Anda seorang usahawan, seorang peniaga atau seorang yang kerja sendiri?

Itu soalan yang sangat popular di kalangan pemikir dunia keusahawanan. Popular sebab nak timbulkan kesedaran pada semua peniaga untuk keluar dari zon selesa dunia perniagaan mereka.

Cuba bayangkan yang anda baru mulakan sebuah perniagaan secara solo.

Contohnya anda ada sebuah lori 3 tan.

Kerja anda setiap hari adalah sebagai pemandu lori tu.

Cari pelanggan yang mahukan khidmat angkut barang menggunakan lori 3 tan tu. Semua urusan anda sendiri yang buat.

Dari cari pelanggan, angkut barang, pandu lori, kejar pembayaran, ‘bank-in’ duit masuk ke bank, hantar selenggara lori dan sebagainya, semuanya sendiri buat!.

Nak panggil apa orang macam tu?

Businessman? Usahawan? Drebar lori? Peniaga khidmat angkut?

Lebih mudah panggil saja kerja sendiri. Sebab anda tak makan gaji. Ada rajin, ada duit. Ada malas, tak masuk duit. Semuanya anda tanggung sendiri. Tak ada pekerja yang nak marah gaji masuk lambat.

Kalau ada orang yang nak marahpun, mungkin isteri anda (saya andaikan seorang pemandu lori ialah lelaki). Tapi kalau isteri anda ada kerjaya dan ada pendapatan tetap, tak ada tekanan dari mana-mana.

Itu sebab utama, ramai yang dah biasa kerja sendiri, terus kekal macam itu dalam tempoh masa yang sangat lama. Hidup tanpa ropol tanpa tekanan!.

Dari kerja sendiri jadi usahawan

Selama anda kerja sendiri, satu disiplin baik telah anda terapkan dalam hidup. Disiplin asingkan sebanyak 20% dari setiap bayaran yang diterima ke dalam akaun bank khas.

Idea buat begitu anda dapat setelah habis baca buku kecil ‘The Richest Man in Babylon’.

Dapat saja bayaran, anda terus asingkan dahulu 20% masuk ke dalam akaun bank khas itu. Baki yang tinggal, itulah jumlah yang anda pakai untuk keperluan hidup. Samada yang wajib atau yang sunat, bahkan untuk yang makruh atau haram sekalipun. Itulah bajet yang boleh diguna pakai.

Setelah lama amalkan disiplin begitu, sebuah lori lagi berjaya dibeli.

Siapa nak jadi drebar?

Perlu cari seorang pekerja sebagai drebar lori pulak.

Bila dah ada tanggungan tetap sebegitu, anda dapati job yang masuk tak mencukupi untuk sara tanggungan yang ada. Perlu fokus pada ‘sales & marketing’ dengan lebih agresif.

Maka anda buat keputusan untuk lepaskan kerja bawa lori kepada seorang lagi pekerja. Jadi sekarang dah ada 2 orang drebar lori. Anda sendiri dah buat full time cari kerja supaya lebih banyak yang masuk.

Bila dah mula fokus cari kerja. Banyak lah pulak kerja datang. Dah tak cukup lori dan kaki tangan. Mula terfikirkan nak tambah lori dan pekerja.

Disebabkan anda pergi jumpa Mohd Shubhi Abdul, penulis blog hidupringkas.com terlebih dahulu, tanya macam mana nak buat dengan masalah tak cukup lori dan pekerja ni, anda dapat satu ilmu baru.

Dia kata, tak perlu tambah staff dan beli lori lagi. ‘Out-source’ saja terlebih dahulu pada kawan yang ada lori dan tak ada banyak kerja.

Itulah yang anda buat.

Dari seorang vendor, bertambah. Naik jadi 2 orang. Kemudian 3 orang. Anda sendiri dah tambah lori baru dan tambah lagi seorang pemandu. Vendor masih tetap digunakan sebab konsep vendor lebih fleksibel dan kurang risiko tanggung bebanan tetap.

Konsep vendor bantu anda menjadi fleksibel terima kerja tanpa risaukan kerja itu akan kekal lama atau tidak.

Semua itu menyebabkan anda tak menang tangan nak buat semuanya seorang diri. Perlu ada kerani untuk bantu anda buat kerja admin dan pantau kerja dan kejar pembayaran.

Selama ini anda hanya kerja dari ruang tamu rumah saja. Semua fail dan dokumen anda susun dalam almari tepi dinding tu. Bila dah ada kerani, takkan nak guna ruang tamu pulak suruh staff buat kerja kat situ.

Lagipun kerani anda itu anak dara. Cantik pula tu. Sangat cekap buat kerja walaupun gayanya amat manja. Sengaja anda buat begitu sebab kerani macam itu mampu cairkan hati para pelanggan anda yang rata-rata memang gatal.

Untuk jauhkan dari masalah di masa akan datang, terutamanya dari isteri anda sendiri, maka sebuah premis asing perlu ada. Jauh dari rumah anda.

Sekarang anda dah ada premis pusat operasi yang lengkap dengan warehouse di belakangnya. Anda jadikan warehouse itu sebagai transit untuk barang pelanggan yang perlukan ruang sementara. Anda dapat hasil tambahan dari kemudahan tersebut.

Dan begitulah perniagaan anda berkembang dan berkembang.

Anda dah jadi apa sekarang?

Itu bukan lagi kerja sendiri. Walaupun hakikatnya memang anda tak ada boss dan tak makan gaji.

Anda dah jadi usahawan tu!

Ada syarikat berdaftar. Ada pekerja tetap yang dah ramai. Ada pusat operasi. Ada gudang. Ada lori yang dah banyak. Ada loan dari bank. Kerja sales & marketing pun dah di ambil alih oleh kerani pertama anda dahulu.

Ada kerani baru yang jauh lebih cekap buat semua kerja. Job masuk lebih laju bila kerani awal anda buat kerja sales yang sangat agresif.

Anda pula sekarang buat apa?

Dalam keadaan begitu, ada 4 kemungkinan cara anda buat kerja. Saya senaraikan kat bawah ni.

#1. Kerja bina perniagaan

Dalam contoh kat atas tadi, semua itu boleh berlaku bila anda berikan tumpuan yang banyak kepada kerja bina perniagaan.

Anda fikirkan macam mana nak besarkan lagi bisnes. Buat perubahan yang lebih baik dari masa ke masa.

Masa anda banyak fokus untuk cekapkan lagi keseluruhan bisnes yang sedang dijalankan.

Cekapkan operasi logistik, cekapkan lagi cara kutip bayaran. Cekapkan lagi teknik jualan dan pemasaran. Cekapkan lagi cara merekrut staff dan sebagainya.

Memang patutlah bisnes anda terus berkembang dan maju.

#2. Kerja jalankan perniagaan buat duit

Jika anda sibuk dengan seribu satu urusan yang penting untuk pastikan kerja berjalan hari ke hari. Pergi cari kerja, pergi buat kerja angkut barang. Layan pelanggan punya kerenah. Tambah kerja, tambah jualan, tak cukup orang anda sendiri buat.

Balik buat inbois, kemudian pergi hantar inbois. Lepas tu kejar duit pulak.

Macam itu aktiviti sepanjang masa. Balik rumah letih, terbongkang tidur. Esok bangun lagi dan ulang semula semua urusan jalankan perniagaan anda.

Dengan sikap anda sedemikian, bisnes memang ada masuk duit. Anda juga sentiasa kelihatan sibuk buat duit.

Tapi terbelenggu dalam perniagaan dan cara uruskan masa sedemikian tak mampu untuk besarkan perniagaan anda.

#3. Kerja uruskan perniagaan tak masuk duit

Kalau sibuk macam kes ke-2 kat atas tu masih ok. Sebab anda fokus pada kerja yang mendatangkan duit.

Tapi bayangkan kalau anda sibuk kerja yang memang tak mendatangkan duit pun.

Macam kerja kerani. Kerja buat book keeping. Kerja masukkan gaji pekerja, masukkan socso, bayar KWSP, kerja cari dan beli perabut pejabat, kerja design dan tempah uniform, kerja nego tempoh dan bayaran sewa.

Tak habis dengan semua kerja keluar duit kat atas tu, anda juga sibuk dengan kerenah layan staff.

Panggil staff yang ada masalah, ceramah motivasi pada staff yang selalu datang lewat. Jadi perunding cara dengan staff yang nak bercerai dengan isterinya.

Pergi kejutkan staff yang tak datang masuk kerja di asrama mereka. Siap bawa teh tarik dan nasi lemak nak pujuk datang kerja.

Kerja itu semua memang penting.

Tapi itulah jembalang ganas dalam perniagaan. Tak boleh nak elak. Kalau tak sedar, anda akan terbelenggu. Stress, rasa nak gibab dan sebagainya.

Dahlah semuanya urusan keluarkan duit. Yang lansung tak berbaloi berbanding urusan bawa masuk duit, macam kes no-2 kat atas tadi. Bayangkan kalau masa anda banyak fokus pada semua urusan sebegitu?

#4. Kerja larikan diri

Ini paling teruk punya keadaan.

Jika anda rasa kerja no-3 tadi dah malang, kerja larikan diri ni jauh lebih malang.

Peniaga atau usahawan yang sebegini akan leka buat kerja yang tak ada kualiti lansung. Kerja dating dengan marka lawa contohnya. Duit ada banyak, sesekali enjoy apa salahnya!

Itulah yang anda sangka.Tapi nampaknya kerja masuk kelab karokee dengan marka dah jadi rutin. Siang haripun boleh pergi karoke!

Kalau anda bukan jenis gatal merenyih dengan perempuan, mungkin anda terleka dengan kerja panaskan hati pasal isu politik. Layan media sosial dan jadi cyber trooper tak berbayar.

Layari internet dan leka baca dari satu isu ke satu isu. Layan posting FB, IG Twitter dan sebagainya.

Atau mungkin anda pergi cari maklumat yang berbagai-bagai kononnya untuk tambah baik perniagaan. Sedangkan dah lebih dari 100 idea dan maklumat, satupun anda tak buat.

Itu semua kerja larikan diri. Berlaku secara tidak anda sedari. Anda cuba sibukkan diri konon. Tapi hakikatnya apa manfaatpun tak ada pada perniagaan anda itu. Anda hanya mengelakkan diri dari buat kerja yang sepatutnya sebagai seorang usahawan.

OK!

Anda duduk kat zon atau cara kerja yang mana satu sekarang?

1, 2, 3 atau 4 ?

Atau gabungan kesemua itu. Apapun, pastikan urusan paling banyak adalah yang no 1. Diikuti no 2, lepas tu no 3 dan seeloknya, abaikan yang no 4.

Loading...

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge