Alhamdulillah! dah selesai sambut raya !.

Dah selesai sambut kemenangan berpuasa sebulan ramadan. Kemenangan disambut dengan hari raya aidilfitri.

Itulah yang saya bayangkan setiap kali sambut raya bila menjelangnya satu syawal.

Bila bayang macam itu, terkawal sikit dari tergelincir ke arah amalan yang menyimpang dari maksud sebenar menyambut syawal.

Sepanjang ramadan, kita latih diri untuk kawal nafsu. Tahan diri dari makan dan minum. Juga kawal diri dari ikut nafsu serakah dalaman. Kawal emosi. Kawal pemikiran negatif dan cuba semampu mungkin untuk bersederhana dalam segala tindakan dan pemikiran.

Sambut raya lepas geram bila masuk 1 syawal

Tapi malangnya kebanyakan orang akan jadikan 1 syawal sebagai hari melepaskan geram.

Habiskan duit untuk menyambut raya semeriah mungkin. Sampai ada yang sanggup bergolok bergadai berhutang untuk melaram.

Ada yang tukar telefon bimbit. Kira masih ok lagi. Walaupun selepas raya trade-in balik telefon tu untuk dapatkan duit tunai yang dah tak ada dalam simpanan.

Lebih teruk lagi, ada yang tukar kenderaan baru. Beri tekanan sehebat mungkin kepada penjual kereta untuk pastikan dia dapat kereta untuk dipandu balik kampung. Kalau anda lelaki yang masih bujang dan sedang dalam proses memburu pasangan untuk kahwin, itu strategi yang memang amat berkesan.

Tapi kalau dah kahwin, dah ada anak, kerja makan gaji pulak. Pulun tukar kereta baru untuk dibawa balik sambut raya, adalah amalan yang membebankan diri sendiri sahaja.

Termasuklah juga segala aktiviti tukar kelengkapan rumah dan semua hiasan dalaman rumah. Tukar yang baru. Yang ikut trend terkini kononnya. Juga segala aksesori tubuh badan yang kesemuanya membawa kepada perbelanjaan yang tinggi. Dah tak masuk kategori sederhana lagi.

Itu semua dah jadi kes lepaskan geram bila sambut raya!.

Balik sambut raya naik Hilux

Bila balik kampung, biasanya saya akan bawa kereta Hilux yang saya ada. Mudah untuk bawa barang dan segala keperluan lain sepanjang bercuti.

Maklumlah anak ramai. Kelengkapan untuk tidur saja dah separuh ruang letak barang Hilux kat belakang tu terpakai.

Nak masuk kawasan rumah tu pulak bukannya jalan elok. Bila musim hujan, habis becak jalan lembab berselut. Kiri kanan jalan sempit penuh dengan pokok renik yang mampu calarkan dinding kereta.

Semua itu menjadikan Hilux sebagai kenderaan pilihan untuk saya bawa balik kampung sambut raya.

Ketika bapa saudara datang hari raya, saya bersembang dengannya kat bawah rumah. Kami duduk atas katil lama kat tepi dinding tu. Katil dibuat dari besi tu dah jadi kerusi lepak santai selepas dilapik dengan kayu plywood di atasnya.

“La!, hang balik dengan Hilux tu?” tanya bapa saudara.

Saya pelik juga dengar soalan dia. Apa yang tak kena balik raya naik kereta Hilux.

“Ya!, mudah sikit nak bawa barang. Boleh isi semua benda kat belakang Hilux tu!” saya jawab.

“Kenapa?”, tanya saya padanya. Ingin tahu kenapa dia tanya soalan tu.

“Orang biasanya balik raya nak glamour. Ada yang sanggup pinjam kereta sebab nak melaram balik kampung!”, jawab bapa saudara saya sambil tersenyum.

Barulah saya tahu kenapa dia hairan saya balik dengan Hilux sahaja. Maklumlah, kereta tu bukannya kereta cantik dan mewah. Kereta buat kerja atau masuk hutan saja. Bukan lambang kejayaan dalam hidup.

Itulah yang kebanyakan orang akan fikir. Macam itulah juga yang difahami oleh bapa saudara saya itu. Dia rasa pelik kenapa saya tak ambil peduli apa pandangan orang nanti bila saya naik dengan anak beranak kereta Hilux pergi beraya ke sana sini.

“Biarlah apa orang nak tafsir. Saya buat apa yang difikirkan praktikal saja”, jawab saya tersengeh.

Sambut raya hanya satu hari

Macam biasa setiap kali selesai ramadan, kemudian sambut saya pada 1 syawal, keesokkannya saya akan terus mula puasa 6. Dah berbelas tahun saya amalkan puasa macam tu.

Bagi saya, raya hanya satu hari saja. Cukuplah. Makan minum pada 1 syawal tu dah jadi berlebihan tak terkawal. Semua makanan yang masuk pulak memang berpotensi menambahkan lemak yang banyak.

Bila puasa pada raya ke-2, semua aktiviti terlajak makan tu akan terhenti terus. Kalau pada 1 syawal tak sempat habiskan ziarah semua saudara terdekat, sambung pada hari ke-2. Proses ziarah lebih tertumpu pada sembang kemas kini maklumat terbaru yang mungkin terlepas pandang selama ini.

Sementara mood ramadan untuk bersederhana masih kuat, elok dipupuk terus pada 2 syawal supaya momentumnya terus kekal.

Bila habis puasa 6, terus sambung pula dengan puasa Isnin dan Khamis.

Begitulah berterusan sehingga datang pula Ramadan yang akan datang. Jika umur masih panjang, puasa ramadan pulak sebulan dan ulang lagi puasa 6, isnin dan khamis … insyaallah kalau dizinkan Tuhan, sampai ke hujung hayat berterusan amalan sedemikian.

Amalkan kesederhanaan dalam hidup

Amalan puasa itu saja sudah cukup untuk mengajar kita tentang sederhana. Ertinya buat sekadar yang perlu sahaja untuk tunaikan segala tanggung jawab kita sebagai manusia.

Ramai orang yang terperangkap dengan budaya tunjuk diri berjaya lebih dari kejayaan sebenar. Tunjuk diri kaya lebih dari kekayaan sebenar.

Semua itu hanya sekadar nak puaskan perasaan dalaman. Nak rasa seronok bila berjaya kaburkan pemandangan orang terhadap diri kita. Itu adalah tanda wujudnya rasa tidak yakin dalam diri. Rasa kurang, rasa rendah.

Membawa kepada tanda-tanda punya jiwa yang tidak kental.

Masa puasa ramadan, kita tetap kawal diri dari makan dan minum serta segala tegahan lain walaupun ketika berada seorang diri di dalam gua. Bagi yang benar-benar buat macam itu, ianya merupakan latihan kentalkan jiwa dan yakin pada diri sendiri yang amat kuat.

Tapi kenapa bila habis ramadan tak pupuk lagi kekuatan yang dah terbentuk itu?

Moga ramadan kali ini akan berjaya menguatkan lagi jiwa kita menjadi lebih kental. Kental dengan tidak mudah terikut-ikut apa yang orang buat tanpa tahu hujung pangkalnya. Kental dengan terima hakikat kedudukan diri sendiri tanpa perlu berwayang secara berlebihan.

Kental untuk terus berusaha buat yang terbaik terhadap segala tugasan yang diamanahkan pada kita. Insyaallah!.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge