Ada satu peribahasa Jepun berbunyi begini,

“Only staying active will make you want to live a hundred years”

Itu satu petua yang tepat.

Jika anda dah masuk dalam kategori ‘melepasi waktu muda’ macam saya, petua dari budaya orang Jepun itu lebih senang untuk difahami.

Hidup tanpa ada sesuatu yang nak dilakukan adalah sesuatu yang amat menyiksakan.

Saya jumpa ramai orang yang jadi murung bila dia dah tak aktif. Makin dilayan sikap pasif tak aktif itu akan bertambah teruk jadi kehidupannya.

Biasanya, orang yang jadi macam tu tak lama sangat untuk terus bernafas.

Untuk pastikan agar saya terus aktif berusaha untuk kehidupan, saya gunakan ayat seperti tajuk kat atas tu. Saya perlu ada sebab yang kuat sebagai alasan kenapa saya perlu bangun esok pagi, terus hidup sehari lagi.

Sebab untuk hidup sehari lagi

Saya tak pasti samada dalam bahasa atau budaya kita di Malaysia ni ada satu perkataan untuk menerangkan ayat yang saya berikan sebagai tajuk kat atas tu.

Dalam Bahasa Jepun, mereka ada satu perkataan. Mereka panggil, Ikigai. Perkataan itu menerangkan konsep keinginan untuk terus hidup dan berusaha.

Dalam Bahasa Perancis juga ada satu perkataan. Mereka panggil, Raison D’etre. Konsep yang sama juga seperti perkataan Ikigai yang orang Jepun pakai.

Oleh sebab tak ada satu perkataan dalam bahasa melayu, saya panggil saja sebab untuk terus hidup. Kalau anda ada tahu perkataan yang tepat dalam Bahasa Melayu, tolonglah kongsikan pada ruang komen kat bawah.

Gunakan masa dengan sibukkan diri

Mungkin anda masih tak jumpa sebab yang kuat untuk anda terus hidup satu hari lagi. Tapi itu bukanlah alasan untuk anda minta habis nyawa.

Jika masih tak jumpa apa Ikigai anda, apa Raison D’etre anda, perlu ikut amalan orang-orang yang berjaya.

Ada satu perkara yang saya belajar hasil dari berkawan dan membaca banyak kisah hidup mereka yang berjaya. Mereka kongsikan sikap yang sama dalam menjalani kehidupan.

Mereka akan sentiasa isikan masa dengan menyibukkan diri mereka.

Masa tak akan dibiarkan berlalu begitu saja tanpa ada aktiviti yang dilakukan. Ada saya benda yang nak dibuat. Adfa saja idea yang terpancul keluar dari benak akal untuk dijadikan aktiviti menghabiskan masa yang ada.

Dalam buku memoir Robert Kuok yang saya baca macam tu juga. Masa dia remaja, ketika Jepun tawan Malaya, dia habiskan masa yang ada dengan kerja di bawah syarikat Jepun.

Bila Jepun kalah perang dan terpaksa serahkan semula Malaya pada British, syarkat Jepun tempat dia kerja itu beritau semua orang yang bekerja di situ untuk balik sebab mereka nak tutup operasi. Kalau terus kekal kerjapun, Jepun tak akan bayar gaji lagi.

Semua orang balik dan berhenti kerja kecuali Robert Kuok.

Dia tawarkan dirinya untuk terus kerja walaupun tak dapat sebarang gaji. Alasannya mudah saja. Dia perlu isikan masanya dengan kerja. Bagi Robert Kuok, apa lagi yang seorang lelaki boleh buat melainkan mengisikan mas ayang ada dengan kesibukan yang berfaedah.

Robert Kuok mungkin tak tahu apa dia nak jadi masa itu. Tapi dia tahu bahawa untuk kekal hidup, dia perlu terus aktif menyibukkan dirinya.

Saya faham dari situ bahawa untuk berjaya dalam hidup, anda perlu cari sebab yang kuat untuk terus bangun hidup pagi esok sehari lagi. Supaya anda boleh teruskan usaha yang masih tertangguh semalam.

Tetapi kalau anda masih tak tahu kenapa anda perlu terus hidup esok sehari lagi, anda hanya perlu bangun dan aktifkan diri. Jangan duduk saja bermalas-malasan atas alasan masih tak jumpa tujuan hidup atau masih tak jumpa sesuatu yang mahu diperjuangkan.

Jika anda pegang bahawa masa perlu diisi dengan kehidupan yang aktif, insyaallah, Ikigai anda akan datang juga bila tiba masanya.

Sebab kenapa saya perlu hidup sehari lagi esok

Saya tulis artikel ini selepas Isya tadi. Esok saya nak ke luar kawasan di utara tanah air untuk kerja yang perlu saya tunaikan di sana.

Itu kerja yang saya suka buat dan mahu lihat ada hasil yang baik darinya. Saya mahu kerja yang saya usahakan itu memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Begitu juga kepada saya.

Selain dari itu, saya ada impian saya sendiri yang masih belum terhasil. Masih ada banyak kerja yang perlu saya usahakan sebelum ianya berlaku. Impian untuk diri sendiri, impian untuk anak dan isteri, impian untuk saudara mara dan lain-lain lagi.

Yang paling merisaukan sekali adalah saya sendiri masih terkial-kial mencari jalan untuk merealisasikan apa yang saya mahu capai itu.

Semua proses mencari jalan, berusaha, melihat hasilnya, membuat pembaikan dan berusaha lagi dan berterusan begitu membuatkan saya berdoa …

“Ya Allah, aku mohon untuk hidup sehari lagi esok. Masih ada banyak yang aku perlu lakukan. Masih besar tanggung jawab aku untuk anak-anak dan sanak saudara yang ada”

Saya yakin selagi saya masih ada alasan untuk terus hidup sehari lagi, selagi itulah saya akan terus menjadi manusia yang berguna. Asalkan alasan untuk terus hidup itu adalah sesuatu yang baik memberikan manfaat dan bukanlah yang mendatangkan sebarang mudharat.

Soalan saya pada anda, apakah alasan anda untuk terus hidup sehari lagi esok hari … ?

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge