Pelaburan pada orang adalah jenis pelaburan yang paling baik samada untuk seorang usahawan, ketua keluarga mahupun untuk sesebuah negara.

Adam Smith yang terkenal dengan tulisannya The Wealth of Nations, dinobat sebagai Bapa Ekonomi Moden, ada sebutkan yang kekayaan sesebuah negara terletak pada rakyatnya.

Ertinya sumber manusia merupakan aset paling penting dalam sesebuah negara.

Pendapat itu sebenarnya dah disebutkan terlebih dahulu oleh pemikir Islam terkenal Ibnu Khaldun 400 tahun lebih awal dalam bukunya Muqaddimah. Ibnu Khaldun dah sebut lebih awal yang aset dan kekayaan sesebuah negara terletak pada rakyatnya.

Jadi, kalau nak buat apa saja pelaburan, sudah tentu pelaburan terhadap sumber manusia adalah pelaburan paling utama.

Pelaburan pada orang mana dahulu

Anda yang sedang membaca blog ini, ialah orang. Anda termasuk dalam kategori aset paling penting untuk diri anda sendiri, juga untuk keluarga anda dan masyarakat.

Oleh itu, kalau nak melabur, sudah tentu orang yang perlu didahulukan ialah diri anda sendiri. Kalau ada banyak duit, utamakan pelaburan pada diri sendiri, kemudian keluarga dan kemudian orang terdekat dan begitulah seterusnya.

Tapi perlu diingat. Bukan semua orang boleh jadi aset. Ada ramai juga yang hanya jadi liabiliti. Hidup segan mati tak mahu.

Ada syarat untuk pastikan anda merupakan aset yang punya nilai tinggi, untuk anda sendiri, untuk keluarga dan untuk masyarakat.

Apa syarat itu? akan saya berikan 3 kriteria yang mesti ada jika anda mahu jadi aset yang bernilai.

Apa itu pelaburan?

Dah banyak kali saya sebut perkataan pelaburan kat atas tu. Malah selalu sangat kita dengar orang cakap pasal melabur dan pelaburan.

Pernah tanya tak pelaburan itu apa benda? Apa sebenarnya yang dikatakan melabur atau pelaburan?

Saya cuba terangkan dalam makna yang mudah dan ringkas menurut pemahaman saya.

Dalam terma ekonomi, apa saja benda atau perkara (aset) yang anda dapatkan, tetapi bukan untuk kegunaan dan faedah semasa (sekarang). Tapi sebaliknya anda percaya punya nilai yang lebih tinggi untuk hari esok.

Tindakan anda buat macam itulah yang dinamakan pelaburan. Ertinya pelaburan sentiasa bermain dengan masa hadapan.

Tapi siapa yang tahu apa yang sedang menunggu kita di depan sana?

Sudah tentu tak ada siapa yang tahu.

Sebab itulah apa saja jenis pelaburan, kita bermain dengan risiko. Setiap pelaburan punya risiko sebab atas faktor tak ada sesiapa yang boleh tahu dengan pasti apa akan jadi esok hari.

Kalau tak berani ambil risiko, maka tak akan wujud pelaburan. Perlu ada keyakinan berdasarkan keupayaan memahami kehidupan dengan ilmu dan kebijaksanaan untuk menghadapi risiko, barulah anda akan berani.

Itupun tiada jaminan 100%. Siapa yang datang cuba yakinkan anda, dijamin untung 100% dalam apa saja pelaburan, itu pembohong namanya.

Buat pelaburan pada orang

Kita dah lihat apa itu pelaburan. Kita dah juga lihat bahawa para bijak pandai ekonomi setuju bahawa pelaburan paling baik adalah terhadap manusia.

Ada dua keadaan dalam buat pelaburan pada orang ini boleh berlaku:

  • Orang lain melabur pada anda – Samada pihak bank, atau orang lain yang ada duit yang yakin anda punya nilai tinggi esok hari.
  • Anda melabur pada orang lain – Anda kenal pasti seseorang berdasarkan 3 kriteria yang akan saya sebut nanti, lalu berikan dia duit dan apa yang anda ada kepadanya dengan harapan ia akan menjana keuntungan yang tinggi esok hari.

Dalam dua keadaan itu, anda boleh saja jadi samada yang pertama ata yang kedua. Bagi yang masih tak ada apa-apa sekarang, perlu pastikan dia menjadi seseorang yang berbaloi untuk orang lain melabur.

Bila anda jadi macam itu, lama kelamaan, anda sendiri akan ada banyak harta kekayaan. Tiba masanya anda pula jadi pelabur. Begitulah ekonomi berkembang yang secara langsung membuatkan kemajuan dunia berkembang.

Melabur pada orang yang ada 3 kriteria ini

Jika kita amati, perkembangan dan kemajuan dunia hampir kesemuanya dicetuskan oleh mereka yang punya ciri-ciri berbaloi untuk dilaburkan.

Pergi lihat sejarah perkembangan sains, ekonomi dan politik. Hanya orang-orang yang hebat saja yang mencetuskan perkembangan tersebut. Mereka merupakan aset penting sesebuah masyarakat. Aset penting kepada makhluk yang bernama manusia.

Biasanya mereka punya 3 kriteria berikut:

#1. Berintegriti

Ini perkara paling penting. Hanya orang yang ada integriti sahaja yang boleh dipercayai. Itu perkara awal untuk diperhatikan jika nak buat sebarang urusan dengan orang. Lihat samada dia boleh dipercayai atau tidak.

Kalau kantoi, lupakan saja. Ia hanya mendatangkan masalah saja di hari esok dan bukanlah mendatangkan keuntungan.

Pesan orang tua kita sejak dari kecil supaya berlaku jujur, jangan berbohong dan lain-lain lagi itu adalah amalan yang teramatlah pentig untuk kita lanjutkan. Pesan pada anak-anak kita, pesan pada diri kita sendiri dan sesekali jangan dilanggar.

Macam mana nak jadi orang yang berintegriti?

Anda perlu ada satu kepercayaan atau prinsip yang dipegang erat. Bila ada prinsip, barulah datang integriti. Orang yang kelabu asap apa kepercayaan dan apa polisi hidupnya, malah tak ada pendapat sendiri, main ikut-ikut saja, sudah pasti akan dilihat tidak ada integriti.

#2. Ada kebijaksanaan

Bila dah lulus yang pertama di atas tadi, barulah datang kriteria yang kedua ini pula. Anda perlu punya kebijaksanaan.

Untuk dapatkan kebijaksanaan, anda perlu paksa penggunaan otak supaya otak tidak jadi bebal dan malas. Perlu berusaha memahami kehidupan, perlu sentiasa bertanya dan mencari jawapan. Perlu tahu apa yang sedang dilakukan dan kenapa ianya dilakukan dan ke mana halatujunya.

Ramai orang yang pandai, tapi malangnya tak bijak sebab gagal memaksa otak atau akal untuk berfikir. Dibiarkan saja otak hanyut ikut keadaan dan ikut orang. Sebab itu majoriti orang ramai lebih selesa untuk ikut apa yang ramai orang buat. Tak kisah samada yang dibuat itu betul atau salah, mereka ikut saja sebab ramai yang buat.

#3. Bertenaga

Bila dah punya integriti, maka orang percaya.

Kemudian perlu juga bijak sana, untuk pastikan tidak buat kerja yang sia-sia.

Akhir sekali, mestilah ada tenaga. Tanpa tenaga dan semangat tinggi, tak ada orang yang akan sanggup menghadapi cabaran. Bayangkan anda buat kerja yang tak ada atau tak ramai orang buat sebab yakin itu perkara yang betul.

Sudah tentu anda akan dicemuh oleh orang ramai yang jenis ikut-ikutan yang biasanya jadi golongan besar sebab ramai yang hanya pak turut saja dan tidak suka keluar dari zon selesa. Dalam keadan itu, jika tiada tenaga, anda akan tewas.

Semak sebelum melabur pada orang

Kalau anda punya 3 perkara yang kat atas itu, saya teringin nak jumpa dan jadikan anda kawan. Sebab saya yakin satu masa nanti anda akan jadi seseorang yang bernilai tinggi. Saya teringin nak buat pelaburan pada anda.

Bukan nak bagi duit seketul. Tapi sekadar nak jadi kawan baik yang berkekelan sehingga anda berjaya esok hari. Itu saja.

Jika anda ada banyak duit, kalau nak laburkan pada syarikat atau mana-mana idea perniagaan, pastikan anda semak samada orsang yang nak laksanakan idea tersebut punya 3 ciri-ciri yang tersebut di atas.

Kriteria pertama paling penting. Diikuti oleh yang kedau dan seterusnya yang ketiga. Kalau ada yang 2 dan yang 3, tapi tak ada yang pertama. Tak payah nak tunggu lama untuk dia bungkus dan jual anda. Jadi berhati-hati.

 

Total
25
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge