Masalah pekerja dalam perniagaanMasalah pekerja merupakan salah satu isu paling berat yang dihadapi oleh para usahawan dalam menjalankan dan membina perniagaan mereka.

Dari pengalaman menjalankan perniagaan dan dari pemerhatian terhadap perniagaan yang dijalankan oleh rakan-rakan usahawan, kita boleh lihat adanya kaitan rapat antara kejayaan sesebuah perniagaan itu dengan tahap keupayaan mengekalkan para pekerja yang lama.

Dengan ayat yang lebih mudah, saya lihat semakin mantap keupayaan sesebuah perniagaan mengekalkan tempoh lama para pekerjanya kekal di dalam syarikat, lebih tinggi pencapaian sesebuah syarikat itu.

Perniagaan yang tak akan pergi jauh dan diselubungi dengan berbagai masalah adalah perniagaan atau syarikat yang pusingan pekerja keluar dan masuk terlalu tinggi.

Selesaikan masalah pekerja dan anda boleh pergi jauh

Mungkin boleh kita rumuskan bahawa kalau anda nak pastikan perniagaan anda meningkat dan berdaya saing untuk pergi lebih jauh, anda hendaklah pastikan pengurusan sumber manusia dijaga dengan kemas dan rapi.

Jangan ambil sikap alai balai terhadap pengurusan sumber manusia dalam perniagaan anda.

Tetapi malangnya kebanyakan daripada usahawan kita meletakkan pengurusan sumber manusia ini seolah-olah hanya khas untuk syarikat multinasional atau korporat besar sahaja.

Cuba lihat bagaimana syarikat besar yang berjaya menguruskan sumber manusia mereka. Sikap para pekerja yang bertugas di kebanyakan firma besar atau organisasi multinasional yang berjaya seolah-olah mereka memiliki saham besar di dalamnya. Mereka bersungguh-sungguh dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam tugasan mereka.

Jika pekerja yang sama beralih arah samada secara terpaksa atau tidak kepada syarikat kecil yang dijalankan oleh anda dan saya, mereka tidak dapat berfungsi dengan baik dan berubah sikap seolah-olah mahu meranapkan syarikat tersebut.

Kenapa agaknya terjadi begitu?

Cara mudah selesaikan masalah pekerja

Sebelum kita cuba selesaikan masalah pekerja yang menghantui syarikat, mari lihat apakah antara punca yang menyebabkan masalah pekerja keluar dan masuk dengan kadar yang tinggi.

Antara puncanya adalah:

  1. Syarikat tidak ada hala tuju yang jelas yang boleh disampaikan pada para pekerja. Kesannya adalah pekerja tidak pasti apa prospek peningkatan yang menunggunya di masa hadapan. Mungkin taukeh tahu ke mana dia nak pergi dan apa sasaran pencapaiannya dalam jangka panjang, tetapi gagal berkomunikasi dengan ringkas dan jelas yang boleh mebuatkan pekerja faham.
  2. Merekrut pekerja yang salah. Sikap main ambil sahaja siapa yang lalu didepan muka pintu banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Ia lambang syarikat yang tidak memikirkan cara menguruskan sumber manusia dengan baik. Tidak adanya kriteria yang jelas bagaimana seseorang pekerja yang sesuai dipilih untuk digajikan menyebabkan orang yang salah masuk bekerja hanya untuk ambil gaji dan balik sementara mendapat peluang yang lain.

Daripada dua sebab utama di atas, maka jalan untuk selesaikan masalah pekerja di syarikat anda adalah dengan:

  1. Sediakan visi dan misi syarikat dengan ringkas, jelas dan padat. Bukan sekadar ikut-ikutan untuk melengkapkan kerta kerja rancangan perniagaan dan salin apa yang ditulis oleh syarikat lain. Taukeh mesti ada impian ke mana dia nak bawa syarikatnya dan dapat menceritakan dengan jelas dan terperinci apa tanda-tanda bahawa syarikatnya telah sampai di situ. Ramai yang mungkin tak dapat faham apa kah bendanya visi dan misi itu sedangkan jauh disudut hati mereka telah ada semuanya, cuma tak tahu nak luahkan. Belajarlah dan bertanyalah dan buatlah secara yang betul.
  2. Sediakan garis panduan jenis pekerja yang anda mahu. Dari visi dan misi yang jelas syarikat dapat membuat garis panduan jenis pekerja yang sesuai untuk syarikat. Dari visi dan misi juga syarikat dapat menyediakan butiran tugasan bagi setiap jawatan yang dibentuk bagi mencapai matlamatnya. Amalkan sikap lambat merekrut dan pantas membuang pekerja yang tidak sesuai.

Semua daripada kita perlu ambil berat terhadap masalah pekerja dalam syarikat yang sedang kita jalankan. Memang ia bukan satu urusan yang mudah dan ambil masa. Itupun jika kita sudi memulakannya dan melaksanakannya sambil membuat pembakan tanpa henti sehingga tercapai maksudnya.

Seandainya tidak ada usaha untuk membetulkan masalah pekerja yang dihadapi, dan jika tidak ada idea untuk selesaikan dengan betul masalah pekerja, kadar pekerja yang masuk dan keluar akan sentiasa tinggi dan syarikat sekadar beroperasi seperti sabut di lautan yang kejap naik kejap turun berdasarkan arus air.

Total
2
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge