Betul tu!

Saya memang maksudkan dengan jujur apa yang saya tulis pada tajuk artikel kat atas tu.

“Anda sememangnya jauh lebih bagus dari apa yang anda fikirkan!”

Itulah yang saya dah buat sejak tahun 2014. Sejak saya berkecimpung dalam dunia membantu dan membimbing kawan-kawan usahawan yang mahu berjaya dalam dunia perniagaan mereka.

Apa yang saya buat dalam usaha membantu usahawan ni, biasanya orang panggil “Coach”.

Bila sebut perkataan coach, tentu ramai yang dah biasa dengar.

Bukan coach dalam dunia sukan. Itu memang dah lama dulu orang tahu.

Tapi coach dalam dunia keusahawanan.

Coach dalam dunia keusahawanan

Coach dalam dunia keusahawanan boleh dikatakan satu perkara baru untuk para usahawan di negara kita. Masa saya kecik dulu, kalau sebut coach usahawan, tentu saya akan ketawa sebab masa tu, tak ada orang akan kata dia seorang coach usahawan.

Bukannya bermakna coach usahawan tak wujud. Malah, di dunia barat, coach usahawan dah terlalu lama diamalkan. Konsep coach dalam dunia perniagaan sudah jadi perkara biasa di dunia barat sejak sekian lama.

Industri coach dalam dunia perniagaan mendapat permintaan sebab ianya memang membantu orang yang tahu menggunakan kelebihan konsep coaching. Sudah tentu anda terlebih dulu perlu tahu bagaimana memilih seorang coach untuk membantu anda melayari dunia keusahawanan anda itu.

Dalam kajian yang dijalankan oleh International Coach Federation pada tahun 2016, terdapat seramai 53,300 coaches yang aktif mengamalkan tugasan mereka sebagai seorang coach.

Itu data tahun 2016. Tentu jumlah tersebut meningkat jauh lebih ramai lagi sekarang.

Kalau dicampur pula dengan kesemua orang yang dok tak dok namakan dirinya sebagai seorang coach usahawan, sudah pasti jumlah coach jadi jauh lebih ramai lagi.

Masuk kelas untuk faham pasal coach

Waktu awal saya terlibat dalam dunia membantu usahawan ni bermula dengan aktiviti tolong kawan-kawan lain yang berniaga, yang menghadapi masalah.

Masa tu saya juga sedang bertungkus lumus untuk menghidupkan syarikat saya sendiri. Bermula dengan satu syarikat, saya bina dari tak cukup makan sampai cukup makan. Dari jualan hanya RM100 ribu sampai jadi lebih dari RM1 juta.

Kemudian saya buat lagi syarikat baru. Saya beli sebenarnya. Saya beli satu syarikat yang hidup segan mati tak mahu, lalu saya pulihkan dan mula suntikkan pengurusan baru sehingga mampu menjana lebih dari RM2.5 juta.

Selepas itu saya buat lagi satu syarikat baru. Dengan modal yang ada, hasil dari menjual salah satu dari syarikat awal saya. Tak banyak manapun modal duit yang diperlukan. Tapi saya gunakan modal lain seperti networking, kelengkapan dan lain-lain sumber yang saya ada untuk menampung pembesaran syarikat baru tersebut.

Hidup pula syarikat tu. Tak makan masa yang lama sangat sebab dah ada pengalaman yang mencukupi untuk faham berbanding waktu awal saya terjun jadi usahawan dulu.

Dengan pergerakan slow and steady begitu, dari kosong sampai ada sedikit isi dengan cara saya yang tersendiri, maka kawan-kawan yang lebih lama buat bisnes nampak saya macam ada sedikit keupayaan baik untuk menghidupkan syarikat dan bisnes mereka.

Maka jadilah saya kaki pulihkan bisnes kawan-kawan.

Untuk setiap bisnes dan syarikat yang saya ada, saya lantik boss untuk ketuai perjalanan dan pengurusan masing-masing. Kerja saya lebih banyak melihat, belajar dan cuba memahami apa yang berlaku.

Saya mula tulis panduan atau modul yang penting yang perlu ada. Untuk panduan diri saya sendiri dan untuk pastikan yang saya benar-benar faham supaya boleh kongsikan semua ketua yang uruskan bisnes saya.

Panduan itu juga yang saya pakai untuk bantu kawan-kawan bisnes lain.

Sehingga akhirnya saya berpeluang untuk kongsikan apa yang saya tahu pada jauh lebih ramai usahawan. Semuanya bukan usahawan dalam industri yang sama dengan saya.

Saya nampak dari situ yang diperlukan oleh kebanyakan usahawan bukanlah perkara teknikal. Tapi lebih kepada urusan keusahawanan dalam mengendali dan menguruskan perjalanan bisnes supaya ke depan.

Bila dah ramai jumlah kawan-kawan berniaga, maka saya mula jadi semak sebab, majoriti kawan-kawan yang perlu saya bantu tak nampak peranan seorang coach untuk membantu mereka ke depan.

Majoriti dari usahawan yang saya jumpa, hanya fokus pada nak duit secara mudah untuk dijadikan modal membesarkan bisnes mereka. Mereka percaya hanya dnegan bagi duit kat mereka sahaja yang dapat membantu perniagaan yang sedang dijalankan.

Mereka hanya nak dengar samada saya boleh bagi duit pada mereka atau tidak. Samada saya boleh tunjuk jalan macam mana nak belasah duit mudah dari agensi kewangan kerajaan. Kalau saya kata itu tak dapat saya bantu, maka mereka tak mahu layan.

Bila semak dada dengan kesemua cabaran yang datang dari usahawan-usahan jenis macam itu, saya sampai ambil kelas untuk belajar pasal teknik coach yang betul dan berkesan. Habis duit saya laburkan untuk belajar ilmu pasal coaching. Lebih dari RM10 ribu !

Tapi ianya berbaloi.

Dari situ baru saya tahu wujudnya sebuah organisai yang bernama “International Coach Federation”. Kat negara kita juga dah ramai yang ambil kelas untuk jadi certified coach. Mereka dilatih untuk mengamalkan urusan coaching dengan lebih berkesan dan profesional.

Apa tugas saya sebenarnya sebagai coach

Dari perjalanan yang jauh itu. Dari mulakan bisnes sendiri, buka syarikat satu demi satu. Tolong kawan-kawan dan akhirnya bantu kawan-kawan usahawan lain pula, sampai semak dada dan ambil kelas untuk faham apa itu coach, barulah saya faham apa sebenarnya tugas saya.

Kalau anda tanya apa yang saya boleh bantu anda sebagai seorang coach, saya boleh jawab dengan yakin.

Jawapannya sama macam tajuk kat atas tu.

“Saya akan pastikan yang anda akan sedar bahawa, anda sebenarnya jauh lebih bagus daripada apa yang anda percaya sekarang”

Selagi anda tak dapat lihat kebenaran tersebut, selagi itu anda akan sentiasa mengharapkan tongkat itu dan ini untuk bantu anda bergerak. Selagi itu juga anda akan berlakon sebagai seorang mangsa keadaan yang dianiaya oleh semua orang lain di sekeliling anda.

Orang yang tak berdaya macam itu hanya akan mengharapkan orang suap masuk makanan ke mulutnya. Dia tak mahu bergerak sendiri. malah kadangkala, orang yang nak supa masuk makanan terpaksa kerja keras untuk cuba buka mulutnya untuk masukkan makanan.

Kalau yang lebih teruk lagi, kunyahpun dia tak mahu buat. Dah nak kena hancurkan pula makanan tu sebelum sumbat masuk.

Sebab itu saya perlu berusaha supaya anda sedar bahawa anda sebenarnya jauh lebih bagus daripada apa yang anda percaya terhadap keupayaan diri anda sendiri sekarang.

Itulah kerja saya kalau anda mahukan perkhidmatan saya sebagai seorang coach dalam menjalankan perniagaan anda.

Perlu tahu apa yang anda nak capai

Jika anda mahu pakai khidmat seorang coach, anda perlu terlebih dulu tahu apa yang anda nak capai. Juga apa masalah yang anda mahu selesaikan

Anda juga perlu bersedia untuk mencabar diri anda sendiri demi mencapai apa yang anda mahukan.

Jika anda ada kesemua itu, maka khidmat seorang coach akan dapat membantu anda untuk memecahkan segala kebuntuan yang mencengkam pergerakan anda selama ini.

Seorang coach tidak akan memaksa anda untuk buat apa yang dia buat. Sebab anda tak sama dengan dia. Kalau coach asyik dok suruh anda tiru kesemua cara dia, itu bukan coach namanya.

Apatah lagi jika dengan berbuat demikian, dia (coach) boleh jual barang atau perkhidmatan yang dia jalankan pada perniagaan anda. Itu dah ada kepentingan peribadi.

Kalau jadi macam tu, selepas sesi coaching, yang pastinya coach dah berjaya meningkatkan jualan perniagaannnya sendiri sedangkan anda belum pasti dapat memperbaki perniagaan anda.

Sebab itu, seorang coach yang betul, kerjanya bukan untuk paksa orang ikut segala cara dan teknik yang dia lakukan dalam menjayakan bisnes nya sendiri.

Coach perlu bantu orang yang dia bimbing untuk mendapat keyakinan bahawa dia jauh lebih baik daripada apa yang dia percaya.

Macam mana nak dapatkan khidmat saya?

Itu mungkin soalan yang anda sedang tanya sekarang.

Buat sementara waktu saya tak buka pengambilan coachee lagi.

Tapi anda boleh dapatkan banyak bimbingan yang saya kongsikan dalam FB Group Kelab Usahawan Hidup Ringkas yang saya buat di FB. Ada ramai usahawan dan baal usahawan kat group tu yang sudi kongsikan idea dan pengalaman mereka.

Anda boleh pergi sertai group itu dulu. Jika saya bersedia untuk buka pengambilan peserta, saya akan umumkan kat group tu.

Pesanan saya untuk penghujung artikel ini hanya satu.

Anda perlu percaya bahawa anda sebenarnya jauh lebih bagus daripada apa yang anda percaya sekarang. Izinkan saya untuk bantu anda temui jalannya, insyaallah!

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge