Dalam artikel yang lalu saya senaraikan sebab atau alasan yang biasanya usahawan hanya bekerja sendirian tanpa ada pekerja. Orang sebegitu adalah peniaga yang bekerja sendiri dan bukannya ahli perniagaan. Dia adalah kuli yang juga taukeh.

Kalau anda dah lama jadi kuli dan dalam masa yang sama jadi taukeh, dan sekarang sedar diri. Sedar bahawa kalau nak berjaya untuk besarkan perniagaan mesti kena ambil pekerja. Maka saya kongsikan pula di sini satu lagi perkara penting dalam bab pengurusan sumber manusia.

Kenapa kita panggil sumber manusia?, sebabnya kerana manusia adalah salah sumber yang usahawan perlu gunakan secara bijak untuk merealisasikan impian atau visi besar perniagaannya.

Untuk bijak menguruskan sumber manusia, usahawan mesti ada banyak ilmu. Ilmu paling penting dalam bab menguruskan manusia ini adalah ilmu jiwa.

Usahawan mesti bijak memahami bagaimana manusia berfikir secara umum untuk membolehkan sumber manusia dikuasai. Tapi saya tak mahu bincang tentang ilmu memahami bagaimana manusia berfikir kat sini.

Apa yang nak saya bincangkan secara ringkas adalah ilmu untuk ambil pekerja yang mana anda amat perlukannya sebagai langkah permulaan membina pekerja dalam syarikat anda.

Perlu ada 5 ilmu ini untuk ambil pekerja

Secara umumnya, usahawan mesti tahu bagaimana:

  1. Merekrut pekerja – Pergilah cari buku atau usahawan lain yang dah berjaya dan tanyakan pada mereka cara paling berkesan untuk merekrut pekerja. Biasanya jika kita jelas dengan mis besar perniagaan kita dan juga jelas dengan nilai-nilai yang mahu diterapkan dalam perniagaan kita, lebih mudah untuk menentukan siapa yang sesuai bekerja dengan kita. Bagi saya, perangai atau attitude adalah jauh lebih penting daripada skill.
  2. Memimpin pekerja – Bila kita dah ada pekerja, ada tugas untuk memimpin mereka. Jangan dibiarkan pekerja buat kerja tanpa ada bimbingan dan bila mereka buat salah, kita katakan mereka tak guna dan mahu tukar dengan pekerja lain. Kalau tak pimpin pekerja dengan baik, usahawanlah yang bersalah. Cari buku bagaimana nak jadi ketua atau pemimpin dan baca serta amalkan sebaik mungkin. Satu perkataan yang sinonim dengan pemimpin adalah pengaruh. Ketua mesti pandai pengaruhi agar orang lain ikut.
  3. Mengurus – Bila dah jadi pemimpin ertinya orang bersedia nak ikut apa saja arahan kita. Bila arahan yang diberikan adalah arahan yang buruk, tak bermakna juga. Mengurus ada hubungkait dengan membuat keputusan yang betul berdasarkan syarat atau prosedur yang telah ditetapkan bagi mencapai matlamat perniagaan. Untuk membuat keputusan betul mesti ada ilmu. Ertinya untuk menguruskan pekerja, usahawan mesti cari ilmu pengurusan dengan baca atau bertanya.
  4. Membina pekerja – Setelah usahawan pandai buat keputusan dan semua orang ikut segala keputusan tersebut, tak boleh hanya berterusan begitu tanpa ada kemajuan. Pekerja yang masuk sebagai kerani mesti digalakkan ada impian untuk jadi pengurus. Ertinya kita mesti pandai membina perkembangan para pekerja kita supaya mereka terus berkembang menjadi orang atau pekerja yang lebih hebat dan bernilai tinggi.
  5. Mengekalkan pekerja – Lumrah kehidupan dalam berniaga, bila kita bina pekerja dari zero menjadi hero, tentu ada ramai majikan yang mengidamkan pekerja begitu. Kalau kita tak pandai dan tak ada ilmu bagaimana nak kekalkan pekerja, alamat mereka akan cabut lari pergi pada majikan yang tahu menjaga pekerja dengan lebih baik.

Begitulah secara ringkas tentang 5 ilmu penting bagaiman nak ambil pekerja ang usahawan semua mesti kuasai. Kalau tidak berusaha untuk dapatkan semua ilmu tersebut, alamat perniagaan tak akan membesar. Moga perkongsian ringkas ini ada manfaatnya.

Total
27
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge