4 langkah mudah bercakap dengan amat hebat!

By | 14/06/2012

bersembangMemang mudah bercakap. Semua orang yang tidak bisu boleh bercakap, dan kita sendiri sering bercakap dan kita juga sentiasa mendengar orang bercakap.

Jika kita berfikir sejenak, untuk menganalisa pengalaman kita sendiri daripada aktiviti bercakap ini, kita mungkin akan mula bertanya soalan-soalan berikut:

  • Kenapa sesetengah orang apabila ia bercakap membuatkan kita memberikan perhatian pada percakapannya dan suka pada ucapannya sedangkan sesetengah orang apabila bercakap membuatkan kita berharap agar dia segera selesaikan ayat terakhirnya
  • Kenapa sesetengah orang apabila bercakap membuatkan kita terus saja percaya dan yakin apa yang dicakapkannya dan kenapa sesetengah orang, banyak manapun dia cakap, berapa kalipun dia ulang cakap, kita lansung tak yakin dengan apa saja yang dicakapkannya.
  • Kenapa sesetengah orang apabila kita meminta nasihat daripadanya lalu dia mula bercakap menasihati kita, membuatkan kita terus rasa lega dan lapang dan menemui jalan penyelesaian dalam masalah kita. Tetapi ada orang yang bila kita minta nasihat daripadanya lalu dia bercakap membuatkan masalah kita lebih kusut.
  • Akhir sekali kenapa ada orang yang kita sentiasa saja mahu menjadikan dia teman untuk mendengar kita bercakap sedangkan kita tak mahu mendengar dia bercakap. Ada orang lain pula kita lebih suka mahu menjadikan dia teman untuk kita mendengar dia saja bercakap sedangkan kita lebih suka mendengar daripada bercakap.

Sebenarnya semua persoalan yang disebutkan di atas ada kena mengena dengan kehebatan seseorang itu bercakap.

Memang mudah bercakap, semua orang memang boleh bercakap tetapi jika tidak kena gayanya percakapan kita hanya sekadar mencetuskan pencemaran bunyi.

Oleh itu sebelum kita bercakap pastikan kita ikuti petua yang saya sebutkan di bawah agar cakap kita sentiasa ‘POWER’:

  1. Cakaplah dengan perlahan-lahan. Perlahan di sini bukan bermaksud volume, tapi rentak percakapan kita. Jangan cakap seperti ‘mesingun’ yang memuntahkan pelurunya tanpa henti menghancurkan apa saja yang ada di depannya. Untuk memahaminya dengan lebih jelas cuba bayangkan percakapan seorang kanak-kanak yang gementar cuba menceritakan sesuatu pada anda, berbanding dengan percakapan seorang hakim ketika memberikan penghujahannya.
  2. Berhenti sejenak. Pastikan anda henti sejenak satu atau dua saat setiap kali menghabiskan ayat anda atau anda juga boleh henti sejenak di tengah ayat dan sambung semula untuk menghabiskannya. Mereka yang berbuat begitu mempamerkan kejituan serta keyakinan akan ucapannya serta yakin orang tidak akan potong percakapannya sewaktu berhenti sebentar.
  3. Turunkan intonasi. Anda akan dilihat bercakap dengan penuh keyakinan jika setiap kali anda habiskan ayat anda dengan menurunkan intonasi. Bayangkan intonasi apabila anda bertanya soalan, ‘apa kamu cakap?”, intonasi anda apabila bertanya tadi naik dengan mendadak pada akhir ayat, jangan buat begitu ketika anda berucap atau bercakap. Bayangkan pula jika anda berkata pada seorang kawan, “maaf, saya tak boleh tolong kamu…”, perkataan kamu pada akhir ayat yang diperlahankan intonasinya akan cukup meyakin kawan anda bahawa anda benar-benar tidak mampu menolongnya.
  4. Bernafas dengan betul. Lihat bagaimana anda bernafas ketika bercakap. Jangan hembus dan sedut nafas dengan menggunakan mulut, gunakanlah hidung anda. Orang yang bercakap sambil bernafas dengan menggunakan mulut hanya mempamerkan rasa bimbang dan tidak yakin pada orang lain. Perhatikan juga bagaimana anda menyedut nafas anda, adakah melalui dada atau perut. Pernafasan yang betul adalah melalui perut dan bukan dada. Jika anda tarik nafas dan dada anda yang kembang sedangkan perut anda kempis, anda telah bernafas dengan cara yang salah. Lihat bayi yang sedang tidur, bernafas dan belajar semula cara bernafas ‘semulajadi’ melalui bayi.

Jika anda mahu tambahkan lagi kemanisan dalam percakapan anda, jangan lupa untuk senyum sedikit ketika bercakap.

Walaupun ketika bercakap melalui telefon, ia memberikan kesan yang baik dan nyaman pada mereka yang mendengarnya.

Selamat mencuba dan semoga lebih mudah bercakap.

(Sumber buku: The Charisma Myth: How Anyone Can Master the Art and Science of Personal Magnetism)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge