Pedoman untuk menjadi usahawan berjaya

By | 20/06/2012

Salah satu daripada teknik mudah untuk mengamalkan gaya hidup ringkas adalah dengan menjadi usahawan.

Tips-tips yang akan saya nyatakan di bawah ini merupakan salah satu cara menukar gaya hidup kita daripada kehidupan yang berserabut kepada satu gaya hidup ringkas yang mengutamakan perkara-perkara penting sahaja dalam kehidupan.

Persedian mula untuk menjadi seorang usahawan secara lansung membuatkan kita terpaksa meringkaskan kehidupan dan dalam masa yang sama mengubah cara berfikir agar cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang membina perniagaan menjadi mudah, tenang dan berdisiplin.

Jika dibertanya pada mereka yang sedang menyara kehidupan dengan makan gaji samada ingin berniaga, majoritinya sudah tentu akan menjawab ‘Ya’.

Ini adalah fakta universal yang mana hampir semua orang di seluruh dunia mengimpikan untuk menjadi seorang usahawan. Tetapi malangnya jumlah mereka yang benar-benar berusaha dan merealisasikan impian tersebut adalah terlalu sedikit.

Di negara kita sahaja sebagai contoh, jumlah orang Melayu yang menceburkan diri dalam perniagaan hanyalah sekitar 5% sahaja. Ini berdasarkan kajian yang saya baca dari buku Malay Business tulisan Shukor Omar.

Jumlah 5% itu teramat sedikit jika dilihat kepada galakan serta keistimewaan yang disediakan oleh Kerajaan khasnya pada Kaum Bumiputera.

Apa yang menyebabkan situasi di atas berlaku ada kaitan dengan perasaan takut yang sentiasa menghantui jiwa manusia yang waras. Perasaan takut yang tercetus di dalam minda telah membuatkan perkembangan kemajuan terhadap sebahagian besar manusia terbantut.

Selagi belenggu yang mengikat leher dan menarik ke belakang setiap kali kita ingin maju ke depan tidak kita putuskan, selagi itulah ia mencengkam serta membelengu kehidupan kita daripada melakukan apa yang diimpikan.

Menurut Napoleon Hill, antara ketakutan yang sering bermain di dalam fikiran samada secara sedar atau tidak adalah:

  1. Takut kritikan – ini adalah belengu yang paling tebal menjerat leher dan menyeret kita ke belakang daripada melakukan apa yang di ingini. Cuba bayangkan jika anda berhasrat bersiar-siar dengan berbaju singlet dan berkain pelikat di dalam pusat membeli belah KLCC. Antara perkara yang menghalang kita dari melakukannya adalah risau apa orang akan kata. Sama juga dengan keinginan kita untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan tidak diteruskan kerana takut apa orang akan kata sedangkan pekerjaan kita sudahpun stabil dan cukup bayarannya.
  2. Takut susah – masalah takut pada kesusahan ini bukan sahaja berlaku pada orang kaya, malah orang miskin juga mengalami fobia yang sama. Orang yang memang dah susah sebenarnya sedang senang dengan cara hidup mereka. Mereka susah selesa dengan keadaan rumah yang serba kekurangan, duit yang sentiasa tidak mencukupi dan terkejar-kejar mencari nafkah sesuap nasi. Itu membuatkan mereka tidak sanggup berhenti sejenak berfikirkan tentang kehidupan mereka dan mula mengatur langkah perlahan-lahan merungkai kejayaan di masa hadapan. Kita biasa melihat seorang penjual kacang yang semenjak masa mudanya sehingga masa tuanya masih menjual kacang tanpa apa-apa perubahan akibat tidak sanggup berhenti dan mula menukar cara mereka berfikir. Mereka sebenarnya takut susah dan hilang keselesaan yang telah mereka rasakan.
  3. Takut miskin – Bagi yang merasakan mereka sudah selesa menyara kehidupan ala kadar masih juga mengalami rasa takut kalau-kalau keadaan mereka menjadi lebih teruk jika berubah haluan. Mereka risau menjadi lebih miskin sedangkan di mata orang luar mereka sebenarnya miskin. Apatah lagi jika kita sudah merasakan kita tidak berapa miskin. Kita takut membuat perubahan dan meneruskan cara hidup kita sebegitu semata-mata takut jatuh miskin. Kita lebih suka mengandaikan kemungkinan menjadi miskin daripada mengandaikan kemungkinan menjadi kaya.
  4. Takut sakit – Ketakutan ini ada hubungan dengan ketiga-tiga masalah di atas. Kita takut jika susah, menjadi miskin dan dikritik orang membuatkan kita ditimpa malang lalu jatuh sakit. Kalau sakit dan keadaan kita tidak berubah segalanya menjadi lebih tertekan dan akibatnya kita mendapat kesemua yang kita sebutkan di atas tadi. Ironinya dalam kita takutkan jatuh sakit, kita masih terkejar-kejar dengan kehidupan kita tanpa meluangkan sedikitpun masa bersenam untuk menjaga kesihatan. Alasannya kalau kita berhenti kerja dan jatuh sakit siapa pula yang akan membantu kita.
  5. Takut tua – Semua orang takutkan dirinya menjadi tua, tidak kuat lagi dan tidak mampu menyara diri sendiri serta keluarga. Kalau kita berhenti kerja makan gaji, dan segala usaha kita gagal masa tidak menunggu kita dan kita semakin tua tanpa ada apa-apa jaminan sedangkan anak-anak masih kecil dan perlu disara.
  6. Takut mati – Tak ada orang yang tidak takutkan mati. Malah bagi orang yang beriman dan beramal soleh, mereka mungkin tak kisah dengan mati, namun mereka tetap kisah apa yang bakal berlaku selepas mati. Namun bagi mereka yang beramal soleh sekurang-kurangnya takutkan mati membuatkan mereka meninggalkan perkara yang sia-sia. Sebenarnya ketakutan kepada mati boleh digunakan untuk faedah kebaikan diri kita bagi menghilangkan segala 5 perkara yang saya sebutkan di atas tadi. Malangnya kita sekadar membiarkan ketakutan pada kematian itu melekat di sudut kecil hati kita dan tidak pernah berusaha mengambil masa yang secukupnya untuk memahami hakikat yang pasti itu dan berfikir bagaimana kiat perlu menghadapinya dengan bijak.

Setelah kita memahami ketakutan yang samada kita sedar atau tidak yang menghimpit diri di atas. Kita sudah mendapat sedikit idea bahawa ia merupakan masalah biasa yang berlaku pada hampir kesemua orang.

Bermula saat ini, jadikan ia sebagai pedoman setiap kali kita mahu melakukan sesuatu dan kita rasa terhalang, fikirkan semula apakah faktor yang menghalangnya.

Sudah pasti ia hanya berkisar dalam salah satu daripada yang telah disebutkan di atas tadi. Dan yakinlah jika kita membuat sesuatu keputusan yang tidak bertentangan dengan lunas-lunas syariat, kita tidak perlu takut sama sekali.

Kembali kepada matlamat asal kita untuk menjadi usahawan, kebiasannya yang membelenggu diri adalah 3 perkara pertama di atas sahaja.

Bagi mengatasinya kita perlu menyediakan diri agar ia tidak lagi menjadi penghalang dengan melakukan beberapa perkara berikut di bawah.

  1. Hilangkan ketakutan pada kritikan dengan berhadapan dengan mereka yang mengkritik kita. Dapatkan segala hujah daripada mereka kenapa kita dikritik dan patah segala hujah mereka dengan yakin. Sebenarnya kritikan amat berguna sebagai maklumat untuk membuat persediaan bagi menjayakan matlamat kita. Kebiasannya ada maklumat-maklumat yang berguna yang kita tidak fikirkan daripada kritikan yang kita terima. Jika kritikan tersebut ada alasannya, fikirkan jalan bagaimana kita dapat selesaikan kritikan yang bernas itu. Ini dapat menambahkan lagi tahap persediaan diri kita.
  2. Takut pada kesusahan hanyalah mainan minda. Kebiasannya minda kita membayangkan kesusahan yang bakal kita hadapi melebih daripada hakikat sebenarnya. Setiap kali ia benar-benar berlaku, kita dengan mudah dapat mengharunginya samada cepat atau lambat. Bayangkan pengalaman kesusahan yang telah kita lalui dan apakah kesannya pada perubahan diri kita. Tidak ada mereka yang jatuh susah lalu bangun semula melainkan menjadi manusia yang lebih kuat daripada sebelumnya. Salah satu cara menjadi lebih kuat adalah dengan mencari cabaran dan harunginya sehingga ia bertukar menjadi senang.
  3. Selesaikan masalah takut miskin. Kita perlu percaya miskin atau kaya bergantung kepada berapa pendapatan kita dan berapa pula keperluan kita. Ia tidak ada kena mengena dengan berapa banyak wang yang kita ada. Untuk langkah pertama senaraikan semula segala keperluan kita dan bagaimana boleh kita kurangkan dengan cara yang drastik. Ingatlah bahawa perkara asas yang diperlukan oleh kita hanyalah makanan, tempat perlindungan dan juga pendidikan. Jadikan ketiga perkara asas ini sebagai landasan untuk kita memulakan penstrukturan semula kehidupan kita. Kita akan dapati sebenarnya kita mampu menjimatkan kos kehidupan kita dengan cukup hebat demi membina semula kehidupan pada masa yang mendatang dengan melakukan apa yang kita minat.

Jangan berhenti kerja dulu

Jika sekarang ini kita menyara kehidupan dengan makan gaji bermakna kita ada sesuatu kelebihan yang membuatkan diri menjadi berharga.

Kita sudah tentu ada sesuatu kemahiran yang membuatkan orang mahu menggajikan diri kita. Jangan tergopoh gapah untuk terus berhenti. Lakukan penstrukturan semula kehidupan yang telah saya katakan di atas dan biasakan diri dengan cara hidup baru.

Kurangkan kos keperluan dan segala lebihan yang ada jadikan ia sebagai simpanan untuk projek menjadi usahawan nanti.

Silap-silap hari bulan kita akan merasakan duit kita sudah cukup banyak untuk menjadi kaya lalu tidak meneruskan hasrat menjadi seorang usahawan.

Kalau itu yang berlaku, tidak mengapa. Ia hanya menunjukkan bahawa menjadi usahawan hanyalah sekadar impian kita untuk menjadi kaya dan bukanlah benar-benar mahu membantu menyelesaikan masalah orang ramai dengan perniagaan.

Teruskan saja dengan makan gaji dan tidak ada apa-apa kesalahan dengan sikap sebegitu. Makan gaji bukanlah sesuatu yang hina, ia merupakan cara menyara kehidupan pada sebilangan besar daripada penduduk di muka bumi ini.

Cuma anda sudah menjadi orang yang berbeza berbanding sebelum ini kerana berjaya mengubah kehidupan menjadi lebih ringkas dan bermakna dengan membuat segala perkara yang tidak perlu dan menumpukan hanya pada yang perlu sahaja.

Terlalu sedikit golongan makan gaji yang berjaya buat sebegitu.

Mula mencari perniagaan yang diminati dan belajar

Dengan situasi kewangan anda yang makin kukuh dan simpanan anda semakin bertambah jangan lupa untuk memikirkan apa jenis perniagaan yang anda minat dan teruja untuk melakukannya.

Buat senarai perniagaan-perniagaan yang ada dalam fikiran anda dan lakukan kajian. Jika perniagaan yang anda mahu lakukan sama dengan kerja yang anda sedang buat, anda amat beruntung kerana anda sebenarnya sedang dalam proses latihan memahami selok belok perniagaan tersebut.

Jika begitu, mula menjadi peka dengan segenap urusan syarikat yang sedang anda bekerja. Jangan berat tulang dan menjadi malas untuk menghulurkan bantuan pada  orang lain, asalkan ia membantu anda lebih memahami proses perniagaan itu, lakukan saja dengan penuh gembira.

Silap-silap hari bulan anda akan menjadi salah seorang pekerja yang paling dicintai oleh majikan dan kenaikan pangkat tidak dapat dielakkan begitu juga dengan gaji anda. Ini mungkin menggugat hasrat anda untuk menjadi usahawan.

Seandainya terjadi begitu dan anda rasa puas dengan apa yang anda dapat, tidak mengapa untuk teruskan makan gaji dan sekali lagi tidak ada apa-apa salahnya.

Namun jika hasrat untuk menjadi usahawa masih berkobar-kobar, ini menunjukkan anda yakin bahawa anda mampu membuat lebih baik daripada apa yang majikan anda tawarkan pada pelanggannya.

Anda sebenarnya telah amat bersedia untuk menjadi seorang usahawan dengan sistem dan cara anda sendiri. Di saat itu anda tidak akan ragu-ragu lagi untuk meletakkan jawatan dan memulakan perniagaan anda dan insyallah anda akan berjaya.

Jika kerja yang anda sedang lakukan bukan jenis perniagaan yang anda mahu buat. Anda boleh mula mencari majikan yang menjalankan aktiviti perniagaan yang ingin anda jalankan satu hari nanti dan ulang kesemua perkara di atas.

Setelah semuanya selesai, anda ada duit, pengalaman dan keyakinan, barulah berhenti kerja dan menjadi usahawan sepenuh masa. Insyaallah anda akan berjaya. Selamat mencuba

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge