Tabiat wajib ada untuk berjaya: Susun teratur serta fokus

Artikel 3 tabiat wajib ada untuk usahawan berjaya ini adalah sambungan dari artikel yang sebelum ini.

Kalau anda masih belum baca lagi artikel yang lalu, sila klik kat sini untuk pergi baca terlebih dahulu.

Ada beberapa maklumat penting yang anda perlu faham sebelum terus baca sambungan artikel tersebut dalam siri ke-2 ini.

Tabiat wajib no. 2 untuk berjaya

Kalau tabiat wajib yang lalu anda dah faham dan hadam, anda perlu lanjutkan pula dengan aktiviti mengamalkannya.

Macam yang saya sebut dalam artikel lalu.

Tabiat, bukan urusan mudah yang datang melekat dalam diri sekelip dalam masa sehari dua. Ia perlukan latihan tubi yang lama, sampai melekat jadi darah daging.

Untuk melekat jadi darah daging, anda terpaksa harungi segala cabaran untuk ulang buat amalan tersebut samada suka atau tidak.

Ia bermula dengan azam dan disiplin yang tinggi. Terpaksa berdisiplin terlebih dahulu secara paksaan. Bila kerap diulang secara konsisten, ia akan melekat bertukar jadi tabiat.

Bila dah jadi tabiat, tak perlukan disiplin lagi sebab ia akan jadi default kepada segala pemikiran dan tindakan diri anda secara lancar.

Saya dah gariskan semua tindakan yang anda perlu buat untuk serap tabiat wajib no. 1 yang lalu.

Sekarang saya berikan tabiat wajib ada no. 2 pulak kat bawah ni.

Teratur dan fokus

Tabiat wajib no. 2 perlu ada untuk berjaya

Hidup secara teratur dan fokus

Kalau ada orang sarankan, agar anda sentiasa sediakan sedikit masa setiap hari, untuk duduk berfikir, merancang segala urusan kehidupan anda sekarang, dan anda berikan jawapan seperti berikut kat bawah ni ..

“Saya tak ada masa untuk fikir semua tu!”

Itu tanda paling ketara yang membuktikan bahawa tabiat tersusun dan fokus tak ada dalam diri anda sekarang.

Tabiat rajin buat kerja tanpa henti memang ada pada ramai orang kat luar sana.

Paling rajin tak jemu membanting tulang dan memerah segala kudrat yang ada, dimiliki oleh semua orang yang kerja sebagai buruh kasar dalam semua lapangan kerja kasar.

Nelayan, petani, pekerja kontrak, pemotong rumput, pencuci bangunan, tukang angkut sampah dan seribu satu macam lagi pekerja yang seumpamanya tak perlu dinafikan lagi tahap kerajinan mereka.

Sebab itu bila pemimpin kita sebut Malayu susah sebab mereka malas, ada ramai juga orang yang marah. Pekerja buruh kelas bawah ramai dari kalangan orang Melayu.

Majoriti orang Melayu memang tak malas. Kalau tak serajin warga Bangladesh atau Indonesiapun, mereka tetap kerja kuat membanting tulang walaupun tak sehebat warga asing.

Apa yang tak ada pada mereka yang meyebabkan mereka susah dan tak berjaya meningkat, adalah tabiat diri “teratur dan fokus” ini.

Macam mana nak jadi teratur dan fokus?

Ianya ada kaitan yang amat rapat dengan cara anda menguruskan masa.

Bukan nak urus masa yang dah tetap sebanyak 24 jam sehari tu. Tapi bagaimana anda gunakan masa yang diberikan sebanyak 24 jam sehari itu.

Bila anda kata tak ada masa nak duduk berfikir merancang dan mengatur kehidupan, itu tandanya ada dah abaikan satu urusan paling penting untuk pastikan hidup berjaya. Anda tak ada masa untuk diri sendiri.

Itulah yang berlaku pada kebanyakan orang yang rajin kerja tak henti. Mereka belasah guna semua masa yang ada hanya untuk urusan fizikal tanpa luangkan masa untuk urusan mental.

Mudah cakap … malas bersusah payah untuk berfikir.

Mungkin anda anggap otak anda senantiasa berfikir. Tapi sebenarnya tidak!. Otak anda lebih banyak mengelamun melayan emosi yang tercetus mengikut keadaan semasa di mana anda berada.

Berfikir yang dimaksudkan disini adalah urusan memerah akal yang waras tanpa dibelenggu perasaan yang ada ketika itu.

Bila anda tak luangkan masa untuk berfikir dengan waras, tentukan sususan kerja dalam hidup anda, maka orang lain akan tolong berfikir untuk anda. Orang lain akan fikirkan kerja apa yang nak diberikan pada anda.

Anda akan senantiasa kerja teruk letih nak mampus sampai bila-bila.

Panduan hidup teratur dan fokus

Kalau anda masuk dalam kategori orang yang rajin yang saya gambarkan kat atas tu, saya mohon maaf kalau terasa.

Bukan bermaksud tak perlu rajin membanting tulang. Teruskan amalan baik tu. Jangan malas kerja.

Apa yang perlu anda tambah sekarang adalah, mula merancang kehidupan. Jadikan diri anda seorang yang teratur dan fokus untuk berjaya.

Macam mana nak buat?

Saya berikan panduan mudah kat bawah ni ..

Luangkan masa bersendirian

Kalau anda boleh sediakan masa untuk majikan, saudara, kawan, jiran, kenalan, dan semua orang lain, maka anda sepatutnya perlu sediakan juga masa untuk diri anda sendiri.

Bukan lamapun. Paling lama sejam.

Biasanya setengah jam dah mencukupi apabila anda jadikan amalan bersendiri ini sebagai rutin hidup.

Apa nak buat ketika bersendiri tu?

Semak status diri anda untuk 3 perkara berikut:

  • Apa yang sebenarnya sedang anda usahakan – Renung semula kesemua usaha yang sedang anda buat. Iaitu semua usaha atau kerja yang benar-benar sedang berlaku
  • Apa yang sepatutnya anda usahakan – Apa yang anda usaha tak semestinya betul ( sah atau legal atau tak salah). Juga tak semestinya mendatangkan faedah. Kadang-kadang anda buat hanya sebab terpaksa, orang suruh, layan nafsu dan sebagainya. Jadi apa sepatutnya yang perlu anda usahakan berbeza dari apa yang sebenarnya berlaku.
  • Apa yang anda benar-benar mahu usahakan – Ini pula hasrat hati anda sebenarnya. Semua usaha yang mendatangkan kepuasan, makna dalam hidup dan benar-benar idaman kalbu anda.

Elok urusan buat senarai tu dilakukan dengan menconteng kertas A4. Pecahkan pada 3 bahagian.

Urusan semak kedudukan diri di atas perlu selalu dilakukan. Tak kisah samada anda seorang yang sedang makan gaji atau seorang usahawan.

Kalau setiap pagi anda mula buat urusan semak 3 perkara tersebut kat atas, anda akan dapat jauhkan diri dari tersasar dan tersesat jauh sangat dari kesilapan dan buang masa.

Kerja semak kat atas tu juga boleh dibuat untuk semua urusan harian, mingguan, bulanan, tahunan atau jangka masa yang lebih panjang.

Setiap kerja atau usaha yang anda senaraikan perlu diikuti dengan pertanyaan samada urusan itu perlu dibuat atau tak perlu.

Perlu ertinya ia kritikal atau penting untuk diri anda. Tak perlu ertinya kalau anda tinggalkanpun tak ada apa-apa kesan samada jangkamasa pendek atau panjang.

Kalau tak perlu, buang saja dari senarai.

Akhirnya, yang tinggal hanyalah semua urusan atau usaha yang perlu dilaksanakan dalam 3 kategori yang sama:

  • Sedang berlaku – apa yang sedang anda buat. Contoh: Buat sales di media sosial.
  • Sepatutnya berlaku – pembaikan yang perlu dilakukan segera. Contoh: Fokus pada hasil dan elakkan dari hanyut layan sampah di medai sosial.
  • Teringin berlaku – pembaikan yang perlu diusahakan di masa depan. Contoh: Upah profesional atau gajikan orang untuk lakukan semua itu.

Sediakan buku nota

Sehebat manapun anda rasa daya ingatan yang ada dalam otak tu, biasanya orang hanya mampu ingat dalam 5 ke 9 idea saja dalam kepalanya.

Jangan susahkan hidup untuk hafal teruk-teruk kesemuanya dalam kepala.

Senarai 3 kategori yang saya cadangkan anda buat dan perlu semak ketika bersendirian kat atas tadi tu dah cukup banyak. Itulah tujuan Buku Nota ni perlu disediakan.

Bila dah pasti segala tindakan yang perlu anda ambil untuk laksanakan urusan ke-2 dan ke-3 kat atas tadi, masukkan semuanya ke dalam buku nota.

Semua perkara itu akan jadi Pelan Tindakan yang perlu anda laksanakan.

Sentiasa semak keutamaan

Bila dah ada senarai pelan tindakan kat atas tadi tu, anda perlu sentiasa perhatikan mana yang paling utama dan mana yang paling tidak penting.

Selesaikan yang paling utama terlebih dahulu.

Jangan sesekali buat 2 atau 3 kerja dalam satu masa. Jangan campur aduk kerja kononnya supaya boleh selit sana dan sini untuk jimatkan masa.

Selesaikan satu persatu dengan sempurna sebelum nak beralih kepada urusan lain pula.

Elak gangguan

Setiap kali anda nak bersendirian, nak buat semakan usaha, nak semak keutamaan dan sebagainya, pastikan tidak ada gangguan.

Samada kawan, rakan kerja, orang bawah, keluarga, media sosial, smart phone atau apa saja.

Bukan lamapun, hanya 30 minit saja.

Sediakan tempat yang sesuai yang membolehkan anda mengelak dari sebarang gangguan.

Susun atur hidup secara serius

Semua panduan kat atas tadi adalah sekadar untuk teruskan dengan apa yang anda sedang buat dalam hidup. Tapi dengan cara yang lebih tersusun dan teratur serta fokus.

Jika anda dah selesa amalkan buat kerja secara tersusun dan fokus itu, anda akan perlukan satu lagi aktiviti yang serius dan penting.

Ianya berkenaan jangka masa yang lebih panjang bermula dari sekarang.

Matlamatnya adalah untuk pastikan anda susun dan atur hidup secara lebih serius.

Untuk susun atur hidup dengan serius anda perlu mula dengan meluangkan masa membuat satu sasaran.

Apa yang anda nak capai dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 5 tahun dari sekarang.

Ambil kertas kosong, duduk seorang diri tanpa ada sebarang gangguan, mula berfikir dengan mendalam untuk jawab soalan ..

5 tahun lagi kedudukan aku kat mana?

Jawab soalan penting ini dengan serius

Kalau anda masih makan gaji, mungkin anda dah ada jawapan jelas jika ada niat nak jadi usahawan.

Kalau anda tak ada lagi hasrat nak jadi usahawanpun dalam tempoh 5 tahun lagi, nak teruskan makan gaji juga, anda masih perlu fikir secara serius nak jadi apa 5 tahun lagi dari sekarang.

Jika anda memang dah berniaga secara sepenuh masa, lagilah penting untuk jawab soalan penting ini. Jangan sampai ada pekerja anda tarik satu hari nanti dan tanya pada anda salan yang sama.

Soalan cepumas yang akan membuatkan usahawan kelihatan bodoh adalah bila pekerjanya tanya, soalan berikut ..

Boss!, 5 tahun lagi kedudukan saya kat syarikat ni macam mana?

Soalan cepumas pekerja pada taukeh

Anda akan kelihatan bodoh bila tak mampu nak jawab soalan tu pada pekerja. Baru sedar selama ini kenapa pekerja tak setia dan cabut bila ada peluang yang lebih baik. Baru sedar masalahnya bukan pekerja, tapi anda sendiri yang bermasalah.

Boss yang bermasalah adalah Boss yang tak tahu ke mana dia nak pergi!. Tak tahu syarikatnya nak dibawa ke mana.

Fokus pada satu matlamat

Bila anda luangkan masa untuk fikirkan soalan di atas tadi, anda akan secara lansung berlatih untuk fokus.

Kalau dalam tempoh 5 tahun dari sekarang anda sasarkan nak jadi nelayan hebat, petani of the year, kontraktor bangunan disegani dan dalam masa yang sama jadi pekerja terbaik ditempat kerja anda ..

Memang sah anda ada masalah kecelaruan daya fokus dalam hidup.

5 tahun pun dah ada banyak matlamat, apatah lagi jika lebih dari 5 tahun.

Sebenarnya, nak jadi semua benda sama saja macam tak nak jadi apa-apapun. Hanya membuang masa hanyut dari satu mimpi ke mimpi yang lain. Sedar-sedar orang dah baca surah Yasin kat sebelah katil.

Oleh itu sila fokus pada satu sasaran saja. Kalau ada 10 sasaran, sila tapis dan tapis sehingga tinggal satu. Jika anda fikir baik-baik, sudah pasti hanya ada satu saja sasaran yang jika anda capai sasaran itu, kesemua 9 lagi sasaran yang anda letak, jadi tak penting lagi.

Apa satu sasaran itu?

Buat senarai tindakan utama

Bila dah puas hati dengan sasaran yang anda mahu capai. Anda perlu fikirkan pula bagaimana nak capai sasaran tersebut.

Apa yang anda perlu ada dari segi fizikal, mental dan material untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Katakan sekarang anda masih makan gaji. Dan anda sasarkan 5 tahun dari sekarang dah ada syarikat dan perniagaan sendiri yang dijalankan secara sepenuh masa.

Apa tindakan yang perlu diambil untuk pastikan 5 tahun lagi anda jadi usahawan sepenuh masa?

Proses ini akan jadi sama dengan aktiviti yang saya terangkan pada mula tadi.

Amalkan tabiat wajib no. 2

Panjang sungguh saya goreng pasal tabiat wajib no 2 yang wajib ada pada anda yang nak jadi usahawan berjaya.

Sebenarnya asasnya mudah saja.

Pastikan anda susun atur hidup anda dan fokus pada segala kerja yang dilakukan.

Itu saja petuanya.

Mudah nak cakap. Tapi tak mudah nak amalkan.

Anda boleh cari jalan sendiri untuk jadikan hidup tersusun dan fokus. Tak perlu ikut cara yang saya cadangkan kat atas tu.

Yang pastinya, perlu biasakan diri bersedirian, merancang dan membuat catitan. Sentiasa semak keutamaan dan selesaikan satu urusan sampai sudah sebelum ke urusan lain pula.

Itu saja asas yang paling penting.

Total
34
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge