Dalam dunia cari makan.

Atau lebih tepat lagi dunia kerja untuk cari makan, sara kehidupan diri sendiri dan tanggungan yang ada.

Biasanya ada 2 jenis orang.

Orang yang pertama

Dia berusaha untuk dapatkan peluang kerja.

Alhamdulillah!

Dia dimurahkan rezki. Diterima bekerja oleh majikannya. Seronoklah dia lega bukan kepalang.

Sebaik saja dia masuk. Mula buat kerja. Dia rajin belajar segala selok belok tentang kerja yang perlu dibuatnya. Dari hari pertama sehinggalah masuk sebulan, banyak yang dia pelajari. Dan diapun diberikan gaji pertamanya setelah selesai satu bulan.

Begitulah dia berterusan belajar lagi masuk dua bulan, kemudian 3 bulan dan berlalu setengah tahun. Dia jadi semakin cekap dalam melakukan segala tugasannya.

Dia cekap tentang kerja, cekap juga melihat dan sesuaikan diri dalam politik tempat kerjanya. Semuanya diserap masuk ke dalam pengetahuannya untuk pastikan dia dapat terus bekerja dan mendapat gaji setiap bulan.

Bila genap setahun dia kerja, boleh dikatakan dia dah fasih sangat semua selok belok kerja yang dia perlu tunaikan. Dia dah boleh dianggap dah jadi sebahagian dari para pekerja yang boleh diharapkan oleh majikan.

Di tahap itu, dia mula selesa dan dia tahu majikan memang perlukan kehadirannya. Kalau dia tak ada, jadi agak sukar juga syarikat tempat kerjanya beroperasi.

Dia berterusan kerja lepasi setahun. Masuk setahun satu bulan, kemudian dua bulan …

Perkembangan yang berlaku selepas lepas tahun pertama dia kerja, tidak sama lagi seperti mana berlakunya peningkatan keupayaannya ketika awal dia masuk kerja. Kelihatan seperti peningkatan sudah berhenti sebaik saja masuk setahun.

Dia hanya teruskan kerjanya seperti biasa, cekap sekadar yang dia ada yang boleh memberikan sebab yang kukuh untuk dia terus kekal bekerja kat situ.

Itu saja yang berlaku. Selepas 2 tahun, kecekapannya sama saja sebagaimana setahun dia bekerja. Begitu juga selepas 3 tahun, 4 tahun, 5 tahun atau lebih lagi. Tidak ada apa-apa perubahan yang ketara.

Dia sudah berhenti dari berusaha meningkatkan lagi kerjayanya, kecekapannya, pengetahuannya dan lain-lain lagi. Dia hanya istiqamah setakat yang dia ada supaya dia terus kekal ada kerja saja.

Orang yang kedua

Orang jenis yang kedua ini sama juga macam orang yang pertama tadi.

Sama sejak dari hari pertama dia masuk kerja. Kemudian masuk sebulan, 2 bulan dan seterusnya setahun. Dia belajar untuk kuasai segala pekerjaanya yang diberikan kepadanya sehingga cekap apabila mencapai satu tahun pertama.

Cuma jenis yang kedua ini berbeza dari yang pertama selepas masuk tahun ke-2.

Dia tidak berhenti belajar.

Dia teruskan lagi menambah pengetahuannya, tambah kecekapannya, tambah kemahirannya. Mendalami lagi tentang kerjanya.

Dia beli buku, mungkin sebulan satu, mungkin lebih dari itu.

Dia ambil kursus. Dia cari mentor atau kawan. Semuanya dibuat untuk menambahkan lagi maklumat dan kemahirannya supaya lebih luas dan mendalam. Dia luaskan lagi bidang penguasannya. Tambah lagi kemahiran baru.

Dia juga ikuti segala perkembangan yang berlaku didalam dunia pekerjannya. Dalam dunia industri yang dia libatkan diri. Dia tambah lagi kenalan orang yang sama bidang. Juga dengan mereka yang relevan dengan bidangnya.

Bayangkan golongan ke-2 ini. Yang berterusan berikan tumpuan untuk tamhah kemahiran dan pengetahuan sekurangnya sejam atau 2 jam sehari. Seminggu jadi banyak mana, sebulan, setahun …

Semua itu berterusan, masuk 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun … bayangkan nilai keupayaan menjana pendapatan yang dia telah serap masuk ke dalam dirinya!

Orang jenis Pertama Vs Jenis Kedua

Kalau dalam dunia makan gaji, dalam 100 orang yang masuk kerja, orang yang pertama biasanya ada seramai 80 orang.

Manakala orang jenis yang ke-2 biasanya ada seramai 20 orang saja.

Orang jenis yang pertama adalah mereka yang mendapat kenaikan gaji purata sebanyak 3% setahun. Orang jenis yang ke-2 pula biasanya mendapat kenaikan gaji purata sebanyak 11% setahun.

Orang jenis yang pertama, setelah masuk 10 ahun dia bekerja, tahapnya sama saja lebih kurang dengan tahap setahun dia mula kerja dahulu.

Orang yang kedua pulak selepas 10 tahun bekerja, kebiasannya dia akan jadi boss besar kat tempat kerja dia tu atau dah berpindah masuk ke syarikat lain sebagai Big Boss. Gajinya mungkin berpuluh kali ganda malah mungkin beratus kali ganda, berbanding golongan yang pertama tadi.

Orang yang pertama dia anggap aset paling bernilai adalah rumah, atau segala harta benda yang dia dapat kumpul. Orang yang ke-2 pula biasanya anggap aset sebenar paling bernilai untuk dirinya adalah keupayaan dirinya untuk menjana pendapatan.

Ertinya, yang jadi aset untuk orang ke-2 adalah dirinya sendiri. Jika dia ditimpa apa-apa kemalangan tanpa kawalannya. Dia lalu hilang segala-galanya. Mudah saja dia panjat naik semula sebab yang jadi aset bernilai adalah dirinya. Bukan segala kebendaan yang dia ada.

Saya jumpa ramai orang jenis pertama

Saya mula berniaga sejak tahun 1997. Dah ada pengalaman ambil pekerja dah sangat ramai. Sejak dulu sampai sekarang.

Orang paling ramai yang saya jumpa di kalangan para pekerja saya adalah golongan yang pertama tadi. Walaupun dah 10 tahun dia bekerja, kecekapannya buat kerja sama saja macam setahun dia mula masuk kerja.

Tak kisah dalam lapangan apapun. Samada lapangan operasi yang berkaitan dengan teknikal, atau dalam bidang admin pengrusan dan pentadbiran mahupun dalam bidang jualan dan pemasaran.

Golongan yang pertama akan terus terbantut terpacak setakat tahap kecekapan setahun pertama dia mula kerja sahaja.

Tidak ada buku, kursus, kenalan, kemahiran, yang dia dalami. Tak ada pemikiran yang dia cuba selami dan tak ada kelayakan untuk dia dikatakan jadi pakar dalam industri yang dia mula ceburi sejak 10 tahun yang lalu.

Kalau dia masuk tak reti pakai komputer, dia mungkin belajar sikit sekadar untuk tekan keyboard saja dan jadi cekap sikit selepas masuk setahun. Dan takat itu saja cekapnya walaupun dah masuk 10 tahun dia kerja.

Yang berniaga pun sama juga

Bukan saja orang makan gaji yang boleh terbantut tersekat selepas setahun masuk bidang baru.

Orang yang berhenti kerja dan berniaga juga boleh jadi sama saja. Mungkin dia berhenti kerja sebab terpaksa dan tiada pilihan lain selain berniaga.

Dia pulun sikit sekadar untuk lepas makan minum dan tanggungannya. Bila dah dapat cukup makan, dia mula selesa dan semua perkembangan terhenti ke takuk itu saja. Walaupun dah masuk 10 tahun dia berniaga, tahapnya sama saja macam selepas setahun dia berniaga.

Jenis pertama atau kedua

Sekarang cuba renungkan diri sendiri.

Anda masuk dalam golongan yang mana satu?

Adakah anda sentiasa berusaha tambah pengetahuan dalam bidang yang anda ceburi. Adakah anda kekal belajar dan belajar tanpa henti.

Atau anda dah terperangkap jadi orang yang tiada diperlukan lagi sebab segala apa yang anda tahu sudah tidak bernilai lagi. Sebab dalam zaman sekarang, perubahan dan kemajuan teknologi berlaku amat pantas.

Jika anda kekal duduk dalam kumpulan jenis pertama tadi, apa yang anda kekalkan dan tak tambah yang baru akan jadi tidak relevan lagi dalam masa yang amat pantas.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge