Artikel kali ni nak kongsikan pasal 3 cara bayar bil bila keluar makan dengan kawan-kawan.

Cara bayar bil tentu berbeza antara seorang usahawan dengan seorang yang makan gaji. Apa yang saya nak kongsikan kat sini adalah dari sudut pandang orang berniaga atau seorang usahawan.

Masa zaman mula masuk dunia usahawan dulu, perkara paling awal yang saya latih diri adalah pergiatkan aktiviti berkawan dengan kawan-kawan usahawan lain. Terutamanya yang dah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Masa tu perniagaan yang saya buat masih blur. Ada produk yang jelas, tapi tak pasti samada itukah perniagaan yang betul-betul nak dibuat atau tidak. Yang saya pasti ketika itu, saya perlu selami bagaimana budaya menjadi seorang usahawan. Macam mana amalan seorang usahawan berjaya.

Nak rapat dengan kawan-kawan usahawan, mahu tak mahu saya perlu ada satu perniagaan. Tangkap saja apa peluang yang ada, dan mula berusaha untuk menjual dan cuba menjana keuntungan. Bila dah ada bisnes, lebih mudah nak faham pelajaran yang dikutip dari kawan-kawan usahawan ketika bersama dengan mereka.

Kejutan paling besar yang saya alami ketika itu adalah betapa kerapnya kawan-kawan usahawan ni pergi jumpa, minum dan bersembang dengan kawan-kawan usahawan lain.

Semakin besar perniagaan yang mereka buat, semakin berjaya perniagaan mereka, semakin banyak masa di habiskan dengan sesi mengopi atau mengeteh ni.

Itu pelajaran pertama yang sangat memberi kesan kepada pembinaan ilmu keusahawanan yang saya dapat masa tu.

Kerapkah anda keluar makan minum dengan kawan?

Bagi anda yang membaca artikel ni, cuba semak tengok. Berapa kerap anda luangkan masa bersama kawan-kawan, makan atau minum di kedai?

Kalau anda jenis yang suka keluar minum dengan kawan-kawan secara konsisten. Bertukar-tukar kawan yang berbeza secara individu dan kumpulan, itu petanda anda ada bakat jadi usahawan.

Kalau anda dah memang seorang usahawan, saya yakin perniagaan anda tentu ok.

Kawan-kawan usahawan yang saya ada, bincang pasal projek, bincang pasal peluang atau bincang pasal bisnes, hampir semuanya berlaku kat meja minum kedai makan saja. Tak pakai pejabat atau bilik perbincangan pun.

Kalau masuk ke pejabat, biasanya lebih kepada urusan perlaksanaan. Samada usahawan itu sendiri yang buat atau dia serahkan tugasan kepada pekerjanya.

Masa saya kerap ikut seorang kawan yang berkecimpung dalam industri kesihatan dulu, saya kerap berjalan ke seluruh negeri di negara kita. Dari Siam sampai ke Johor. Di mana saja kami pergi, akan ada 4 atau 5 kali perjumpaan dengan berbagai orang.

Kalau duduk kat tempat sendiri tak payah cakap lah. Mahu 9 ke 10 kali meeting kat kedai makan!. Dari pagi sampai ke malam.

Bagaimana cara bayar bila makan dengan kawan-kawan

Bagi orang yang kerap pergi makan atau minum dengan kawan-kawan kat restoran, biasanya hanya ada 3 cara saja pembayaran di buat.

Maksud saya, siapa yang akan bayar semua bil makan dan minum ketika ramai-ramai makan dan minum di satu-satu kedai.

Saya masukkan sekali cara bayar sepanjang kehidupan. Dari zaman makan gaji dulu sehingga zaman jadi usahawan sepenuh masa.

Cara 1 : Bayar bil masing-masing

Secara jujur, tak pernah lagi saya hadapi keadaan di mana keluar makan atau minum dengan kawan-kawan, bila masa nak bayar, masing-masing akan bangun dan selesaikan bil sendiri-sendiri.

Tapi ada seorang kawan yang rapat dengan seorang seorang penulis buku pasal kewangan terkenal cerita kat saya tentang sikap kawannya itu yang membuatkan saya terkejut.

Dia kata, kawan dia tu sejak hari mula dia kenal sampai sekarang, memang jenis yang amalkan bayar masing-masing sekalipun pergi keluar makan atau minum ramai-ramai.

Kalau dia berjaya kumpul duit banyak, berjaya menabung dan seterusnya melabur duit yang dia ada sampai kaya, memang tidak menghairankan. Disiplin dan sikap muka tebal, makan bayar sendiri yang ada pada dia memang tak boleh nak lawan.

Kalau zaman belajar dulu, makan dan minum bayar sendiri memang satu amalan biasa. Kecuali anak orang kaya, dia akan belanja kawan-kawan sesama belajar. Tapi masa belajar dulu majoritinya adalah anak-anak orang susah. Jadi bayar masing-masing sajalah.

Amalan ini juga saya lihat lebih lumrah berlaku di kalangan orang akan gaji. Mereka keluar makan tengahari ramai-ramai dan masing-masing akan bayar bil sendiri-sendiri.

Di kalangan usahawan, saya rasa cara ini terlalu jarang berlaku!.

Cara 2 : Bayar sama rata

Ini cara yang popular juga.

Biasanya di kalangan kawan-kawan yang sama-sama susah. Zaman muda kerja makan gaji dulu kerap amalkan cara macam ni.

Kalau pergi makan 5 orang, bila bil datang, tunjuk RM100. Maka masing-masing secara automatik akan faham yang semua kena keluarkan RM20 seorang. Kalau ada di kalangan kawan tu yang memang susah sangat tak ada duit lansung, maka salah seorang yang banyak duit sikit akan tampung kos dia.

Kalau semuanya sama tak berapa ada duit, maka RM20 kos kawan seorang itu akan dibahagikan pulak kepada 4 orang.

Cara macam tu adalah cara sahabat-sahabat rapat yang kenal hati budi masing-masing.

Cara ini juga merupakan pilihan kedua saya jika diberi pilihan cara mana yang lebih baik diamalkan bila keluar makan dengan kawan-kawan. Tapi kena tengok keadaan juga terlebih dahulu.

Cara 3 : Seorang saja bayar semua bil makan

Ini cara yang saya didedahkan, masa berkawan dengan kawan-kawan usahawan dari dulu sampai sekarang.

Hampir kesemua kawan-kawan yang saya kenal sejak mula belajar berniaga dulu, mereka yang banyak mengajar saya tentang dunia perniagaan, akan amalkan cara bayar macam ni.

Tak kira berapa ramai yang makan sekali, tak kira berapa jumlah bil yang perlu dibayar, setiap kali makan kat kedai ramai-ramai, pasti hanya seorang sahaja yang akan selesaikan kesemua bil tersebut.

Ada  beberapa kawan rapat saya, di mana saja mereka duduk minum dan makan, dengan siapa saja yang mereka duduk dan makan sekali, merekalah yang akan bayar. Semua orang dah tahu sangat cara dia.

Dan dia pula memang sentiasa stand-by duit cash sekepul kat pokt atas, bila keluar pergi jupa orang. Ramailah yang ambil kesempatan kalau dia ada. Tapi dia memang tak kisah lansung.

Alhamdulillah saya dikurniakan dengan kawan-kawan yang ramai macam itu. Ertinya, mereka sangat pemurah. Mereka juga sangat dimurahkan rezki. Bisnes memang kencang dan sentiasa ada duit.

Kalau saya nak bayar, kena cepat-cepat bangun dan pergi ke kaunter selesaikan terlebih dulu awal-awal. Kalau tak, alamat terlepas peluang belanja mereka. Itupun, ada kalanya bila bangun nak pergi bayar, takeh kata semua dah selesai dibayar!.

Dari segi kepuasan hidup, ini cara yang saya paling suka.

Biar seorang saja yang bayar, tak kiralah berapa besar jumlahnya. Di lain waktu kawan lain pulak yang akan bayar. Dan masing-masing akan ambil faham bahawa perlunya ada usaha untuk sama-sama buat kenduri kepada kawan-kawan.

Ada dua keseronokkan akan datang dengan mengamalkan cara ini.

Pertamanya, orang yang bayar akan rasa puas dan bahagia sebab dapat belanja bagi orang makan.

Kajian memang membuktikan bahawa keseronokkan yang terhasil dari memberi berkekalan dalam tempih masa yang lama. Jiwa menjadi semakin sihat sebab hati sentiasa bahagia dengan amalan banyak memberi begini.

Keseronokkan kedua adalah kepada mereka yang diberikan makan secara percuma.

Tak kira banyak mana mereka makan, berapa besar kosnya pun, semuanya kawan yang bayar. Tak ada yang lebih seronok dari makan free, itu semua orang selalu sebut.

Cara bayar pilihan bila keluar makan dengan kawan

Dari segi keutamaan, saya akan senaraikan cara ke-3 sebagai yang paling bagus, cara ke-2 yang kedua bagus dan cara ke-3 yang paling tak bagus.

Saya tak tahu bagaimana cara bayar yang anda amalkan sekarang bila keluar makan dengan kawan-kawan. Kalau sudi komen dan kongsikan cara yang anda buat selalunya.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge