Macam mana nak tahu bahawa anda merupakan seorang usahawan yang dah hilang semangat?

Ini satu isu yang asas dan paling penting untuk diperhatikan, dalam memastikan perniagaan yang anda bina berjaya sebagaimana yang diharapkan.

Sejak mula berusaha untuk kongsikan sedikit pengalaman yang ada, pada usahawan kecil lain diluar sana, dah ramai juga usahawan yang saya jumpa. Saya dan kawan-kawan lain dalam HR Biz Coaching dah berpeluang untuk membantu lebih dari 600 usahawan dalam tahun 2016 sahaja.

Dari semua pengalaman tersebut di atas, satu perkara yang kami dalam HR Biz Coaching amat pasti. Sebelum nak buat apa-apa perubahan atau pembaikan dalam bisnes, usahawan atau taukeh itu sendiri mesti ada semangat  yang tinggi.

Kalau Taukeh sendiri dan hilang semangat, buatlah apapun, semuanya hanya akan jadi satu usaha yang sia-sia. Isu ini kami masukkan dalam bab, ‘Masalah Tabiat’.

4 tanda anda dah hilang semangat

Berikut saya berikan 4 tanda yang mudah untuk kenal pasti bahawa seorang usahawan itu dah hilang semangat.

Anda boleh semak sendiri, samada ada tanda yang digariskan di bawah, pada diri sendiri. Kalau ada satu sajapun dah cukup untuk berikan isyarat yang anda perlukan bantuan.

Kalau ada lebih daripada satu tanda yang saya berikan di bawah ini, anda memang benar-benar perlukan bantuan untuk dipulihkan semula semangat (Tapi bukan dengan pergi jumpa bomoh atau pergi mandi 7 jenis bunga, ada cara lain yang lebih mudah dan tak makan kos).

  1. Sentiasa rasa keletihan dan tiada motivasi
    • Letih berlari tercungap-cungap tak sama dengan letih tidak bermotivasi jalankan urusan berniaga. Letih macam ini membuatkan anda rasa malas nak kerja lebih, malas nak buat temujanji dan malas nak balik lewat.
    • Anda sentiasa ada alasan untuk tangguhkan kerja yang perlu dilakukan.
  2. Sentiasa terfikir kenapa perlu teruskan bisnes
    • Setiap hari ini soalan yang sering terpancul keluar dalam benak fikiran. Apasal aku teruskan juga bisnes ini aaa ?. perlukah aku teruskan bisnes ni ya ?.
    • Itu semua soalan yang paling kurang, akan keluar sekali dalam sehari, terutamanya ketika anda sedang memandu atau termenung keseorangan.
  3. Kawan tegur kesihatan dan keadaan anda nampak letih
    • Tengok gaya berjalan dan cara anda memberikan responpun dah boleh nampak macam bermasalah. Tak ada aura ceria dan segar dalam semua pergerakan dan perbicaraan anda.
  4. Terlalu relaks dan anda tak kisah untuk sibukkan diri
    • Tak ada kerja yang anda rasa penting untuk dilakukan. Malah anda tak ambil kisahpun untuk fikirkan apa yang perlu dilaksanakan. Yang sering anda buat adalah, melepak dan buang masa, berkhayal atau letak tangan atas dahi dan pejam mata atas sofa.

Apa macam ?

Ada tak salah satu dari 4 tanda hilang semangat yang saya sebutkan kat atas tu pada diri anda ?

Bila tulis artikel ni, saya sendiri baru perasan ada perkara yang tak kena sedang berlaku pada salah satu dari syarikat saya. Ada soalan kat atas tu yang dikesan positif berlaku dalam diri ini. Tapi tak apa, itu kemudian akan difikirkan, saya perlu selesaikan artikel ini dulu.

Kalau anda juga ada, perlu kembalikan semula semangat yang dah hilang untuk jayakan bisnes yang sedang dilakukan. Anda perlu berikan tumpuan untuk pulihkan semula semangat yang hilang itu dengan cara yang saya gariskan kat bawah ini.

Cara pulih masalah hilang semangat

Berikut adalah 4 cara yang perlu anda lakukan untuk pulihkan semula semangat.

  1. Pastikan anda berada dalam bisnes yang betul dan sesuai – Ambil masa untuk fikirkan semula sedalam-dalamnya bagi menjawab soalan ini. Berlaku jujur pada diri sendiri dan buat analisa yang menyeluruh.
    1. Sekurang-kurangnya cari satu bahagian dari aspek bisnes yang sedang dilakukan, yang dirasakan bermakna untuk diri anda. Mesti ada sekurangnya satu aspek. Fokus pada urusan itu dan cari orang lain untuk uruskan aspek lain dalam perniagaan anda.
    2. Kalau tak ada lansung, itu memang parah !, tapi masih ada jalan untuk selesaikannya. Jika bisnes anda masih ok, tapi anda sendiri tak ada semangat, pertimbangkan untuk jual bisnes tersebut dalam tempoh setahun dari sekarang. Tempoh masa setahun itu diperlukan untuk kerja menjadikan perniagaan anda idaman pembeli. Ini projek buat duit setinggi mungkin dengan menaikkan nilai perniagaan anda di mata pembeli. Kerja itu memerlukan bantuan dari business coach, hubungi team di HR Biz Coaching kalau perlu bantuan.
    3. Last sekali, kalau tak ada satupun perkara yang membuatkan anda rasa semangat untuk teruskan bisnes, dan bisnes pulak hidup lebih mati dari hidup, tutup kedai dan cari bisnes lain saja.
  2. Ubah gaya hidup – Sasarkan untuk ubah diri sendiri jadi insan yang sihat gaya hidupnya. Rancang kehidupan yang seimbang dan jadikan diri anda seorang yang bertenaga. Ini mesti dilakukan tanpa perlu tunggu selesai buat analisa perkara nombor satu di atas tadi. Gaya hidup seimbang mudah saja untuk direncanakan. Anda hanya perlu buat 4 perkara berikut di bawah:
    1. Sediakan masa untuk orang penting – Siapa orang penting dalam hidup anda ?, ibu, isteri, anak, abang, kakak, sahabat karib, marka, ustaz, nenek…, sediakan masa untuk mereka. Pastikan anda hadir bersama mereka secara berjadual dengan aktiviti yang berkualiti. Terutamanya untuk keluarga dan anak-anak, balik awal untuk bersama mereka.
    2. Jaga makan – Samada skip makan atau makan berlebihan, kedua-duanya tak bagus. Beli buku pasal penjagaan makan dan belajar pasal pemakanan. Mana yang baik dan mana yang tidak baik. Amalkan budaya makan yang baik sehingga ia menjadi tabiat diri yang sebati dalam diri anda.
    3. Bersenam – Tak payahlah nak bagi alasan, cukuplah tu dengan alasan itu dan ini tak mahu bersenam. Set dalam minda bersenam adalah urusan paling penting dalam diri anda lebih penting dari banyak duit. Pergi beli kasut dan pakaian sukan dan mula bersenam sekurangnya setengah jam sehari. Seeloknya di awal pagi sebelum kerja.
    4. Tidur cukup – Tak perlu nak guna alasan networking untuk tidur ketika ayam mula berkokok. Rehat dan tidur secukupnya amat penting untuk kesegaran minda, keceriaan hidup, dan untuk pulihkan semula tubuh badan. Samada kawan nak kutuk atau orang kata lembik tak tahan jaga dan sebagainya, abaikan saja. Cukup waktu balik dan rehat tidur. Esok sambung balik.
  3. Berminda positif – Letakkan diri anda dalam keadaan sentiasa berminda positif. Berfikir sebelum sembur keluar sebarang ayat. Salahkan diri sendiri sebelum nak salahkan orang. Jangan tunggu orang betul dahulu sebelum nak betulkan diri sendiri. Duduk bersama dengan kumpulan yang juga berminda positif dan jauhkan diri dari mereka yang negatif. Cari buku dan baca tips-tips untuk berminda positif.
  4. Jangan tunggu, buat terus ! – Anda mesti tanam budaya bergerak tanpa perlu diketuk oleh orang lain. Mulakan dengan buat perkara-perkara kecil terlebih dahulu. Ini untuk pulihkan semula tabiat bertangguh.
    1. Mulakan sekarang dengan buat senarai 3 perkara kecil yang perlu dilakukan untuk majukan diri anda.
    2. Buat 3 senarai perkara kecil untuk majukan perniagaan anda.
    3. Bermula dari sekarang, selesaikan 6 perkara tersebut di atas. Jadikan perkara itu sebagai sasaran kecil untuk dilaksanakan dalam mingu-minggu yang mendatang satu persatu.

Ok dah habis artikel panjang kali ini.

Moga perkongsian ini ada manfaatnya untuk anda yang dah patah atau dah mula hilang semangat. Cba amalkan apa yang saya sebutkan kat atas tu. Semuanya amat mudah untuk dilakukan. Tapi kesannya amat hebat jika anda berjaya lakukannya, insyaallah.

Saya akan sambung artikel seperti ini bermula dari sekarang. Artikel yang memberikan fokus pada masalah dalam bisnes dan macam mana nak atasinya.

Ia merupakan proses yang diamalkan oleh team HR Biz Coaching dalam usaha membantu para usahawan menguruskan bisnes dengan baik dan menyeluruh. Bagi mereka yang tak ada duit nak bayar coach dalam team HR Biz Coaching, ikuti dan baca perkongsian seperti ini secara percuma. Itu saja yang dapat saya bantu supaya anda banyak duit.

Total
39
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Betul sangat2. Salah satu daripada taktik yang saya guna untuk re-motivate, guna music therapy.

    KIta dengarlah lagu-lagu yang bersemangat untuk kita, Lagu Gym ke, lagu favourite ke.. apa apa pn, but kalau terbaring tu, boleh tukar balik jadi semangat berbuak2. =)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge