnya samada untuk urusan perniagaan syarikat ataupun urusan peribadi kehidupan usahawan itu sendiri.

Mereka yang amalkan konsep ini tidak mempunyai gaji tetap sebagaimana yang dinikmati oleh mereka yang makan gaji. Adakalanya naik adakalanya turun dan jurang antara naik dan turun tidak ada had.

Barangkali inilah yang menjadi tarikan kebanyakan orang untuk terjun berniaga. Jika gaji bergantung pada keuntungan perniagaan, maka jumlah yang boleh dibawa pulang untuk urusan peribadi tidak ada hadnya.

Bezakan gaji dan keuntungan syarikat
Saya tak pasti samada cara begitu betul atau tidak kerana sejak awal, semua syarikat yang saya buat akan ditetapkan gaji masing-masing termasuklah saya sendiri atau rakan kongsi jika ada.

Bagi saya kita perlu membezakan antara keuntungan syarikat dengan pendapatan pemilik. Ia sepatutnya dua perkara yang berbeza.

Kebiasaannya, syarikat persendirian (Enterprise) akan mengamalkan konsep pemilik yang tak ada gaji tetap, manakala syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) pula terpaksa menetapkan gaji semua orang termasuklah pemilik atas faktor laporan audit yang wajib di buat.

Nasihat saya pada semua usahawan samada menggunakan syarikat ‘entreprise’ atau ‘sdn bhd’ tetapkan gaji anda pada kadar yang sesuai dan selebihnya biarkan ia menjadi keuntungan syarikat.

Ada beberapa kelebihan jika anda menetapkan gaji pemilik pada satu kadar yang tetap:

  1. Ini adalah satu persediaan yang baik untuk jadikan syarikat bergerak secara auto-pilot. Telah saya tulis sebelum ini bahawa menjadikan syarikat boleh bergerak tanpa kehadiran pemilik perlu jadi impian semua usahawan. Anda sekarang merupakan CEO syarikat anda sendiri dan satu hari nanti, jawatan itu akan diberikan pada mereka yang profesional di mana anda bertindak sebagai pengerusi kumpulan syarikat anda.
  2. Mengelakkan pembaziran dan aktiviti membeli yang tak perlu. Bila tiada gaji tetap dan semua keuntungan milik taukeh, maka tiada had atau disiplin untuk berbelanja. Ramai yang terperangkap membeli kereta mewah, berbelanja mewah dan sebagainya bila dapat durian runtuh. Komitmen jangka panjang beli kereta mewah mungkin satu hari akan menyusahkan taukeh bila perniagaan merosot.
  3. Mendisiplinkan gaya hidup yang konsisten. Jika taukeh menetapkan gaji yang konsisten dalam tempoh tertentu, segala perbelanjaan dan gaya hidup anda akan kekal dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun. Ini menghalang berlakunya turun naik yang mendadak yang memberi gambaran tidak baik pada pelanggan, vendor atau masyarakat.
  4. Memberi peluang syarikat berkembang dengan lebih tersusun. Keuntungan syarikat perlu ada dalam mana-mana perniagaan. Guna keuntungan tersebut adalah untuk membiayai perancangan masa yang akan datang agar syarikat dapat terus berkembang dan menunaikan kewajipan fardu kifayah sebagai umat Islam.
  5. Membantu taukeh menjadi lebih peka pada perjalanan aliran wang syarikat. Untuk menetapkan gaji, anda perlu menyediakan aliran wang tunai dan segala pengurusan kewangan yang lain. Anda tidak boleg menetapkan tahap gaji yang mampu dibayar oleh syarikat jika tak tahu bagaimana perjalanan aliran tunia perniagaan.
Mungkin ada banyak lagi kelebihan menetapkan gaji yang konsisten dalam beberapa tempoh dan menaikkan gaji sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun sekali. Tapi cukup sekadar apa yang saya sebutkan di atas agar usahawan mendapat idea yang cuba nak disampaikan.
Bagaimana nak tetapkan gaji
Persoalannya sekarang bagaimana nak tentukan berapa gaji yang perlu diambil oleh seorang pemilik syarikat.
Untuk menjawab soalan ini, ada dua peringkat yang perlu kita perhatikan:
  1. Peringkat mula berniaga.
  2. Peringkat di mana syarikat sudah stabil dan membuat keuntungan.
Peringkat 1
Bagi peringkat pertama. Tak perlu dihuraikan lagi berapa anda perlu ambil. Jumlah yang terbaik adalah jumlah paling sedikit yang cukup sekadar untuk membuatkan taukeh dan keluarga serta tanggungannya tidak mengalami kebuluran dan hidup merana.
Anda sendiri yang tahu berapa jumlah minimum tersebut berdasarkan komitmen yang ada. Tetapi perlu diingat dalam tempoh ini kurangkan komitmen ke tahap yang paling minima dan buang segala gaya hidup mewah yang tak perlu.
Untuk menentukan tahap minima, anda perlu pertimbangkan 4 perkara asas dibawah. Yang selebih daripada perkara asas tersebut elok ditangguhkan terlebih dahulu. Berikut perkara asas yang perlu ditunaikan:
  • Makanan
  • Tempat perlindungan
  • Kesihatan
  • Pendidikan
Ketika saya mula berniaga dahulu, saya kecilkan segala komitmen sehinggalah ke tahap saya hanya memerlukan RM1500 sebulan untuk meneruskan kehidupan.
Itulah jumlah yang saya putuskan yang perlu saya ambil sebagai gaji tetap sekurang-kurangnya selama setahun.
Dengan menetapkan gaji tersebut, saya terpaksa membuat kiraan menggunakan spread sheet bagi mencongak duit masuk dan keluar selama setahun.
Ini dibuat bagi memastikan gaji saya tidak ‘missed’ dan saya boleh hidup untuk memastikan perniagaan saya juga hidup.
Perkiraan serta perancangan dengan menggunakan spread sheet bagi mencongak aliran wang tunai selama setahun itu merupakan perkara asas yang saya ajar pada semua usahawan di bawah program HR Biz Coaching. Sertai program tersebut jika anda mahu belajar dengan lebih mendalam.
Peringkat 2
Setelah perniagaan stabil syarikat akan menyaksikan jumlah pendapatan yang konsisten dan aliran tunai yang baik hasil daripada jumlah wang keluar melebihi wang masuk.
Di peringkat ini, taukeh boleh menetapkan gaji berdasarkan kos gaya hidup yang dikehendakinya. Gaya hidup terbaik adalah berdasarkan keperluan anda sendiri.
Sebagai contoh rumah dan juga kereta elok di pilih berdasarkan keselesaan dan jumlah isi rumah yang ada dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk serta mengundang perompak.
Jika anda perlu berjalan jauh atas urusan kerja dengan kerap, bolehlah beli kereta mewah dan selesa seperti BMW atau Mercedes agar perjalanan tidak meletihkan badan.
Walaupun syarikat mampu menyara anda menjadi mewah seperti anak raja, elok dielakkan jika tidak perlu. Kurangkan gaji taukeh bermakna meningkatkan pendapatan syarikat.
Ini menjadikan syarikat anda menjadi idaman semua orang dan apabila anda tawarkan untuk dijual, semua orang akan berebut untuk membelinya.
Perlukan peniaga kecil menetapkan gaji taukeh?
Jika anda bertanya samada peniaga cendol atau peniaga gorang pisang atau burger perlu menetapkan gaji yang diambilnya?, jawapannya adalah,

 “YA!”.

Sebaik saja anda mula mengira berapa gaji yang perlu anda ambil dan mencongak segala keperluan dan tanggungan, anda secara lansung telah bertukar menjadi usahawan yang ada masa depan.
Anda mula sedar betapa jualan yang ada tidak cukup untuk anda menyara atau menukar gaya hidup dan ini membuatkan dahi berpeluh.
Seandainya anda keturunan pendekar yang pantang dicabar, anda tidak akan lari. Sebaliknya mencari idea dan jalan bagi merealisasikan apa yang telah anda tetapkan.
Selamat mencuba…Insyallah berjaya!!!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge