Sepanjang PKP ni saya hanya keluar beli barang keperluan keluarga paling kerap 2 kali seminggu. Sepatutnya nak buat hanya sekali seminggu. Tapi sebab nak pendekkan masa berada di pasaraya, saya buat pembelian pantas dan beredar secepat mungkin.

Ada dua sebab.

Pertamanya nak elak bertembung dengan orang ramai yang turut sama pergi beli belah barang dapur. Jumpa orang, terutamanya yang tak dikenali adalah satu kelemahan sekarang.

Aktiviti beli belah buat anda jumpa orang baru. Yang mungkin tak pernah jumpa sebelum ini. Secara umum, aktiviti jumpa dan berkenalan dengan orang baru sangat baik dalam dunia jualan.

Tapi sangat jarang orang pergi beli belah sebab nak berkenalan dengan orang baru. Semua nak cepat, beli dan terus belah. Namapun dah beli belah’.

Tak akan ada perhubungan semula selepas beli belah tu. Oleh itu secara umum, jumpa orang masa beli belah lebih banyak ancaman atau masalah dari peluang. Terutamanya dalam keadaan wabak covid-19 yang sedang mengamuk sekarang.

Keduanya, nak bagi peluang orang lain pulak dapat masuk dengan segera.

Kalau setiap orang masuk ke pusat beli belah, jalan lenggang kangkung macam kaki diikat bebanan besi berat, teraniayalah orang lain yang terpaksa beratur kat luar tunggu giliran. Siapa tahu yang sedang beratur itu ada orang tua atau anak-anak di rumah?

Dengan sikap pentingkan diri sendiri tanpa pertimbangkan keadaan orang lain, anda masuk dalam kategori manusia Dungu. Baca artikel ni untuk tahu pasal 3 kategori manusia dalam sesebuah organisasi atau negara.

Bagi yang kelam kabut pi dulu

Baru ni saya pergi beli barang rumah ke pasaraya biasa tak jauh dari rumah. Ambil masa dalam 5 minit saja nak sampai. Cepat sebab tak ada kenderaan sangat atas jalan. Itu satu lagi kelebihan covid-19.

Tak ada sekatan jalanraya pulak. Sebab masih dalam kawasan penempatan saya. Tak keluar daerah. Jadi semuanya lancar. Tiada tekanan.

Bila sampai macam biasa kena pakai mask tutup mulut dan hidung dulu sebelum keluar kereta. Bukan sebab nak elak dari kena virus. Tapi lebih kepada nak elak orang berjangkit seandainya pemakai ada virus.

Bila dah siap, keluar kereta menuju ke pintu masuk pasaraya. Ada jaga tercegat kat depan pintu masuk. Hanya satu dibuka untuk masuk dan satu pintu dibuka untuk keluar. Jalan yang perlu diambil tak bercampur.

Jaga tekan alat baca suhu badan ke dahi. Dia juga pakai mask. Jadi saya rasa lega sikit sebab kalau dia ada virus, risiko untuk sembur virus berbisa dari mulutnya adalah rendah. Sementara dia nak buka mask tu, saya boleh celapak lari.

Selepas baca, dia bagi tahu, 37.5 darjah, ok!

Dia angkat penyembur disinfeksi menghalakan ke tapak tangan saya yang dah tersedia diangkat. Lalu disembur. Pandai dia berjimat. Sahkan dulu sihat baru sembur. Supaya tak bazir cecair disinfeksi yang sekarang jadi mahal.

Rasa sejuk sebaik saja kena kulit saya. Tandanya cecair tu ada mengandungi alkohol. Ada juga rasa melekit. Tandanya dimasukkan sejenis krim pelembab supaya alkohol tak rosakkankan kulit jadi kering.

Saya terus ke depan sambil ratakan cecair. Tiba-tiba ada seorang mamat ni dia dok mai himpit kat belakang. Saya perasan dia kelam kabut nak cepat dari tadi lagi.

Saya toleh ke belakang tengok mukanya. Tertutup separuh dengan mask. Toleh tu sebab nak bagi isyarat yang saya tak selesa dia dok mai himpit. Takkan tak tahu kena ada jarak paling kurang meter?

Saya teruskan ke depan perlahan.

Nak lajupun buat apa sebab kat depan tu kena tunggu sebelum jaga berikan nombor untuk masuk beli barang.

Tapi dia terus rapat di belakang saya. Macam tak faham isyarat yang diberikan.

Untuk mudahkan hidup, dari bergaduh, saya ke tepi. Berikan isyarat supaya dia ke depan saya. Dia tanpa berbudi bahasa gegas ke depan. Dan macam semua orang pacak tunggu dulu kat situ. Saya tengok dia dok cucuk hampir dengan amoi yang sedang tunggu kat depan tu pulak.

Tapi amoi tu buat tak tahu saja.

Saya belajar satu cara mudah untuk potong Q dalam suasana covid-19 sekarang.

Anda hanya perlu buat kelam kabut dan cucuk dari belakang rapat kepada orang depan. Kalau dia tak bagi back kick, dia akan beri izin anda ke depan.

Beli belah barang dapur di Aeon

Dalam banyak-banyak pusat beli belah untuk barang keperluan dapur dan rumah, Aeon adalah antara yang paling mahal berbanding yang lain.

Kebanyakan barangnya berkualiti sebab dia nak jual barang mahal sahaja. Buah-buah yang rejecy memang tak ada. Epal juga hanya yang bersaiz besar dan terpilih saja.

Selama ini, saya masuk Aeon kat IOI Puchong tu hanya untuk tambah bekalan salad segar dan tomato serta salad dressing yang saya makan setiap hari sahaja. Makanan lain untuk satu keluarga, saya tak akan beli di Aeon.

Lagipun nak masuk ke IOI tu kena bayar parking. Semuanya agak mahal di situ.

Tapi bila covid-19 ni, saya hanya pergi beli barang semua kat Aeon sahaja. Mahal sikit tak apa. Paling penting, orang memang tak ramai lansung kat situ. Tak perlu tunggu lama. Majoritinya jenis bertamadun dan berbudi bahasa. Kecuali mamat yang suka cucuk belakang tadi.

Keselamatan lebih penting. Matlamat saya hanya satu. Mahu jauhkan sebarang perhubungan dan sentuhan dengan manusia lain sejauh mungkin.

Sebelum tu saya ada pergi sekali ke Giant. Beratur tunggu giliran masuk saja satu jam. Panjang jarisan orang beratur dah macam seekor naga sedang lilit seluruh bangunan Giant tu.

Bagi saya itu tak berbaloi.

Jadi saya beralih arah ke Aeon sekarang. Mahal pun bukan banyak sangat. Adalah 10 ke 15% saja. Itupun sebab kualiti yang baik. Dengan keputusan ke situ, walaupun mahal sikit, saya lebih jimat secara keseluruhannya.

Sebab berjaya beli hanya barang yang betul perlu sahaja. Tak terlajak beli barang diluar senarai. Orang rumah pun tahu dah sekarang dan buat tapisan barang perlu dari rumah lagi ketika nak isikan senarai.

Jadi penjimatannya adalah lebih dari 1/3 daripada biasa.

New normal pasca covid-19

Saya tuis saja artikel ni tanpa berikan tajuk terlebih dahulu.

Tujuannya adalah untuk ceritakan apa yang saya lalui dalam urusan harian yang banyak akan saya buat dalam hidup.

Ternyata semuanya berubah. Macam yang saya ceritakan kat atas tu.

Sebagai pengguna, apa yang saya buat adalah untuk elakkan diri dari kena covid-19 yang masih tak ketahuan hujung pangkalnya.

Kalau sekadar demam selsema, masih boleh harung. Tapi kesan orang yang kena covid-19, dari maklumat saya tengok jauh lebih serius. Ia ada beri kesan pada sel jantung, sel paru-paru dan banyak lagi organ lain.

Jadi lebih baik berhati-hati terlebih dahulu.

Perkataan yang ekonomis selalu sebut adalah ‘New Normal’. Bila dah selesai tulis cerita pendek ni, saya tersedar itulah new normal sekarang dan akan datang dalam tempoh yang mungkin lama lagi atau mungkin berpanjangan.

Semuanya terpaksa sesuai dan adaptasikan amalan supaya selari dengan amalan kehidupan manusia yang terpaksa berubah untuk jaga keselamatan diri.

Dari perjalanan hidup saya sahaja di atas, boleh diagak betapa keseluruhan ekosistem perniagaan juga akan turut berubah. Ada yang permintaan akan naik dan ada permintaan akan merudum. Malah akan ada anyak perniagaan yang lebih elok tutup kedai sahaja sebab parasan tak mencukupi untuk kekal hidup.

Siapa yang ambil faedah dengan new normal

Ramai kawan-kawan dok bincang bisnes apa yang sesuai nak buat sekarang ya?

Saya juga ada terlintas soalan tersebut.

Tapi memandangkan saya memang dah ada bisnes dok jalan, tak panjang sangat nak fikirkan pasal bisnes baru. Lebih fikirkan apa perubahan yang perlu dibuat untuk kekal relevan dengan keperluan pelanggan yang sudah pasti akan berubah.

Sudah tentu ada kategori pelanggan yang hilang dari pasaran. Kategori pelanggan baru juga dah tentu akan muncul. Saya hanya perlu ambil faedah dari permintaan yang bakal timbul sahaja. Tabah yang perlu dan kurangkan yang tak perlu.

Sebenarnya yang paling banyak dapat faedah dari New Normal ni adalah mereka yang memang dah ada tabiat yang sama selama ini.

Contohnya, itik yang selama ini jalan atas jalan tar tiba-tiba diberi laluan masuk jalan atas tasik. Itik tetap macam tu juga. Cuma bila New Normal berubah dari jalan tar kepada air tasik, itik akan dapat faedah yang sangat besar. Dia hanya gunakan tabiat yang memang dah ada selama ini bukan buat apa-apa perubahan drastik pun.

Yang malang sudah tentu ayam. Dia akan terkapai-kalai cuba timbul dan selamatkan diri. Atas jalan tar tadi dia jaguh. Bukan sebab dia kerja keras selama ini atau sebab nak berlagak pun. Dia hanya ambil faedah dari kelebihan yang ada disesuaikan dengan keadaan di mana dia berada. Itu saja.

Point dia nak bagi tau kat sini. Perlu nilai tabiat yang memang dah ada melekat dalam diri anda selama ini. Yang mana dalam keadaan new normal anda ada kelebihan yang sangat ketara berbanding orang lain.

Saya sedar satu tabiat yang ada kelebihan buat diri dalam new noral yang lebih ke arah buat kerja dari jauh kat rumah. Saya suka ada depan komputer, suka baca buku, suka menulis dan suka fikir untuk atur strategi bisnes dan sampaikan pada semua team lain.

Jadi dalam keadaan ni, saya ada banyak kelebihan tanpa perlu dipaksa.

Ada kawan-kawan yang selama ini dia jenis suka beraksi. Jumpa 01 ke 15 orang satu hari. Ke sana ke sini tak henti. Kawan-kawan macam tu memang ada masalah besar dalam keadaan Covid-19 ni. New Normal bukanlah satu kelebihan sangat buat mereka.

Nak kena ubah?

Ya, perlu ubah, tapi memang dia takkan jadi yang terbaik jika bersaing dengan kawan-kawan yang dah biasa kerja sendiri kurang cakap dan jumpa orang.

Jadi, ambil masa kejap. Nilai tabiat yang ada yang jika digunakan dalam New Normal, anda ada kelebihan.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge