Sejak bila berlakunya pembahagian atau perbezaan antara kerja dengan rehat?

Mungkin ramai yang tak terfikirkan bahwa, sebelum kurun ke-18, belum ada perbezaan yang ketara antara kerja dan rehat sebagaimana yang kita faham sekarang.

Zaman tu, pembuat kasut buat kasut kat rumahnya sendiri dan kedai kasutnya juga ada kat depan rumah. Anda boleh kata yang dia kerja sepanjang masa. Atau anda boleh juga kata dia rehat sepanjang masa sebab asyik duduk kat rumah saja.

Begitu juga petani atau penternak. Dia usahakan segala tanaman di sekitar kawasan rumahnya. Tinggal di tempat yang sama. Orang datang ambil sayur samada secara borong atau runcit ke rumahnya.

Orang yang jual sayur dan buka kedai runcit juga begitu. Dia buka kedai di depan rumahnya dan tinggal dalam bangunan yang sama.

Kalau ada pembantu yang datang belajar ilmu kemahiran tukang kasut tadi umpamanya, pembantu tu akan tinggal dan hidup bersama tukang kasut tadi. Masih tidak wujud perbezaan antara kerja dan rehat macam yang kita faham sekarang.

Mula asingkan kerja dengan rehat

Semua itu mula berubah bila berlaku revolusi industri antara abad ke 18 dan 19 yang lalu. Mula wujudnya kilang dan pejabat.

Kilang dan pejabat jadi tempat orang pergi kerja. Di situlah orang mula anggap berlakunya kerja sebenar.

Rumah mula jadi tempat di mana orang tidak buat kerja. Tempat rehat tak buat apa-apa. Kemudiannya berkembang pula peraturan hari dan tempoh bercuti. Peraturan gaji berbayar dalam tempoh bercuti dan macam-macam lagi.

Semua itu menambahkan lagi jurang perbezaan antara kerja dan rehat sehinggalah ke sekarang. Kita betul-betul asingkan antara kerja dan rehat. Ia jadi dua perkara yang berbeza dan bertentangan.

Bangga kerja kuat jarang rehat

Keadaan mula menjadi lebih parah bila orang mula bangga kalau dia boleh pamerkan yang dia kuat bekerja. Orang yang kerja dan kerja tak ada rehat dipandang tinggi dan hebat.

Kuat buat kerja tak pernah ambil cuti selama 5 tahun jadi kebanggaan di kalangan orang yang berpangkat tinggi dengan gaji yang amat besar. Itu kesukaan boss mereka.

Apa yang anda fikirkan pada seorang lelaki yang tak pernah pergi kerja asyik duduk rumah bertahun-tahun?

Jiran akan pandang serong pada lelaki itu. Apatah lagi jika yang asyik keluar rumah pergi kerja setiap hari adalah isterinya.

Agak pelik juga bila kaum wanita yang jadi suri rumah tangga sepenuh masa, tidak pula dinggap buat kerja!. Sedangkan dia sibuk dari awal pagi sehingga ke malam. Apatah lagi kalau ada 5 orang anak!. Itu non-stop punya buat kerja. Tapi tak dianggap bekerja.

Itulah gambaran perubahan yang berlaku kepada manusia yang ramai tak sedar sekarang.

Dari dulu sampai sekarang saya sering ditanya oleh jiran kat taman yang terserempak saya sedang berjalan kaki setiap pagi kat taman permainan..

“Tak kerja ke hari ni?” itu soalan rutin.

Kadangkala orang yang sama akan bertanya berkali-kali setiap kali terserempak dengan saya sedang jalan kaki di waktu pagi di mana semua orang sedang sibuk pergi ke pejabat.

Biasanya saya akan jawab, “sedang bekerja lah ni!”

Dan mereka akan tersenyum sumbing. Mungkin hairan dan tak faham apa maksud saya.

Rehat itu sebahagian dari kerja

Untuk betulkan semula apa yang sedang berlaku, anda perlu faham bahawa rehat itu adalah sebahagian dari kerja.

Ertinya kalau anda rehat, tak buat apa-apa kerja, itu membawa maksud yang anda sedang bekerja.

Sebab kerja dan rehat adalah satu perkara yang tak boleh diasingkan. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu dengan yang lain.

Kalau anda faham perkara itu, barulah berlaku perubahan yang besar dalam kehidupan anda. Barulah berlaku kemajuan yang besar dalam kehidupan dan perkara yang anda usahakan.

Panduan untuk rehat dengan berkesan

Pelik juga bila saya tulis panduan bagaimana nak rehat dengan betul dan berkesan untuk pastikan anda berjaya dalam apa yang sedang dilakukan.

Kebanyakan panduan yang kita sering dengar adalah bagaimana nak buat kerja dengan baik dan hebat. Amat jarang orang sentuh pasal rehat dan teknik berehat dengan betul supaya anda berjaya dalam segala usaha yang sedang dilakukan.

Apa yang saya tulis ini adalah ilmu baru yang saya jumpa dalam sebuah buku baru yang saya sedang baca. Buku itu bertajuk “Rest – Why you get more done when you work less”.

Memang menarik!

Siapa tak mahu jadi macam itu?

Anda tentu suka kalau dengan kurangkan buat kerja, lebih banyak urusan terlaksana. Malah jauh lebih baik dan hebat dari kuat buat kerja!.

Dalam buku itu diberikan segala fakta bagaimana mereka yang hebat dari kalangan orang yang kreatif, saintis, ahli politik, usahawan, penulis, penyelidik dan lain-lain lagi seumpamanya menggunakan rehat sebagai alat untuk menempah kejayaan yang tinggi.

Berikut adalah 10 langkah dan panduan bagaimana anda boleh jadikan rehat sebagai alat untuk menempah kejayaan.

#1. Ambil serius dengan rehat

Adakah anda ambil berat dan serius dengan aktiviti rehat anda selama ini?

Kalau tidak, ubah persepsi itu. Pastikan rehat bukan sekadar satu aktiviti duduk rumah tak buat apa-apa kerja.

Pastikan juga rehat tidak dipandang sebagai aktiviti yang menghalang pergerakan mencapai matlamat yang anda sedang usahakan.

Anda perlu jadikan rehat sebagai urusan yang tersusun yang apabila digabungkan dengan kerja kuat akan membuahkan hasil yang jauh lebih hebat dari biasa.

#2. Uruskan daya tumpuan

Untuk mewujudkan rehat yang tersusun dan terancang, anda perlu amalkan tempoh memberikan tumpuan sepenuhnya tanpa ada apa-apa gangguan.

Bila nak siapkan sesuatu kerja, berikan tumpuan sepenuhnya dan bebas dari gangguan. Bebaskan dari gangguan orang datang menyembang, bunyi telefon, bunyi mesej masuk, ada orang nak jumpa dan lain-lain seumpamanya.

Tempoh fokus sebagaimana yang diberikan dalam buku tersebut adalah dalam lingkungan 4 jam. Pastikan dalam tempoh itu anda betul-betul berkan tumpuan 100%.

Jangan amalkan buat kerja sepanjang hari dengan sentiasa ada gangguan itu dan ini sepanjang anda buat kerja tersebut. Ia tidak memberikan apa-apa hasil yang hebat jika biasakan diri buat macam itu.

#3. Selang seli kerja dan rehat

Dalam tempoh 4 jam yang saya sebut kat atas tadi jangan berterusan selama 4 jam tanpa henti. Pastikan ada sedikit rehat di antaranya. Sebaiknya selangkan rehat selepas 90 minit berterusan memberikan tumpuan yang mendalam terhadap kerja.

Pergi bancuh kopi O sekejap dan nikmati sepenuhnya minuman itu adalah satu contoh rehat yang terancang. Atau anda boleh keluar jalan kaki keliling bangunan satu pusingan dan masuk balik sambung buat kerja.

#4. Biasakan diri mula buat kerja awal

Lebih awal lebih bagus untuk memulakan sebarang kerja anda.

Awal kat sini bermaksud waktu pagi. Pukul berapa pagi anda, boleh ditentukan sendiri ikut kesesuaian diri. Ada orang selesa pukul 6 pagi, ada pukul 7 atau 8 atau 9 atau 10 pagi.

Yang pentingnya awal pagi dan lebih awal lebih bagus supaya anda boleh berhenti dan cabut awal.

#5. Lupakan terus pasal kerja

Ini penting setiap kali anda rehat. Lupakan terus pasal kerja. Tak payah nak semak email, nak semak whatsapp nak sembang pasal kerja dan nak fikirkan pasal kerja.

Tutup terus dan lupakan 100% bila anda berehat atau ketika hujung minggu atau bercuti.

#6. Asingkan terus perhubungan

Ini yang agak susah nak buat bila pergi bercuti atau ketika sedang berehat. Masih juga nak kepit smart phone dan buka serta belayar setengah jam sekali.

Kejap kejap buka smartphone dan mula godek godek jari pada skrin!

Buang terus amalan itu dan asingkan diri terus 100% dari segala alat perhubungan.

#7. Rehat seminggu setiap 3 bulan

Ini salah satu dari cara rehat tersusun dan terancang.

Pastikan dalam setiap 3 bulan, anda ambil satu minggu cuti dan rehat dengan baik. Pergi jalan, melancong, panjat gunung, masuk hutan dan sebagainya.

Bila bercuti itu, pastikan langkah di atas anda lakukan.

#8. Amalkan hobi yang mendalam

Perlu ada satu hobi atau minat. tak kisah samada layan alat musik, layan satu permainan, layan sukan, layan aktiviti seperti memancing, memburu, hiking dan lain-lain seumpamanya.

Pastikan anda layan hobi itu betul-betul dengan minat yang mendalam dan berikan tumpuan sampai jadi pakar.

#9. Banyakkan bersenam

Ini wajib.

Jangan tak ada lansung. Malah perlu banyak bersenam secara konsisten. Berikan komitmen dan jadikan sebagai kerja rutin anda dalam kehidupan seharian.

Lagi banyak anda bergerak, lagi mantap otak anda berputar.

#10. Tidur betul-betul

Ini juga wajib dan tak bleh main-main.

jangan nak bangga bila anda boleh pamerkan mata lentok kuyu keletihan sebab tak cukup tidur. Itu satu kerja bodoh kalau dibanggakan.

Tidur dengan baik dan secukupnya amat penting untuk kesihatan dan penjanaan semula segala tenaga fizikal atau mental yang diperlukan untuk jadi manusia hebat.

Jangan jadi hamba dunia pengguna

Zaman sekarang adalah zaman pengguna.

Manusia berlumba-lumba memiliki apa saja benda yang ditawarkan di pasaran. Sekejap beli itu dan kemudian beli ini. Tak habis-habis beli dan longgok segala barang marapu yang tak perlu.

Masih ramai yang tertipu bahawa kebahagian hidup ada pada segala barang yang mereka nak beli. Bila beli, rasa bahagia sedetik dan hilang. Dah kejar nak beli yang lain pula. Seolah-oleh bahagia dah lari ke barang yang baru yang masih belum dimiliki.

Semua aktiviti iklan, semua dorongan dunia ke arah menjadikan manusia sebagai makhluk pengguna yang gila babi.

Hasilnya, dunia mendorong manusia kerja dan asyik kerja kuat untuk kejar benda baru pulak. Rehat jadi perkara jahat dan dianggap malas serta tidak produktif.

Oleh itu, pastikan anda tidak jadi hamba dunia sebegitu. Biarkan orang lain gila ikut dorongan dunia mereka dan pelihara diri anda dan keluarga dari ikut jadi macam mereka.

Jangan tertipu.

Anda dapat elakkan dari kena tipu jika anda berjaya jadikan rehat sebagai salah satu dari alat untuk berjaya dengan cemerlang.

Selamat mencuba dan moga berjaya.

Total
23
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge