7 langkah yang perlu anda buat sebaik saja berpindah

By | 08/08/2012

Ini lanjutan dari idea dalam artikel sebelum ini tentang bagaimana nak jadi lelaki hebat bila pindah rumah baru.

Sekadar berpindah ke rumah baru tanpa melakukan perkara yang akan saya senaraikan di bawah ini, tidak membolehkan anda memperolehi manfaat dari aktiviti berpindah ke rumah dan kawasan baru.

Selain daripada mengubah suasana fizikal di sekeliling, anda juga perlu mengubah dengan siapa anda akan mula jalinkan perhubungan sosial.

Bertemu dan menjalinkan perhubungan dengan kenalan baru mampu memberikan anda pengalaman dan cara berfikir yang berbeza. Ada akan mendapat pengalaman baru dari segi sudut pandang para kenalan yang baru.

Oleh itu, sebaik sahaja selesai mengemas dan bersedia tinggal di rumah baru pastikan anda lakukan perkara-perkara berikut di bawah:

  1. Segera perkenalkan diri pada jiran. Mula buat pencarian rangkaian kawan yang betul. Ada jiran yang boleh diakrabkan dan ada yang tidak serasi dengan kita. Hanya dengan mengenali mereka kita dapat mengenal pasti mana ok mana tak ok.
  2. Segera ke Masjid atau surau paling dekat. Hampir semua orang baik-baik berkumpul di situ. Kita tak payah menyusahkan diri untuk mengenali golongan berpotensi menjadi kawan yang baik dengan mencari serata tempat. Pergi saja ke surau atau masjid.
  3. Jadikan amalan solat berjemaah di surau atau masjid secara istiqamah. Surau atau masjid yang berdekatan merupakan jalan mudah mengenali masyarakat baik di penempatan baru. Tak ada cara mudah membina kawan melainkan dengan sering berjumpa dan membina perhubungan. Jangan hanya ke surau sekali seumur hidup atau hanya pada bulan puasa. Ia tidak mencukupi membina rangkaian kawan.
  4. Aktif membantu mengimarahkan masjid. Jangan biarkan hanya AJK masjid atau surau saja buat kerja. Tak ada gaji dalam kerja sebegitu dan mereka lakukan secara sukarela. Tak perlu malu kerana mereka tentu berbesar hati bila ada yang sudi dan rajin membantu. Ini merapatkan diri kita pada golongan ringan tulang yang suka bantu orang dan buat kerja amal kemasyarakatan.
  5. Jangan kedekut. Beri sumbangan samada idea, harta atau tenaga pada aktiviti masjid atau surau. Juga pada aktiviti kemasyarakatan lainnya. Ia satu pelaburan terbaik untuk kehidupan dunia dan juga akhirat.
  6. Kenal pasti individu yang paling popular. Dengan menyertai aktiviti masjid atau surau kita dapat perhatikan mana satu individu yang semua orang kenal. Pastikan kita merapatkan diri dengannya. ia menjadi jambatan perhubungan antara kita dengan keseluruhan masyarakat di tempat baru kita itu. Janagn lokek berbelanja denagan kerap pada individu tersebut. Sumbangannya pada kita tidak ternilai.
  7. Mulakan pencarian kawan yang serasi. Dalam masa tidak lama kita akan mula mengenali mana yang serasi dan mana yang tidak. Luangkan masa menjalinkan hubungan lebih akrab dengan mereka yang serasi. Kita sedang membina jalinan kawan karib yang boleh diharapkan di masa kecemasan.

Jika kesemua tersebut di atas anda lakukan sebaik sahaja berpindah ke rumah baru, insyallah anda akan menjadi warga masyarakat yang hebat dan bertenaga.

Yang paling penting dengan berbuat begitu, anda tidak akan hidup kebuluran dan kemurungan. Malah anda juga akan mudah mencari kerja baru, atau menambahkan pendapatan.

Menjalinkan perhubungan dengan masyarakt di mana anda tinggal membantu anda untuk berfungsi di sebagai manusia yang mengimarahkan muka bumi.

Jangan buat kerja sendiri dengan jadi kera sumbang dan meninggalkan terus masyarakat tempat anda berlindung.

Jika anda masih kekal di rumah lama, dan masih tidak menjalinkan perhubungan dengan masyarakat sekeliling, elok segerakan aktiviti yang saya nyatakan di atas tadi. Tak perlu tunggu berpindah baru nak buat kesemua itu.

Dengan memulakan langkah bermasyarakat yang saya sebutkan diatas, anda akan mula menjadi warga aktif baru di kawasan penempatan anda sekarang.

Walaupun sudah lama tinggal di situ, tak usah malu untuk mula menjadi pengunjung tetap masjid atau surau dan menyumbang dengan lebih kerap. Ramai yang akan terpegun dan gembira dengan perubahan diri anda yang luar biasa.

Cubalah laksanakan semua di atas, anda jadi manusia baru, insyallah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge