Sejak tahun 2014, saya dah bertemu dan berbincang dengan lebih dari 2 ribu usahawan yang mahu buat perubahan terhadap diri mereka sendiri dan seterusnya perniagaan yang mereka jalankan.

Apa yang saya lihat, rata-rata, masalah besar yang menghimpit kemajuan para usahawan tersebut adalah diri mereka sendiri.

Ia banyak berkisar dalam cara mereka berfikir. Atau lebih tepat lagi, apa yang mereka pegang dan percaya selama ini.

Berikut saya kongsikan 8 kepercayaan yang tersasar dipegang oleh mereka yang terbantut untuk membuat perubahan ke arah kemajuan diri dan perniagaan.

Ada kepercayaan yang kekal melekat dalam pemikiran tanpa disedari. Ada pula pemikiran yang datang dan pergi bergantung kepada keadaan dan persekitaran.

Anda boleh lihat satu persatu kepercayaan berikut dan renungkan terhadap diri anda sendiri.

Jika ada, cuba cabar kepercayaan tersebut dengan bertanya samada, apa yang anda percaya tu betul atau tidak.

Kebiasaannya, apa saja kepercayaan yang melemahkan usaha anda untuk berjaya, yang membuatkan diri anda jadi kerdil tak berupaya, adalah salah dan perlu dicabar.

Selagi anda tidak berusaha untuk mencabar kepercayaan tersebut, anda akan kekal terbelenggu dari maju ke hadapan.

Jom lihat 8 kepercayaan yang anda perlu pantau setiap waktu dan seterusnya cabar diri sendiri.

#1. Memperbesar perkara kecil

Ini satu kepercayaan yang sangat kerap berlaku pada mereka yang rasa tak berupaya untuk ke depan. Biasanya ada kaitan dengan kegagalan atau masalah yang telah berlaku samada sengaja atau tidak sengaja.

Apa saja masalah yang anda hadapi. Apa saja peristiwa yang berlaku. Selagi ianya tidak membuatkan anda meninggal dunia. Tidak perlu diperbesarkan sehingga membuatkan anda jadi tak berupaya untuk buat perubahan.

Saya ada kenalan yang ditinggalkan oleh isterinya. Akibat dari kejadian itu, dia jadi lemah yang amat sangat sehingga merasakan hidupnya sudah sampai ke noktah terakhir. Akibat dari itu, dia tambah lagi seribu satu masalah lain yang membuatkan dia terus tenggelam kelemasan.

Itu satu pemikiran yang salah.

Selagi hidup anda belum berakhir, ditinggalkan pasangan bukanlah penamat kepada sebuah kehidupan. Malah ianya adalah rencah kehidupan yang mungkin akan berlaku pada sesiapa saja.

Jangan diperbesarkan kejadian tersebut seolah-olah jadi penamat kepada kehidupan dan kebahagiaan diri anda. Cabar diri anda sendiri bila timbul pemikiran yang serupa.

Masalah sebesar manapun, kalau anda tak panik, sebenarnya adalah kecil sahaja.

Tiap kali datang masalah, bayangkan seolah-olah anda jatuh masuk ke dalam lubang. Perkara pertama yang anda perlu buat adalah, bersyukur kerana masih bernyawa. Kemudian cuba panjat naik semula ke atas. Bukannya korek lubang tu jadi lebih dalam.

#2. Masih berterusan mencuba

Dalam dunia teknologi maklumat sekarang ini, apa saja yang anda nak tahu mudah saja untuk dicari. Maklumat ada dihujung jari. Itulah yang selalu kita sebut.

Oleh itu, dalam dunia sekarang, bodoh tak tahu atau jahil adalah satu pilihan sendiri.

Anda sendiri yang pilih untuk tidak mencarinya.

Jadi, tak timbul masalah untuk jadi kaku tak tahu nak buat apa.

Apa saja langkah yang anda perlu buat untuk maju kedepan atau untuk selesaikan segala kesulitan yang anda hadapi boleh saja di Google dengan pantas.

Biasanya orang yang ada masalah pemikiran ‘masih terus mencuba’ ini tahu apa yang dia perlu lakukan.

Tapi disebabkan dah terbelenggu dengan pemikiran hanya sekadar mencuba, maka tak ada apa-apa perubahan yang akan berlaku.

Cuba perhatikan pada jawapan anda sendiri bila diharap untuk melakukan sesuatu kerja.

Adakah anda akan kata, “Ok! saya akan cuba buat!”.

Kalau jawapan sedemikian lazim bermain di mulut, maka anda juga ada masalah, ‘masih terus mencuba’.

Buang pemikiran itu dengan segera. Berikan komitmen yang jitu dan pasti. Tanam kekuatan dan nekad untuk bertindak.

Ya! aku pasti akan buat! Insyaallah!”.

#3. Rasa tak sempat

Soalan: “Bila kamu nak buat kerja tu?”

Jawapan: “Memang nak buat. Tapi nantilah dulu. Aku kalut sangat semenjak dua menjak ni. Ada saja benda penting yang datang setiap hari yang aku kena utamakan.”

Itu jawapan yang biasa anda dengar dari orang yang ada masalah berfikiran rasa tak sempat.

Hasil dari pemikiran sebegitu, dia sentiasa tangguhkan apa saja kerja yang hakikatnya dia sendiri tahu sangat penting untuk dilakukan tanpa ditangguh lagi.

Tapi disebabkan dah terbiasa, dia rasa ok saja untuk tangguh dulu dengan menggunakan alasan tak sempat.

Biasanya, ada sebab kenapa anda tangguh.

Mungkin ada rasa takut. Mungkin khuatir kalau-kalau tak menjadi dan berbagai sebab lagi.

Cabar fikiran sebegitu dengan cuba korek dan bermuhasabah apa sebenarnya yang membuatkan anda masih dok tangguh.

Pecahkan kebuntuan itu dan segera bertindak. Anda sentiasa ada masa sekiranya anda buat keputusan untuk bertindak.

#4. Menjadi mangsa

Baru-baru ini saya berbual dengan seorang usahawan yang dua tiga kali jatuh berniaga. Mula berniaga, dan bungkus, dan mula semula dan bungkus lagi dan mula lagi.

Dia rasa teruk sangat sebab apa saja yang dia buat semuanya tak menjadi.

Tapi bagus juga sebab dia masih tak serik untuk berniaga lagi. Cuma masalahnya dia buat dengan cara yang sama sebagaimana sebelum ni yang ternyata gagal.

Bila saya cuba nak tolong, dia jawab tak ada orang boleh tolong. Sebab dia jadi jadi mangsa orang kampung yang tak percayakan kebolehannya. Orang kampung dirasakan merendahkan bisnes yang dia buat dan macam-macam lagi.

Dia salahkan keadaan dan semua orang lain yang tak membantu.

Dia juga buat rumusan sendiri … tak ada orang boleh bantu dia!.

Dia pasrah dengan keadaan tersebut dan redha menjadi mangsa keadaan.

Setiap alasan yang dia berikan semuanya fokus kepada salah semua perkara dan orang lain. Ringkasnya, semua salah orang, selain dari dirinya sendiri. Kalaulah dia boleh lupakan sebentar pasal orang lain dan cari kesalahan dirinya sendiri. Dah tentu dia akan nampak jalan keluar.

Pastikan setiap kali anda nak cuba tuding jari pada orang lain, pada keadaan atau sebagainya, pusingkan semula jari tu ke arah diri anda sendiri.

Anda yang tentukan samada nak berlakon jadi mangsa atau nak jadi penyelamat.

#5. Mengada-ngada

Ini selalu berlaku pada saya sendiri.

Ia datang secara tak terkawal bergantung kepada keadaan. Bila emosi tak berapa stabil, fikiran mengada-ngada ini sangat mudah berlaku.

Bila jadi macam itu, susah nak buat apa-apa kerjapun. Otot muka jadi tegang. Bahu jatuh ke bawah dan dada masuk ke belakang. Aksi tubuh badan itu menambahkan lagi lakonan mengada-ngada.

Kalau bermesyuarat atau berbincang, sambil membawa pemikiran mengada-ngada, biasanya anda akan menyesal selepas itu bila fikiran kembali normal.

Kalau anda dapat kesan ada gelombang nak mengada-ngada sedang membuak-buak, pastikan anda paku mulut dari berkata-kata terlebih dahulu.

Cabar pemikiran mengada-ngada, rasa nak marah atau rasa nak sedih atau lain-lain yang keterlaluan. Tanya terlebih dahulu samada patut ke nak mengada-ngada tu. Biasanya memang tak patutpun.

#6. Ragu-ragu

Ada kalanya anda dah buat keputusan yang penting. Semua faktor dan dipertimbangkan. Banyak maklumat dah disemak. Homework dah buat, kata orang pengurusan.

Namun begitu, masih timbul perasaan ragu-ragu.

Bila ditanya, anda akan jawab, entahlah!. Aku tak tahu kenapa!, aku rasa macam tak lengkap!

Akibat dari itu, tak ada satu keputusan yang dibuat. Tak ada apa yang berlaku dan semuanya terhenti tak terlaksana.

Ada perlu tahu bahawa dalam bisnes, buat keputusan salah adalah lebih baik dari tak buat lansung apa-apa keputusan.

Setiap kali timbul perasaan ragu-ragu atau was-was, cabar diri tu. Buang segera was-was tu dan yakinkan diri.

#7. Pukul rata

Ini pemikiran yang paling banyak dan paling kerap tersimpan dalam kebanyakan orang yang ditimpa masalah, dan tak jumpa jalan keluar.

Contohnya, ramai usahawan yang pukul rata bahawa tak ada pekerja yang baik. Yang dia boleh ambil bekerja untuk perniagaannya. Dia fikir begitu sebab pernah ada pengalaman ambil pekerja dan kemudian timbul banyak masalah disumbangkan oleh pekerja.

Akhirnya dia rumuskan pekerja yang bagus tak wujud. Maka dia terus buat bisnes secara solo, one man show, tanpa ada seorangpun pekerja. Sedangkan jika disemak semula, dia hanya baru cuba ambil 3 atau 4 pekerja saja yang gagal.

Jika di tanya bagaimana agaknya dia boleh majukan perniagaannya, dia pandai pulak cakap kena ambil pekerja.

Tapi bila tanya kenapa tak ambil pekerja. Dia terus pangkah dengan berkata tak ada pekerja yang baik!

Boleh jadi biul bila cakap dengan orang yang suka pukul rata macam tu.

Banyak lagi kes orang tak sedar yang dia simpan pemikiran pukul rata macam contoh kat atas tu.

Baru-baru ni saja, saya jumpa seorang usahawan yang punya jualan bisnes yang sangat teruk. Barang kat kedainya sangat minimum.

Penampilan kedainya sangat daif. Dia lansung tak buat apa-apa aktiviti pemasaran untuk bisnesnya kat kampung tu.

Bila saya korek. Baru perasan yang dia asyik pukul rata bahawa semua orang kat kampung dan kat daerah tempat tinggal dia tu miskin tak ada duit belaka. Oleh itu, tak guna untuk cuba tawarkan produk yang mahal sikit.

Bila saya tanya betul ka semua?

Dia tahu pulak jawab memanglah ada yang tak berapa miskin. Lalu saya kata kenapa tak tarik pelanggan yang tak miskin tu.

Dia spontan jawab yang semua orang kampung dia miskin pulak .. !

Itu tandanya otak separa sedarnya dah pegang kepercayaan salah tu dan buat rumusan pukul rata tanpa dia sedari.

Ada juga usahawan yang pukul rata kononnya semua orang jadikan harga murah sebagai kriteria utama pembelian. Jadi dia rasa serabut bila tak boleh jual murah sebab tak dapat beli bahan mentah dengan harga yang murah.

Ada juga perempuan yang putus bercinta dengan seorang lelaki yang curang. lalu pukul rata semua orang lelaki macam tu. Dia lalu jadi ‘andartu’.

Ada yang buat bisnes 3 kali gagal. lalu pukul rata yang dia memang disumpah untuk sentiasa gagal dalam bisnes.

… macam-macam kes pukul rata anda akan jumpa ada pada diri anda sendiri. Fikirkan sejenak dan cabar pemikiran tersebut.

#8. Cuba menipu

“Sumpah aku tak tipu!”

Kalau dok tak dok, kawan anda, atau anda sendiri sebut ayat macam tu. Itu ada kemungkinan ada pemikiran cuba menipu sedang menjalar dalam benak kepala anda.

Aksi cuba menipu juga mungkin ada pada orang yang cakap seperti ..

“Aku tak kesah!”

“Siapa nak ambil peduli?”

“Lantaklah!, aku bersedia apapun nak jadi, jadilah!”

Pemikiran cuba menipu ni berlaku setiap kali anda bercerita dan cuba nak jadikan cerita tersebut lebih dramatik. Akibatnya, anda berikan gambaran salah keadaan yang sebenarnya. Ini bakal mengundang masalah jika tidak dibendung.

Bila anda ditimpa masalah juga, pemikiran cuba nak menipu ini akan merayap masuk ke dalam otak dan diterjemahkan ke dalam percakapan anda. Benda tak nampak, anda boleh kata nampak. Benda sikit anda boleh kata banyak.

Cubaan menipu ni kerap kali berlaku bila anda campur adukkan antara fakta dan emosi. Oleh sebab kawan tu memang anda tak suka, maka kesalahan kecilnya akan anda besarkan. Dan sanggup menipu untuk yakinkan orang lain.

Elakkan terjebak dengan fkiran tersebut dengan sentiasa asingkan antara fakta dengan emosi.

Sentiasa cabar kepercayaan atau pemikiran salah

Sebenarnya bukan mudah nak kesan pemikiran salah yang sedang menguasai diri anda. Ia memerlukan latihan tubi untuk sentiasa melihat apa yang sedang anda fikirkan.

Tapi biasanya, pemikiran lah yang sering menguasai anda dan bukan sebaliknya.

Akibat dari kegagalan untuk menguasai pemikiran sendiri, ramai yang jadi seperti zombie. Hidup bernyawa tapi hakikatnya semua tindakan dan percakapan adalah automatik tanpa ada kesedaran dan kewarasan.

Cara paling mudah untuk kesan pemikiran salah adalah dengan mencari seorang sifu atau coach yang berpengalaman. Bila ada orang lain kat depan, yang tak ada kepentingan, dia akan dapat kesan pemikiran atau kepercayaan salah yang anda pamerkan.

Jika anda ada kawan yang sering cabar apa saja kenyataan anda, sepatutnya, anda perlu bersyukur. Dia hanya cuba semak samada anda sedar atau tidak dengan apa yang anda fikirkan.

Total
125
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge