3 tabiat penting untuk jadi usahawan ini adalah siri ke-2. Sambungan kepada artikel yang lalu.

Saya ulang sekali lagi kat sini bahawa anda hanya perlukan 3 tabiat sahaja dalam banyak-banyak tabiat lain yang baik yang perlu ada untuk jadi usahawan yang berjaya.

Bukan bermaksud tabiat lain tak relevan dan tak perlu ada.

Tetapi, jika anda berikan tumpuan yang amat serius terhadap 3 tabiat yang saya berikan ini, insyaallah sudah mencukupi untuk membuatkan anda bergerak maju dan menuju kejayaan.

Satu lagi, artikel ini juga khas untuk anda yang masih makan gaji dan memang dah nekad untuk berhenti kerja dan bertukar jadi seorang usahawan sepenuh masa. Tak kisah dalam masa terdekat ini atau setahun dua lagi, pastikan 3 tabiat yang saya kongsikan ni anda betul-betul kuasai dan hayati sampai jadi identiti diri.

Kali ini saya kongsikan pulak tabiat penting nombor 2 yang perlu anda bentuk

#2. Cekap dalam pengurusan dan fokus

Tabiat pertama dalam artikel yang sebelum ini adalah keperluan terhadap semangat yang tinggi untuk terus hidupimpian yang mahu dicapai.

Bila anda dah bersemangat dan bertenaga, perlulah gunakan tenaga yang ada secara optimum agar tidak terbuang dengan sia-sia.

Semangat akan sia-sia jika pengurusan lemah

Tenaga akan terbuang secara sia-sia seandainya anda tak cuba uruskan diri dan segala kerja yang dilakukan secara betul dan tersusun. Semangat sama juga macam bateri telefon pintar anda itu. Selepas di-charge, penuh bar. Semakin lama digunakan telefon tu, semakin kurang tenaga baterinya.

Apatah lagi jika aplikasi mengarut dan permainan yang berbagai dimainkan. Makin lemahlah bateri itu. Jika penggunaan yang aplikasi berfaedah disertai dengan pengetahuan yang betul, tenaga yang dipakai adalah amat bermanfaat.

Semangat akan disalurkan secara betul dan berfaedah jika pengurusan diri dan kerja anda dapat dilakukan dengan baik.

Semangat pudar jika tak fokus

Satu lagi perkara yang boleh buat semangat anda disia-siakan adalah apabila anda tidak berupaya untuk fokus. Nak buat macam-macam serentak adalah satu contoh tiadanya keupayaan untuk fokus.

Memang orang yang punya semangat tinggi ni biasanya banyak tenaga. Bila dah banyak tenaga, mudah sangat untuk dia terima segala cabaran. Walaupun pada hakikatnya tak semua cabaran perlu disambut.

Contoh paling mudah adalah Juara Tomoi yang tak akan sewenangnya sambut cabaran kutu tembok ajak dia bertumbuk. Bukan sebab tak mampu nak tewaskan kutu tembok tu. Tapi untuk apa?

5 cara mantapkan pengurusan

Untuk mantapkan keupayaan pengurusan diri dan kerja, anda hanya perlu lakukan 5 perkara yang saya senaraikan kat bawah ini.

  1. Pelan Tindakan – Mula buat satu pelan tindakan induk. Ini adalah pelan tindakan besar yang anda mahu capai dalam jangka panjang atau separa panjang. Buat senarainya satu persatu dengan jelas. Selepas itu, buat pula satu senarai pelan tindakan harian yang perlu dilaksanakan untuk membawa anda kepada sasaran jangka panjang dalam pelan induk tadi.
  2. Guna Kalendar – Cara lama adalah dengan guna diari. Tapi sekarang pakai saja Kalendar dalam telefon pintar anda. Anda perlu tahu waktu dan hari apa anda paling segar dan bersemangat tinggi. Blok masa dan hari tersebut untuk buat segala kerja yang penting bagi mencapai sasaran anda dalam pelan induk di atas tadi. Aa orang suka waktu pagi, ada pula yang malam. Bergantung pada anda sendiri.
  3. Bina sistem fail – Ini antara perkara paling mudah tapi ramai yang gagal. Biasakan diri anda buat sistem fail dan sediakan tempat simpanannya. Jangan biarkan dokumen berterabur dalam satu tempat. Samada dokumen sebenar atau dokumen dalam komputer, biasakan diri untuk sentiasa susun dan kemaskan secara sistematik.
  4. Semak status secara berkala dan tentukan keutamaan – Anda perlu lakukan kerja menyemak status dan memilih mana satu kerja yang paling penting dalam banyak perkara-perkara yang penting. Bila dah susun tahap penting semua kerja yang perlu dilakukan, buat satu persatu. Habiskan yang paling penting dahulu baru mula yang kedua. Begitulah seterusnya.
  5. Hilangkan gangguan – Sehebat manapun daya fokus anda, memang tak akan mampu megepung minda dari berbagai gangguan. Terutamanya dalam dunia serba canggih ini. Bunyi mesej masuk dalam telefon saja dah cukup untuk buatkan anda tak boleh hnti berfikir nak tengok mesj apa selagi tak buka telefon itu. Jadi pastikan anda berusaha keras untuk hilangkan segala gangguan apabila perlu tumpukan diri pada kerja yang penting. Contohnya, anda boleh sediakan tempat yang terasing dan jauhkan diri dari dapat dihubungi dan padam semua gadget yang ada.

Penting tingkatkan daya pengurusan

Dalam cita-cita untuk jadi seorang usahawan yang berjaya, daya urus yang tinggi adalah tabiat paling penting yang seorang usahawan perlu bina dan sentiasa pertingkatkan.

Masa hanya ada 24 jam sehari. Tolak waktu tidur tinggal 16 jam. Tolak senaman, makan, lepak, nga-nga dan lain-lain, tinggal 8 jam. Anda hanya ada 8 jam sehari untuk buat semua urusan penting bagi menggerakkan anda ke depan.

Uruskan masa bererti anda perlu bijak memilih kerja apa yang nak dibuat dan bila nak buat. Tak boleh biarkan kerja yang datang di depan secara rawak menentukan aktiviti yang perlu anda lakukan.

Buat pilihan dan mesti nekad dan bijak untuk abaikan mana yang tak penting.

Ramai usahawan yang punya kemahiran teknikal yang tinggi gagal dalam perniagaan yang berkaitan dengan kemahiran mereka itu disebabkan gagal dalam pengurusan dan fokus ini. Jadi perlu latih diri dan kuasai ilmu pengurusan yang saya sebutkan di atas tadi.

Bukan susahpun sebenarnya.

Hanya perlukan disiplin dan cara yang betul sebagaimana yang saya kongsikan kat atas tu. Buat dan sentiasa nilai mana yang berkesan dan mana yang tak berkesan. Ubah strategi jika perlu. Sentiasa gunakan kemudahan teknologi yang ada untuk cekapkan lagi kerja.

Kalau anda pening apa itu pengurusan, sekarang saya harap anda tak pening lagi. Sebab apa yang saya sebutkan kat atas itulah asas kepada segala makna pengurusan. Ia melibatkan cara menentukan keutamaan kerja yang perlu dilaksanakan.

Macam mana nak buat kerja hanyalah perkara teknikal sahaja dan boleh dipelajari. Tapi nak tentukan mana paling utama dan mana yang tak utama, hanya anda saja yang tahu. Tak ada orang boleh bantu dan tunjukkan pada anda. Sebab apa anda nak jadi sebenarnya adalah dalam kepala anda sendiri saja.

Setakat itu saja dalam siri-2 ini. Selepas ini, saya akan sambung siri-3 dan terakhir dalam bab 3 tabiat yang paling penting untuk anda bina dalam proses nak jadi usahawan yang berjaya. Insyaallah.

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge