Bunuh ketagihan duduk depan skrin !

By | 18/07/2012

Ada ramai orang di Malaysia mengalami masalah ketagihan duduk tercegat depan skrin sekarang ini. Ada yang ketagih melayari internet dan membaca seberapa banyak bahan yang dia minat. Ada juga yang asyik tercegat depan FB, Twitter dan lain-lain seumpamanya dan tulis segala macam perkara yang terlintas di kepala.

Ada juga yang sanggup berjuang untuk parti yang disokong dengan berdebat di FB. Habis semua musuh partinya didebat sampai terlentang satu persatu dan dia rasa bangga atas usahanya meningkatkan sokongan pada partinya.

Ada juga yang sering masukkan ayat-ayat power dengan harapan orang yang membacanya meleleh air mata dan hingus terkedu serta terkesima. Ada pula yang mempromosikan mazhab masing-masing tak henti-henti. Mereka masukkan petikan dari Imam-Imam mereka yang terlalu hebat tetapi susah nak buat.

Yang paling tak siuman sekali adalah adanya mereka yang mengambil gambar pasangan rumah yang sedang mengurut atau sedang berkemban dan seumpamanya lalu buat posting untuk dicanangkan pada orang lain aktiviti mereka

Syok sendiri

Saya juga tak terkecuali dari dijangkiti masalah tercegat depan skrin ketika memulakan blog Warta Shubhi sejak tahun 2008. Ketagihan itu semakin menjadi-jadi apabila trafik Warta Shubhi meningkat dari sehari ke sehari terutamanya bila saya mula menulis berkenaan politik.

Lagi banyak saya buat posting, semakin meningkat jumlah kunjungan pembaca dan saya pantau trafik setiap masa. Buka tutup, buka tutup semata-mata untuk tengok berapa sudah kunjungan pembaca. Kehidupan saya sebelum ada blog Warta Shubhi cukup bermakna. Tanpa blog banyak buku boleh saya baca serta ramai orang yang saya boleh jumpa.

Kerana blog Warta Shubhi juga saya terpaksa beli suratkhabar hari-hari, menghadiri semua perhimpunan politik, baca semua portal berita politik. Ringkasnya saya memaksa diri saya untuk menjadi serba tahu agar boleh menulis komen dan liputan politik yang menarik. Akhirnya saya sedar saya hanya syok sendiri. Tercegat berjam-jam sambil terkebil-kebil mata melihat jumlah trafik.

Yang paling malangnya pendapatan yang diperolehi melalui aktiviti tersebut lansung tidak bermakna berbanding masa yang diperuntukan untuk membaca dan menulis sedangkan jika saya tumpukan masa yang sama untuk buat PR bagi syarikat, saya mampu bawa balik RM20,000 ke RM40,000 sebulan. Saya sedar dengan kebodohan itu, tapi agak sukar mengubah aktiviti yang sudah menjadi tabiat buruk.

Akhirnya saya mula buat kajian tentang bagaimana saya boleh ringkaskan hidup saya maka muncullah blog Hidup Ringkas. Saya mula limitkan jumlah masa yang boleh saya perhatikan untuk Warta Shubhi dan akhirnya Warta Shubhi saya keluarkan daripada senarai blog tumpuan. Selain dari itu saya kemaskini blog hobi dan blog perniagaan saya.

Limitkan masa yang tetap untuk menghapuskan tabiat

Apa yang saya lakukan hanyalah melimitkan jumlah masa untuk saya terkebil-kebil depan warta shubhi. Saya juga berhenti beli dan baca suratkhabar. Juga berhenti dari membaca portal berita utama melalui internet dan tinggalkan penyertaan dalam kesemua acara atau temasya politik. Hasilnya saya bebas dari cengkaman Warta Shubhi. Sesuatu yang amat melegakan!.

Untuk blog lain pula saya letakkan jumlah posting hanya dalam lingkungan 5 tulisan saja seminggu. Kalau dulu saya pantau jumlah trafik, kini saya hanya pantau jumlah artikel agar jangan terlajak. Namun begitu sekali sekala tersasar juga. maklumlah bukan senang nak disiplinkan diri.

Petua untuk membuang ketagihan tercegat depan skrin adalah dengan melimitkan masa buat anda layan internet. Jika selama ini anda habiskan masa 6 hingga 7 jam sehari untuk baca, cut & paste himpunan laporan politik yang telah disiarkan oleh portal profesional lain, anda boleh kurangkan pada 2 atau 3 jam sahaja sehari. Letakkan timer di sisi dan segera tinggalkan komputer bila tempoh dan tamat.

Begitu juga dengan mereka yang ketagihan FB dan lain-lain media sosial, hadkan masa anda dan patuhi sehingga anda berjaya. Banyak lagi ketagihan lain kita boleh buang dengan membunuh aktiviti berulang-ulang yang mula manjadi habit. Baca Petua mudah buang tabiat buruk untuk maklumat lebih lanjut.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge