Maklumat berkenaan 3 model utama membina budaya syarikat ini saya baru jumpa dalam buku yang sedang saya baca sekarang.

Saya sedang cuba faham tentang membina budaya syarikat. Sedang pening kepala nak besarkan syarikat dan perniagaan pergi ke tahap yang lebih tinggi.

Sejak berniaga dari tahun 1997 di kampung dulu. Kemudian berniaga pula di Lembah Kelang sejak tahun 2003. Ada satu masalah besar yang saya hadapi. Masalah berkenaan pembentukan sebuah kumpulan kerja yang mantap.

Dalam bahasa mudahnya, masalah dalam pengurusan pekerja.

Yang saya maksudkan pekerja tu termasuklah diri saya sendiri. Bukan hanya terbatas kepada orang lain yang bekerja di syarikat saya sahaja.

Hebat macam manapun, saya tak akan mampu nak besarkan syarikat seorang diri. Perlukan bantuan dari semua kumpulan sokongan dan juga bantuan dari semua pekerja yang saya ketuai.

Untuk dapatkan sokongan dari pihak luar sebenarnya tidaklah sesukar manapun.

Semua bantuan akan jadi mudah seandainya kumpulan dalam syarikat anda itu sendiri kuat dan berkesan. Jadi, fokus yang saya perlu berikan perhatian penuh adalah dalam membentuk kumpulan yang mantap dalam syarikat saya sendiri.

Kat situlah yang memeningkan kepala.

Setakat ini, saya putuskan untuk pergi ke hadapan, perlu mantapkan kumpulan dalam syarikat. Sebab itu saya cari buku berkenaan pembentukan kumpulan kerja yang terbaik.

Biasanya, orang sebut urusan itu sebagai pembinaan budaya syarikat. Sampai sekarang, saya masih gagal untuk kumpulkan sebuah kumpulan paling matap yang boleh begerak laju dan mampu robohkan apa saja halangan yang ada di depan.

Sikap individu berbeza daripada sikap kumpulan

Perkara penting yang saya belajar sekarang adalah tentang berbezanya tabiat seorang individu dengan tabiat sekumpulan individu.

Kalau anda kumpulkan 10 orang, yang bijak pandai dengan IQ yang sangat tinggi kesemuanya, sebagai satu kumpulan. Berikan mereka satu sasaran untuk dicapai secara berkumpulan. Anda akan tersilap jika menjangkakan kumpulan tersebut akan bertindak sebagai satu badan bersama yang bijak dan tinggi IQ darab 10.

Maksudnya 10 orang yang bijak dengan IQ tinggi dikumpulkan, tidak akan menghasilkan satu kumpulan yang punya kebijaksanaan dengan campuran kesemua kecerdikan dan jumlah IQ yang semua mereka ada.

Dalam bab manusia, seorang tambah seorang tak akan menjadikan kumpulan itu punya prestasi darab 2 . Berkemungkinan lebih teruk ada. Kalau anda suruh 2 orang buat ukiran kayu. Ada kemungkinan ukiran yang terbentuk adalah lebih buruk berbanding jika mereka buat secara solo.

Gerakkan sebuah kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat adalah jauh lebih sukar daripada gerakkan seorang individu. Kumpulan akan membentuk budaya tersendiri yang ada kalanya jadi sangat hebat berganda-ganda. Dan ada kalanya jadi lebih teruk atau ‘Mangkaq’ berganda-ganda.

Itu satu penemuan yang menarik hasil daripada banyak kajian yang dijalankan di barat.

Pertandingan berkumpulan bina spaghetti paling tinggi

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh seorang jurutera bernama Peter Skillman. Dia kumpulkan beberapa kumpulan terdiri daripada 4 individu.

Kumpulan yang dikumpulkan ada macam-macam.

Ada gabungan pelajar hebat dari pusat pengajian tinggi, ada gabungan peguam, ada gabungan CEO dan lain-lain lagi kategori profesional. Yang paling menarik ada juga satu kumpulan yang terdiri dari kanak-kanak tadika.

Pertandingannya mudah sahaja.

Bina struktur paling tinggi yang mungkin, dengan menggunakan bahan-bahan berikut:

  • 20 lidi spaghetti mentah
  • Pita perekat 3 kaki panjang 
  • Tali 3 kaki panjang
  • Seketul marshmallow

Undang-undangnya satu sahaja. Pastikan marshmallow tu duduk kat atas sekali.

Anda cuba teka kumpulan yang mana akan menang? Pelajar dari business school, peguam, CEO … ?

Mungkin anda tak akan sangka bahawa dalam kesemua pertandingan yang mereka buat, secara puratanya, kumpulan kanak-kanak tadika kalahkan kesemua kumpulan lain.

Secara purata kumpulan kanak-kanak tadika berjaya naikkan struktur spaghetti itu setinggi 26 inci. Pelajar dari sekolah perniagaan kalah 10 inci. Malah kumpulan CEO juga tewas dengan binaan mereka setinggi 22 inci. Geng peguam pula hanya buat binaan setinggi 15 inci.

Macam mana budak tadika boleh jadi sebuah kumpulan yang paling hebat?

Ianya ada kaitan dengan pembentukan tabiat yang berbeza apabila manusia dikumpulkan sebagai satu kumpulan. geng semua pandai bila berkumpul belum tentu akan jadi satu kumpulan pandai.

Geng tak berapa pandai bila berkumpul belum tentu akan jadikan satu kumpulan yang tak pandai.

Itulah uniknya manusia bila cuba digabungkan jadi satu kumpulan.

Jadi, itulah yang sedang saya faham sekarang ni!

Kalau tak faham. Macam mana saya nak hasilkan kumpulan yang hebat dalam syarikat saya! Betul tak?

Anda juga tentu sedang tercari-cari apa formulanya kan?

3 model utama membina kumpulan

Ini juga berdasarkan kajian yang saya baca.

Secara umum, daripada kajian yang dijalankan terhadap hampir 200 syarikat di Silicon Valley pada tahun 1990, mereka membina syarkat berasaskan 3 model utama seperti berikut:

  1. Model Star – fokus kepada mencari dan merekrut individu paling bijak dan cemerlang dalam syarikat.
  2. Model Profesional – Fokus kepada pembinaan kumpulan yang bertumpu kepada satu skill yang tetap sahaja. Tak campu aduk dengan berbagai skil.
  3. Model Komitmen – Fokus kepada pembentukan kumpulan yang kongsikan prinsip dan nilai hidup yang sama dan bina ikatan silaturahim yang kuat.

Agak-agaknya, model mana satu yang paling berjaya?

Model mana satu yang secara tetap dan konsisten berjaya dan berhasil mencapai kejayaan paling tinggi sepanjang masa?

Saya biarkan para pembaca teka. Akan saya berikan jawapan di komen kat bawah bila dah ada beberapa tekaan nanti.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge