Ada cara untuk buat orang tertarik pada anda dalam tempoh 2 saat awal sebaik saja pertama kali berjumpa!

Ya betul!

Hanya 2 saat pertama sahaja yang anda perlukan untuk memberikan isyarat bahawa anda ialah seorang individu yang menarik untuk dibawa berbincang.

Perkara ini penting dan amat bermanfaat untuk semua orang. Terutamanya mereka yang sering berjumpa dengan orang baru untuk melakukan berbagai urusan.

Tak kira samada anda seorang jurujual, seorang jurucakap, seorang penceramah, seorang perunding atau apa saja.

Kalau anda seorang yang takut menghadapi sesi temuduga, panduan yang akan saya berikan ini amat penting untuk disemat dalam ingatan dan diamalkan.

Penting buat orang tertarik pada anda

Pernahkah anda tempuh pengalaman berjumpa dengan seseorang.

Sebaik saja berjumpa, belum berbual lagi lebih lanjut, terus saja anda rasa tak selesa dan tak seronok meneruskan perbincangan. Rasa bosan, curiga dan ingin nak pantaskan pertemuan supaya cepat selesai.

Saya selalu juga hadapi masalah tersebut.

Tapi terpaksa telan dan hadap sahaja sambil cuba sesuaikan diri dan bersikap terbuka sambil cuba memujuk hati agar bersabar dan jaga adab.

Tapi biasanya memang amat sukar untuk berlakon suka kalau hati rasa tak selesa. Riak muka orang yang paksa diri untuk senyum, tak akan dapat sembunyikan senyum lakonan terpaksa, walau semanis manapun anda tersengih.

Bayangkan jika anda merupakan orang itu. Orang yang anda jumpa terus rasa tak selesa dan tak yakin untuk teruskan perbualan dengan anda. Walaupun anda tak cakap apa-apa lagi, dia terus bersikap begitu!.

Kalau anda seorang guru, anda akan hadapi kesukaran untuk membuatkan anak murid berikan perhatian.

Kalau anda seorang jurujual, sudah tentu orang susah nak beli dengan ikhlas. Kalau belipun sebab nak nyahkan anda secepat mungkin.

Kalau anda pergi temuduga kerja baru, sudah tentu anda tak masuk dalam senarai pendek calon pilihan.

Kalau anda duduk depan nak bercakap, orang tak ingin nak dengar apa yang anda cakapkan.

Kalau nak ambil hati bakal Pak Mertua pertama kali berjumpa, anda akan hadapi kesukaran untuk pastikan dia tak letak belanja tinggi sangat untuk kahwin dengan anak dia.

Atau kalau anda perempuan, pertama kali jumpa bakal mak mertua, anda akan hadapi kesukaran untuk mendapat restu darinya berkahwin dengan anak lelakinya.

Pendek kata, dalam semua keadaan, amat penting untuk pastikan orang tertarik pada anda sebaik saja berjumpa buat kali pertama.

Tapi ada masanya, saya akan terus rasa selesa dengan seseorang sebaik saja mula bertemu. Baru saja bertemu, dia tak cakap apa-apa lagi, tak berbual panjang lagi, dah rasa selesa dan seronok untuk berbincang panjang dengannya.

Tentu seronok kalau orang itu adalah kita sendiri kan! Semua orang yang kita jumpa terus rasa selesa dan ingin lanjutkan perbincangan dengan kita.

3 langkah mudah buat orang tertarik pada anda

Berdasarkan kajian, hanya 2 saat pertama sahaja yang dperlukan oleh semua orang untuk buat keputusan samada orang yang dia jumpa itu menarik atau tidak.

Salah satu kajian yang membuktikan perkara tersebut di atas pernah dilakukan oleh dua orang pengkaji di Universiti Harvard. Nalini Ambady dan Robert Rosenthal dari universiti tersebut mahu lihat bagaimana pelajar buat persepsi sekelip mata terhadap pensyarah yang mengajar mereka.

Kita semua sangka pensyarah yang disukai atau tidak perlu dinilai dari segi kandungan bahan ilmu yang mereka ajar, bukannya berdasarkan keadaan diri seseorang pensyarah itu. Tapi itu sebenarnya tidak berlaku.

Dan dalam kajian, mereka dapati para pelajar terus dapat buat rumusan pantas samada pensyarah itu menarik atau tidak hanya dengan megambil 2 saat awal melihat pensyarah itu. Tak payah nak tunggu dia mengajarpun!

Anda dan saya juga punya kemampuan yang sama untuk menilai tahap menarik seseorang dalam tempoh 2 saat awal bertemu.

Kemampuan menilai itu adalah tersorok tanpa disedari.

Ia berlaku dalam fikiran separa sedar secara automatik. Itulah yang berlaku setiap kali anda bertemu dengan orang yang baru.

Jadi bagaimana nak pengaruhi fikiran separa sedar orang yang anda bertemu buat kali pertama dalam tempoh 2 saat awal bertemu? Supaya dia terus selesa dan rasa menarik untuk berbincang dengan anda.

Saya berikan panduan mudah yang anda boleh lakukan dengan memgamalkan 3 perkara di bawah:

#1. Gunakan tangan

Sebaik saja jumpa orang, otak separa sedar akan mula buat kiraan dan pemerhatian untuk kenal pasti samada anda seorang kawan atau pengacau.

Perkara paling penting untuk berikan isyarat bahawa anda kawan adalah dengan menggunakan isyarat tangan.

Caranya mudah saja.

Pastikan kedua-dua tangan anda jelas kelihatan dalam pandangan orang yang anda jumpa itu. Jangan tersorok. Jangan masukkan dalam poket. Jangan ditutup oleh buku atau file yang anda pegang. Jangan letak di belakang.

Tangan yang jelas kelihatan memberikan isyarat kepada pemerhati bahawa anda seorang yang selamat untuk dianggap sebagai kawan.

Jangan lari, angkat tangan!

Cuba fikirkan kenapa polis akan kata angkat tangan ke atas setiap kali memberkas suspek penjenayah?

Bila anda angkat tangan ertinya jelas kelihatan tangan anda, apa yang dipegang dan boleh dibaca dengan mudah segala pergerakan anda.

Kalau polis suruh angkat tangan dan anda degil cuba masukkan tangan ke dalam poket, kemungkinan anda akan ditembak adalah tinggi. Sebab andaian mudah anda berbuat begitu adalah untuk untuk keluarkan senjata.

Orang yang anda jumpa juga merasakan sedemikian secara tidak sedar jika anda sorokkan tangan. Itu pemikiran luar kawalan yang sudah tertanam dalam DNA anda sejak zaman kuno dahulu kala lagi.

Crook atau samseng yang merbahaya suka sorokkan tangan bersedia untuk bertindak. Hero yang budiman sahaja yang bebaskan tangan supaya nyata dilihat dengan jelas oleh semua orang.

Semua orang sangka perkara pertama paling awal yang dilihat adalah mata seseorang apabila berjumpa buat kali pertama. Itu andaian yang salah sebenarnya. Tangan yang paling awal dilihat secara tidak sedar. Dan ia mengambil masa sekelip mata sahaja untuk membuat pertimbangan samada anda kawan atau pengacau.

Bersalam dengan kemas

Sebaik saja diperkenalkan atau berjumpa, jangan lupa untuk salam. Itu juga satu lagi aksi tangan dalam memberikan isyarat secara separa sedar bahawa anda seorang kawan.

Jangan bersalam macam Bangla!

Saya selalu perhatikan rakan Bangla kat surau bersalam macam tak mau salam. Letak saja untuk disentuh macam tangan saya ada kudis buta. Rasa macam nak jentik tangan mereka setiap kali bersalam selepas solat berjemaah.

Jangan juga bersalam macam The Rock!

Tak pasai-pasai orang terajang kaki anda dan berlalu tak mahu teruskan perbincangan.

Pandai-pandailah agak, tak lembut macam bangla dan tak keras macam the rock. Bersesuaian dengan mempamerkan kesungguhan dan keterujaan. Salam yang sebegitu akan merembeskan hormon yang diperlukan untuk membina jalingan.

Ingat!

Jangan sesekali sorokkan tangan anda bila bertemu dengan orang!

#2. Penampilan juara

Perkara kedua yang otak separa sedar akan buat penilaian adalah memerhatikan samada anda seorang jaguh atau lemah.

Bahasa badan anda akan menampilkan isyarat ini pada orang yang anda jumpa secara spontan tanpa disedari oleh anda sendiri atau dia.

Semua orang suka berdamping dengan jaguh. Anda tentu suka dilihat minum teh tarik dengan juara sukan negeri atau apa saja juara atau joha sukan.

Jika anda pamerkan bahasa badan yang mempamerkan orang yang lemah dan sering kalah dalam apa saja urusan, samada orang tak mau kawan atau dia secara automatik mahu jadikan anda mangsa buli.

Jaya penampilan seorang juara

Macam mana nak pamerkan gaya seorang juara?

Mudah saja, banyak gunakan ruang.

Cuba lihat gaya orang penakut dalam kelas. Anda tentu pernah jadi orang macam itu setiap kali cikgu nak tanya soalan secara rawak.

Jika anda memang lemah, apa yang anda buat ketika itu adalah cuba kecilkan tubuh dan anggota badan supaya jadi sekecil-kecil makhluk. Kononnya supaya cikgu tak dapat lihat.

Tapi anda tak sedar bahawa apa yang cikgu lihat adalah gaya seorang yang lemah dan tak berani atau tak bersedia untuk jawab soalan. Penakut dan bukannya seorang juara.

Oleh itu, pastikan anda buka anggota agar selesa dan memakan ruang. Buka lengan dan ketiak supaya ada ruang. Selesakan bahu dan bawa sedikit ke belakang. Angkat wajah anda lurus ke depan atau dongak sikit.

Dengan berbuat demikian, anda mempamerkan jaya seorang juara yang berkeyakinan tinggi.

Ramai mungkin tak sedar bahawa jika perlu membuat pilihan antara orang yang pamerkan keyakinan tinggi dengan orang yang punya sejarah hebat, mendalam dan pakar dalam bidangnya, pelanggan akan pilih keyakinan tinggi lebih utama dari rekod kepakaran.

Nota: Jangan layari telefon pintar bila jumpa orang. Gaya orang yang sedang layari telefon pintar adalah gaya mengecut seperti cuba menyorokkan diri. Kalau nak tengok juga depakan tangan jauh dan lihat pada skrin dan bukannya kepitkan ketiak dan tundukkan kepala.

#3. Tengok mata

Peringkat terakhir yang otak separa sedar akan buat adalah menilai samada anda boleh dijadikan sekutu atau pesaing.

Setelah anda disahkan sebagai seorang kawan yang boleh dipercayai, seorang juara yang berkeyakinan tinggi, otak separa sedar akan mula menilai samada anda boleh dimasukkan bersama menjadi ahli kumpulan.

Untuk berikan isyarat tersebut, anda perlu pastikan sentiasa melihat tepat pada mata orang yang anda jumpa. Bukan lihat sekejap saja dan alihkan ke tempat lain.

Pastikan ketika bersalam tadi, anda tengok matanya melebihi 60% daripada masa bersalam itu. Tak boleh kurang dari itu.

Jika anda gagal lakukan aksi terakhir ini, anda akan hilang kelayakan untuk dipertimbangkan masuk kumpulan sejak awal-awal lagi.

Sama juga pengalaman saya ketika bersalam selepas solat berjemaah atau di mana-mana saja. Memang leceh bersalam dengan orang yang lansung tak perhatikan mata. Boleh dipalingkan ke arah lain sedangkan kita sedang bersalam dengannya.

Jangan buat macam itu!

Amalkan dan pasti orang tertarik pada anda

Teorinya memang macam itulah. Nampak mudah sangat untuk dilakukan.

Tapi hakikatnya, kalau anda tidak sematkan ke dalam otak dan mula amalkan supaya jadi amalan yang sebati dalam diri, anda akan leka dan mudah terlupa.

Bila lupa, emosi ketika itu akan kuasai anda dan masa awal 2 saat itu akan merosakkan persepsi orang yang anda bertemu buat kali pertama itu.

Bukan saja ketika bertemu dengan orang. kalau anda perlu naik ke pentas berikan ucapanpun perlu amalkan cara yang sama juga. 3 langkah saja,

  • Tunjukkan tangan terbuka
  • Pamerkan keyakinan dengan gaya juara
  • Renung tepat ke mata

Apa yang saya tulis kat atas tu bukan rekaan semata. Tapi hasil dari kajian yang terbukti berkesan. Untuk lebih mendalami lebih banyak ilmu, anda boleh baca buku The Captivate – The Science of succeeding with people tulisan Vanessa Van Edwards

Selamat beramal!

Total
27
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge