Petua untuk membina tabiat ringkas ini amat penting!

Kejayaan terhadap apa sahaja yang anda lakukan banyak bergantung kepada tabiat diri.

Sebab itu ramai di kalangan cerdik pandai sekarang memberikan tumpuan ke arah mengubah atau memperbetul tabiat terlebih dahulu, untuk berjaya.

Jika anda bertanya.

“Kenapa susah sangat aku nak berjaya sedangkan orang lain nampak begitu mudah?”

Jawapannya adalah disebabkan tabiat yang anda ada jauh berbeza dengan tabiat rakan anda yang berjaya.

“Memang diakui bahawa untuk mengubah tabiat adalah sesuatu yang sukar, namun begitu sesiapa saja mampu mengubah tabiat dari buruk kepada baik jika ada kemahuan.”

Jika anda mahu jadi usahawan berjaya, semak bagaimana tabiat yang ada pada diri anda sekarang.

Jika tabiat seseorang itu baik, samada makan gaji atau berniaga, tidak ada bezanya. Anda tetap akan berjaya, Insyaallah.

Sebaliknya jika tabiat yang ada, buruk, kerja makan gaji akan dilanda dengan berbagai masalah. Bila banyak masalah, terpaksa berhenti kerja.

Berhenti untuk berniaga.

Bila berniaga pula, sentiasa bertukar-tukar dari satu perniagaan ke satu perniagaan baru. Hasilnya buat apapun tak berjaya.

Punca kejayaan seseorang adalah disebabkan dia mempunyai tabiat yang berjaya.

Oleh itu mari kita lihat beberapa tabiat mudah, yang boleh kita perbaiki sebagai persediaan sebelum menjadi seorang usahawan.

Anda boleh amalkan kesemuanya ketika sedang makan gaji sehingga ianya sebati menjadi tabiat diri.

#1. Tabiat ringkas dalam menjaga penampilan

Uruslah diri anda dengan baik.

Kuku jangan panjang, rambut jangan selekeh, jambang atau kumis (jika ada) biar rapi, ketiak jangan hangit dan lain-lain lagi yang seumpamanya.

Berpakaian biarlah kemas. Tidak bermakna perlu pakai baju mahal berjenama. Baju murah dipilih dengar cermat berciri-cirikan kesopanan sentiasa menyerlahkan ketrampilan.

Bertuturlah dengan baik, lancar, tegas, dan jelas. Cakap kelam kabut hanya menterjemahkan diri kita yang cepat panik dan gabra dalam apa saja keadaan.

Berlatihlah bercakap dengan terang seperti seorang guru yang mahir. Percakapan yang jelas, terang, ringkas dan padat melambangkan diri kita yang terurus.

#2. Tabiat ringkas dalam tepati masa

Berlatihlah untuk tepati masa dalam apa jua suasana samada formal atau tidak formal. Jadikan ia satu identiti yang orang ramai kenali diri anda dengannya.

Tepati masa dalam dunia sekarang ini bermakna anda perlu sampai sekurangnya 10 minit lebih awal dalam mana-mana pertemuan. Jika anda sampai tepat pada masanya, bermakna anda lewat.

Sampai awal membolehkan anda melihat-lihat suasana dan persekitaran dan menyediakan diri sebelum pertemuan sebenar berlaku.

#3. Tabiat ringkas dalam mendengar

Pastikan anda sentiasa mendengar 2 kali dan cakap hanya sekali. Sebab itu kita ada 2 telinga dan hanya satu mulut. Ditambah dengan 2 lagi mata yang perlu digunakan untuk mendengar perkataan yang tidak berbunyi.

Berlatih agar menjadi seorang yang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Biar orang kenali anda sebagai pendengar yang baik.

Jika anda seorang yang kurang bercakap, setiap kali anda bercakap, orang akan mendengar apa yang anda mahu katakan.

Elakkan perbalahan yang tidak mendatangkan faedah.

Bila cadangan anda ditolak, terima dengan tenang dan ucapkan terima kasih.

Bila orang kritik idea anda, ucapkan terima kasih dan diam.

Bila orang sakitkan hati anda, tenangkan diri dan diam.

#4. Tabiat ringkas dalam sentiasa bersedia

Sediakan diri dengan mencari maklumat setiap perkara yang anda lakukan. Jangan sekadar berpuas hati menjadi pak turut

Jangan terima cabaran pada sesuatu yang anda tidak bersedia.

Gaya keletihan ,mengeluh, mengantuk, gabra, kelu dan seumpamanya hanya melambangkan seseorang yang tidak bersedia. Elakkan kesemua tersebut dengan buat sedikit homework agar anda lebih yakin.

#5. Selesaikan apa saja yang anda mulakan

Setiap yang dimulakan mesti ditamatkan. Jangan biasakan diri buat kerja separuh jalan. Latih dengan perkara mudah seperti membaca buku.

Pastikan buku yang telah anda beli habis dibaca.

Licinkan pinggan setiap kali anda makan. Jangan membazir. Jika anda sudah kenyang, ambil sedikit saja atau jangan ambil langsung.

Buat senarai setiap kerja yang perlu dilakukan dan jangan padam selagi ianya tidak habis.

Bina tabiat ringkas dahulu

Samada anda seorang yang sedang makan gaji atau sudahpun terjun ke dunia keusahawanan, tabiat-tabiat di atas perlu diperhatikan secara serius.

Jika anda miliki kesemuanya, Alhamdulillah!, saya yakin anda cemerlang di mana saja anda berada samada makan gaji atau berniaga.

Sebaliknya jika ada banyak kekurangan, jadikan ianya perkara utama yang anda akan pantau dengan serius dan sistematik sehinggalah ia menjadi identiti diri.

Biarkan semua orang yakin setiap kali berurusan dengan diri anda dan mereka akan berkata:

“Aku yakin penuh dia mampu melaksanakan apa saja tugasan sehingga selesai dengan baik!”

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

10 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge