Ada 2 ilmu penting yang perlu anda belajar dan bina kalau nak jadi seorang usahawan sepenuh masa.

Saya dapat ilmu tersebut ketika kali pertama berhenti kerja dahulu pada tahun 1997. Masa itu memang dah ada niat nak jadi usahawan. Tapi sekadar niat sahaja dan tidak diikuti dengan usaha yang betul-betul.

Nasib saya baik masa itu bila syarikat tempat saya kerja makan gaji tawarkan Voluntary Separation Scheme – VSS.

Banyak syarikat yang buat tawaran VSS masa itu disebabkan keadaan ekonomi yang gawat. Syarikat yang besar juga akan alami zaman kegawatan mereka.

Untuk teruskan perjalanan, mereka perlu berusaha jimatkan kos.

Salah satu cara paling mudah untuk jimatkan kos ketika ekonomi gawat adalah dengan menawarkan VSS. Bila julah pekerja dikurangkan, kos tetap yang terpaksa di tanggung oleh syarikat akan berkurangan dengan amat banyak sekali.

Mereka hanya akan kekalkan jumlah pekerja minimum untuk teruskan segala aktiviti yang penting sahaja supaya syarikat tetap timbul di permukaan.

Usahawan kecil yang sedang hadapi masalah gawat sekarang perlu ambil tindakan yang sama kalau mahu terus hidup. Kecilkan jumlah pekerja supaya kos tetap tidak membebankan syarikat. Tak perlu nak risau, segan atau takut untuk buat tindakan drastik sedemikian. Ingat tu!.

Seronok dapat berhenti kerja

Mungkin ramai yang sedang makan gaji risau jika mendengar syarikat nak buang pekerja.

Tapi sebaliknya yang berlaku pada saya ketika tahun 1997 itu.

Saya seronok sebab itu peluang untuk saya berhenti kerja dan berniaga. Sebaik saja keluar tawaran, saya terus isi borang dan dengan yakin serahkan pada syarikat. Batch pertama diluluskan dan nama saya tak masuk dalam senarai.

Sedih bila tahu syarikat masih mahu kekalkan jawatan saya.

Bila datang tawaran kedua, sekali lagi saya isi borang. Masih lagi gagal. Sehinggalah datang tawaran ke-3. Boss saya datang jumpa dan tanya kenapa saya asyik dok minta VSS?

Bila saya terangkan saya nak berniaga, dia terus geleng kepala. Dia nasihatkan saya dalam keadaan ekonomi gawat sebegitu bukanlah masa yang baik untuk berniaga. Syarikat masih perlukan saya dan saya patut ambil peluang itu dalam keadaan semua orang lain hilang sumber pendapatan.

Ketika itulah matlamat amat penting untuk nekad dengan keputusan kita.

Saya terangkan pada boss ketika itu yang saya cuma nak rasai dunia perniagaan. Nak faham apa itu perniagaan dengan terjun dan alaminya sendiri secara real.

Bila dia sedar yang saya memang dah nekad dan tahu apa yang saya mahu, maka dia akhirnya lepaskan saya. Itupun dia masih pesan supaya saya hubunginya kalau perlukan apa-apa bantuan.

Pengalaman pertama berhenti kerja dan berniaga

Nak diringkaskan cerita, maka berhentilah saya dari kerja makan gaji.

Dapat sedikit modal hasil dari VSS itu untuk dijadikan bekalan hidup dalam dunia yang saya lansung tak ada idea bagaimana rasanya.

Masa itu saya masih bujang. Jadi tak ada apa-apa komitmen yang besar sangat. Saya hanya perlu pastikan duit bulanan yang diberikan pada mak tidak putus.

Dalam keadaan komitmen yang tak tinggi itupun, sedar tak sedar duit habis dalam masa yang amat singkat. Perniagaan masih tak ke mana-mana dan rancangan perniagaan awal saya juga gagal sekerat jalan belum sempat bermula lagi.

Oleh sebab saya sentiasa ingatkan diri bahawa niat awal saya adalah untuk faham apa itu perniagaan dan nak rasa pengalaman dunia perniagaan, maka saya tak risau dan tak tenggelam punca.

Belajar untuk hidup

Itulah perkara pertama yang saya belajar. Orang putih kata survival.

Saya hanya perlu fokus bagaimana nak teruskan kehidupan. Macam mana nak cari duit dan tak susahkan orang lain terutamanya mak saya.

Perlu berusaha sendiri dan jangan ambil jalan mudah.

Ada orang yang ambil jalan mudah dalam keadaan tak ada duit dengan pinjam duit kawan. Pinjam untuk dijadikan modal yang pasti menjana keuntungan dan boleh bayar balik masih ok. Tapi ada orang yang pinjam semata-mata untuk selesaikan komitmen mereka. Itulah yang tak bagus.

Jika anda ligat berfikir dan memburu peluang, akan ada saja jalan untuk menjana duit. Itulah yang saya belajar ketika tu dan memang ternyata saya masih mampu untuk hidup dan bagi duit pada mak serta selesaikan keperluan hidup saya ketika itu.

Macam macam saya buat untuk cari duit. Saya dah ceritakan dalam blog ini lama dahulu.

Apa yang saya belajar ketika itu, untuk hidup anda perlu ligat berusaha. Apa saja peluang yang ada rebut dan laksanakan dengan sebaik mungkin. Habis satu peluang akan datang pula peluang lain. Selagi anda ligat dan tak jemu mencari peluang, akan ada saja jalan terbuka satu demi satu.

Untuk pastikan survival, anda perlu fokus pada mencari peluang. Jangan ambil jalan pintas hutang duit orang terutamanya jika anda sendiri tak pasti mampu bayar atau tidak.

Bina networking

Untuk pastikan anda mudah jumpa peluang, networking adalah wajib.

Itulah perkara kedua yang saya belajar masa kali pertama berhenti kerja dan berniaga dahulu.

Kalau lansung tak ada kerja atau idea nak buat apa, saya tak akan duduk diam. Saya keluar rumah dan pergi cari kawan-kawan berniaga yang perlukan teman.

Dua perkara yang saya dapat ketika itu. Pertama makan free sebab sudi temankan mereka. Kedua mengintai peluang untuk saya buat duit kalau ada. Biasanya memang tak mengecewakan lansung.

Begitulah saya layari hampir lebih dari 2 tahun. Akan ada saja peluang demi peluang dan dalam masa yang sama julah kenalan saya semakin bertambah dar hari ke hari.

Networking dan survival

Tempoh lebih 2 tahun itu benar-benar membantu saya melayari dunia keusahawanan sampai sekarang.

Malah semua kawan-kawan yang saya bina ketika itu masih kekal sampai sekarang. Mereka banyak membantu saya untuk faham dunia perniagaan dan banyak membantu untuk saya terus mampu hidup dan cari duit.

Kalau anda nak jadi usahawan, pastikan dua perkara penting itu dikuasai terlebih dahulu. Tak ada idea nak buat bisnes apapun masih ok lagi asalkan anda fokus pada networking dan survival.

Gunakan aktiviti membina jaringan untuk survive cari duit dan anda akan dapat sekali gus 2 perkara penting dalam menjadi usahawan yang berjaya, insyallah.

Harap artikel pendek ini membantu anda yang sedang pening kat luar sana.. selamat hari merdeka! merdeka! merdeka!… mau duit ka?

Nota: Kat atas tu gambar pokok Kaktus. Itupun salah satu bisnes yang saya pernah buat masa belajar untuk cari duit satu ketika dahulu.

Total
48
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge