Masalah susah bertindak!

Itu masalah paling besar yang ada pada kebanyakan orang.

Itu juga yang membezakan antara anda dan kawan anda yang berjaya sekarang. Itu juga yang membezakan antara orang yang pergi lebih jauh berbanding diri anda sendiri.

Mereka yang mudah untuk bertindak kebiasaannya akan lebih berjaya berbanding orang yang idea berlambak, ilmu menggunung, semua perkara dia tahu, tapi tak pernah bertindak untuk melaksanakan segala idea dan ilmu yang dia tahu.

Ilmu ada tapi susah bertindak

Jika anda ada capaian internet. Ada smart phone. Boleh masuk Google dan boleh layari apa saja halaman maklumat yang trillion jumlahnya di dunia cyber tu. Ertinya anda ada capaian segala ilmu yang terlintas dalam kepala rasa nak tahu.

Cuba taip ayat ‘100 idea perniagaan yang boleh dijalankan’ kat google sekarang. Google akan syorkan pada anda sebanyak 1.3 juta maklumat dalam masa 0.38 saat!.

Artikel nombor satu pada halaman muka satu adalah artikel yang saya sendiri tulis dalam blog ini. Untuk makluman, artikel itu akan dibuka dan dibaca lebih dari 2 ribu kali sehari. Tiap-tiap hari ada orang akan jumpa dari carian google artikel tersebut yang sudah tentu sebab mereka buat carian.

Cuba pula taip macam mana nak mula berniaga dengan modal yang sedikit. Google akan senaraikan lagi 681 ribu pautan yang anda boleh buka dan baca.

Apa yang saya nak cuba beritahu adalah. Nak cari cara, panduan dan segala ilmu untuk anda nak buat adalah terlalu mudah. Hanya orang yang betul-betul malas dan lembab saja yang kata dia tak ada ilmu dan tak tau mana nak cari.

Tapi kenapa masih ramai yang terkial-kial nak berniaga. Terhegeh-hegeh nak mula berniaga. Tersemput-semput nak berjaya dalam perniagaan. Atau apa saja bidang yang dia nak lakukan?

Masalah utama sudah tentu masalah susah bertindak. Itu masalah paling besar yang menghantui kebanyakan orang yang masih tak ke mana-mana.

Panduan atasi masalah susah bertindak

Perkara paling penting yang anda perlu tahu untuk atasi masalah susah nak bertindak ini adalah, semua benda atau semua perkara sentiasa boleh dipecahkan.

Hanya satu yang tidak ada pecahan, Allah.

Allah itu Esa, Wahid atau Satu dalam ertikata tidak ada yang serupa atau yang seupama yang setanding denganNYa. Juga bermaksud tiada pecahan dan bukannya Zat yang berpecah macam zarah dan bukan juga jisim.

Selain dari Allah, boleh berpecah. Dari satu jadi dua jadi 3 atau 4 dan lebih banyak lagi. Jadi samada objek, atau masalah atau apa saja yang masuk dalam kategori makhluk, semuanya boleh dipecahkan.

Ini perkara asas yang anda perlu tahu dan pegang dan faham dengan baik.

Macam mana nak pakai ilmu pasal semua benda dan perkara ni boleh dipecahkan?

Cuba fikirkan bagaimana nak ratakan sebuah bukit yang besar dan tinggi yang anda pernah lihat di sebelah Lebuhraya Plus di Perak tu?

Saya yakin anda tentu bijak untuk berikan jawapannya.

Pergi korek sedikit demi sedikit. Gunakanlah apa saja jentolak, cangkul, mesin, pecahkan dengan Dynamite atau apa saja teknlogi lain. Bukit itu akan berpecah menjadi batu dan tanah serta pasir.

Dengan pecahkan bukit itu menjadi bentuk yang lebih kecil saja, maka bukit itu boleh diratakan.

Kalau bukit sebesar itu boleh diratakan, apalah sangat masalah anda nak selesaikan sesuatu masalah yang anda sedang hadapi sekarang. Jika masalah itu besar sangat, kerahkan akal anda untuk fikirkan bagaimana nak pecahkan masalah itu kepada beberapa bahagian yang lebih kecil.

Selesaikan masalah peringkat demi peringkat

Minggu lepas, sebaik saja saya masuk dalam pejabat, karpet bawah meja tempat saya buat kerja habis basah.

Bila saya periksa, rupa-rupanya ada kebocoran pada bumbung atas pejabat saya itu.

Itu satu masalah. Ada banyak barang kat bilik tu. Ada meja dan kabinet penuh dengan buku kat atas karpet tu. Atas meja saya ada banyak benda. Ada banyak juga meja kecil berupa laci tempat simpan barang kat situ dengan berbagai barang di dalamnya.

Kalau saya tengok sekali lalu, itu satu masalah yang besar.

Saya duduk relaks sebentar. Fikirkan macam mana nak selesaikan semua masalah itu. Nak kena buat kerja juga dan nak pakai meja tu. Tapi habis kat bawahnya basah. Jadi saya perlu ubah meja tu ke tempat lain.

Apa yang saya buat adalah angkat sedikit demi sedikit barang yang ada atas meja. Kosongkan segala kabinet dan buat perlahan-lahan. Staff saya tengok dan mereka datang bantu tanpa diminta. Dan akhirnya meja kosong dan mudah untuk saya ubah ke tempat lain.

Akhir sekali, di tempat basah itu hanya ada karpet atas lantai.

Staff saya telefon kontraktor untuk datang dan periksa apa yang tak kena kat atas bumbung tu. Masalah ditemui dan dibaiki segera. Selesai masalah bocor. Insyaallah kalau hujan lagi lepas ni dah tak turun air masuk dalam bilik saya.

Carpet yang basah tu saya lapik dengan surat khabar yang banyak di atas dan di bawah karpet. Selepas saya tinggalkan sehari, saya ambil dan buang kesemua surat khabar tu. Karpet dah mula kering sedikit.

Saya letak lagi kertas terpakai dengan cara yang sama. Dua hari, semua tempat tu kering macam biasa. Masalah dah selesai kesemuanya dan bilik saya tersusun semula seperti biasa.

Macam mana saya mula bertindak?

Saya pilih saja satu kerja yang paling ringan yang saya boleh mulakan. Dari situ akan datang momentum dan kerja mula berjalan sedikit demi sedikit. Akhirnya habis selesai.

Pecahkan lagi kalau dah pecah masih berat

Jika setelah anda pecahkan masalah kepada beberapa bahagian, tetapi terasa kesemuanya masih besar dan tak dapat nak diuruskan lagi. Pilih salah satu bahagian yang paling mudah dan pecahkan lagi jadi beberapa bahagian.

Selepas dah dipecahkan, tengok pula samada boleh diselesaikan satu persatau masalah yang dah mula kecil tu. Kalau masih tak boleh juga, pecahkan lagi. Begitulah seterusnya sehingga anda boleh mula selesaikan masalah yang paling kecil itu berperingkat dan mula menaik sehinggalah kesemuanya selesai.

Jangan sorok bawah karpet

Ertinya jangan buat tak tahu dan abaikan dengan harapan semuanya akan diselesaikan oleh orang lain. Itu tabiat tak bagus yang akan membentuk anda untuk jadi orang yang bebal dalam bertindak.

Jika besar, gunakan akal untuk buat analisa macam mana nak pecahkan kepada bahagian yang lebih kecil. Macam yang saya huraikan kat atas tadi.

Hadapai semua masalah dan belajar selesaikan sepantas mungkin. Anda akan dapat dua perkara dengan berbuat begitu.

Satu, anda belajar tanam tabiat selesaikan masalah. dan dua sudah tentu masalah itu anda akan berjaya selesaikan.

Kejayaan adalah hasil dari himpunan tabiat baik

Ada orang anda nampak macam mudah saja dia berjaya. Apa saja perkara yang orang tu buat semuanya menjadi.

Apa yang anda tak nampak ada pada orang itu adalah himpunan seribu satu macam tabiat yang dia dah berjaya bentuk sejak sekian lama. Orang itu bergerak sedikit demi sedikit untuk membentuk segala tabiat yang baik tersebut. Bukannya jadi sekelip mata.

Kroni orang politik yang anda nampak senang dan cepat jadi jutawan tu pun bukannya datang dalam tempoh sehari. Dah banyak masa dia habiskan untuk rapat dengan kesemua jaringan yang dia perlukan untuk naik ke tempat dia berada.

Kerajaan PH yang tumbangkan BN sekarang juga bukannya buat kerja masa PRU lepas saja. Dah bertahun-tahun mereka buat kerja sebelum menang. Semuanya adalah himpunan seribu satu macam usaha yang kecil.

Mula bertindak sekarang

Jangan buang masa lagi.

Mula bina tabiat untuk bertindak. Cari apa saja perkara yang nak anda lakukan dan cuba lakukan. Kalau rasa susah nak mula, pecahkan jadi lebih kecil dan mula bertindak.

Jadikan itu amalan hidup anda sampai jadi darah daging.

Jika anda berterusan amalkannya, kalau tak meninggal dunia awal, tak hairan jika anda akan berjaya dapat kesemua yang anda idamkan selama ini. Insyaallah.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge