Setiap kali berada di luar rumah, samada di pekan atau di atas jalan raya di mana adanya manusia lain, saya sering bayangkan yang diri ini sedang berada di tempat yang penuh dengan bom jangka hidup.

Ada terlalu banyak bom jangka sedang berlegar-legar bersimpang siur, di mana-mana saja adanya manusia. Bom jangka itu hanya tunggu masa dan ketika yang sesuai sahaja untuk meletup dan mencederakan orang yang berada berhampiran atau sekelilingnya.

Apa yang saya maksudkan sebagai bom jangka itu?

Kita ikuti beberapa cerita meletupnya bom jangka di bawah.

Bom Jangka hidup meletup – 1

Ada sekali saya sedang memandu menuju ke pusat bandar. Di satu jalan yang sesak, saya perlu ke kanan untuk mengambil simpang menuju ke destinasi yang mahu saya pergi.

Macam yang biasa saya buat, signal ke kanan saya pasang, tengok dari cermin tepi mencari ruang dan mula himpit perlahan-lahan ke kanan.

Tiba-tiba ada kereta di belakang sebelah kanan datang laju menghenjut ke depan menghalang saya dari masuk ke kanan tu.

Dia siap tekan hon berkali-kali!.

Saya tak jadi masuk dan biarkan dia berlalu ke depan.

Bila saya jeling untuk lihat rupa pemandunya, kelihatan seorang wanita berbangsa cina yang terkumat-kamit mulutnya sambil membeliakkan mata kepada saya. Dia kelihatan sungguh bengis dan amat marah sekali.

Satu bom jangka dah meletup kuat untuk mencederakan emosi saya hari itu.

Apa yang saya boleh buat hanyalah senyum , tunggu dan cuba masuk sekali lagi. Untung badan, pemandu yang dibelakang bukanlah bom jangka yang masa untuk meletupnya sudah tiba.

Bom jangka hidup meletup – 2

Pada satu malam saya pulang agak lewat. Dalam pukul 11 lebih.

Saya pandu biasa saja. Relaks dan tak terkejar-kejar untuk cepat sampai.

Bila samai ke simpang nak masuk ke Taman perumahan tempat saya tinggal, saya perlahankan kenderaan sambil berikan singnal kanan untuk masuk.

Waktu macam itu memang tak ada kenderaan sangat. Jadi selepas berikan signal, terus saja kona dan masuk. Sambil kona tu saya lihat ada sebuah kereta kancil sedang datang dari simpang sebelah kiri di jalan kecil dalam taman tu.

Kalau nak diikutkan keutamaan, kereta itu perlu berhenti terlebih dahulu sebab saya dah masuk ke jalan lurus tu. Dia datang dari jalan kecil kiri dan perlu berhenti dan berikan laluan sebelum teruskan untuk keluar dari jalan taman tu.

Tapi nampaknya dia tak buat begitu. Dia terus saja keluar tanpa berhenti. Oleh kerana saya terus jalan, maka dia terpaksa tekan brake berhenti. Kalau tidak tentu dia akan lenggar betul-betul di tengah kereta saya.

Dia siap tekan hon berkali-kali. Memberikan isyarat yang dia sedang marah. Atau dalam ertikata lain, bom jangka sudah meletup.

Saya berhenti dan turunkan cermin tingkap. Bom jangka saya juga dalam proses nak meletup. Bila saya turunkan tingkap, dia terus marah. Dia marah saya tak berikan laluan.

Saya kata itu memang jalan saya. Dia lah yang perlu berhenti dan tunggu saya lepas terlebih dahulu sebelum lalu.

Dia pusing pulak yang kononnya saya bawa amat laju.

“Ini taman perumahan la! bukan lebuhraya! bawa perlahan la!” tengkingnya kuat dengan pelat Indianya.

Saya naikkan semula cermin tingkap dan berlalu saja dari situ.

Itu satu lagi kisah bom jangka yang tiba-tiba meletup mencederakan emosi saya.

Bom jangka hidup banyak di jalanraya

Kedua-dua kisah di atas berlaku ketika sedang memandu.

Kalau nak diceritakan kisah bom jangka meletup atas jalan raya memang tak akan habis.

Sepanjang sejarah saya memandu kereta atas jalanraya ada saja kisah bom jangka meletup. Malah saya sendiri sekali sekala akan menjadi bom jangka juga. Meletup dan mencederakan emosi orang lain.

Selain di jalan raya, bom jangka juga sering meletup dalam rumah tangga. Bila masanya sesuai, dengan suasana yang menggalakkan, sudah pasti satu atau dua bom jangka akan meletup. Ibu menjerit pada anak-anak, suami menjerit pada isteri, anak kedua menjerit pada anak ke tiga dan macam-macam gabungan lagi.

Berhati-hati bom jangka hidup meletup

Dengan beberapa cerita kat atas itu, saya yakin anda dah dapat faham apa yang saya maksudkan dengan bom jangka.

Sebab itu pada awal artikel ini saya sebutkan bahawa saya sering bayangkan manusia lain yang bersimpang siur atas muka bumi ini adalah bom jangka yang berpotensi untuk meletup bila-bila masa sahaja.

Dengan mengingatkan diri anda setiap kali bangun tidur bahawa anda akan berhadapan dengan bom jangka dari pagi sampai ke waktu tidur kemudiannya, anda akan selamat.

Pertamanya selamat dari anda sendiri menjadi bom jangka.

Keduanya selamat dari melayan bom jangka yang sedang meletup, jika anda mengasak masuk ke ruang letupan. Lebih baik cepat-cepat tinggal lapangan dan biarkan dia meletup berseorangan kat situ.

Tekanan buat manusia jadi bom jangka hidup

Antara punca utama manusia bertukar jadi bom jangka adalah disebabkan tekanan hidup. Hidup tertekan bila anda sering tidak hadirkan diri pada dan ketika yang anda sedang berada.

Maksudnya, di mana saja anda berada, yang wujud kat situ hanyalah jasad semata. Jiwa dan pemikiran samada sedang melayan cerita sedih masa yang lalu, atau sedang mengejar impian masa hadapan yang anda mahu ianya berlaku.

Samada masa yang lalu, atau masa hadapan, kedua-duanya adalah imaginasi sahaja dan bukannya realiti. Realiti akan menjelma sebaik saja jiwa dan pemikiran anda datang semula ke dalam jasad di mana anda sedang berada.

Jika anda seorang yang suka memberikan perhatian penuh, menikmati suasana semasa, melihat dan berfikir serta mengambil iktibar terhadap segala kejadian di mana saja dan ketika anda berada, tekanan akan hilang.

Bila tekanan kurang, potensi untuk anda bertukar jadi bom jangka juga turut berkurangan.

Latih diri untuk tidak jadi bom jangka dengan amalkan senaman di taman yang redup penuh dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan. Kalau boleh pergi jalan-jalan sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari di taman.

Kalau boleh buat setiap pagi adalah lebih baik.

Berusahalah untuk amalkan sebab manusia yang bertukar jadi bom jangka amatlah buruk rupanya. Letupan bom jangka biasanya meletihkan. Ada dua kemungkinan saja akan berlaku setiap kali anda meletup.

  • Timbul rasa menyesal, atau
  • Bom jangka lebih besar akan terbentuk

Kedua-duanya memang lansung tidak berguna untuk hidup dengan aman dan tenteram.

Total
13
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge