Jangan biarkan hidup berserabut!

Ada orang yang rasa bosan sekarang sebab dia rasa tak cukup aktiviti yang nak dibuat. Jadi dia duduk saja layan perasaan dan tak tahu nak buat apa.

Ada pula yang resah risau. Dia rasa terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Hidupnya terasa semak sampai menekan dada. Fikiran berputar dari satu kerisauan ke satu kerisauan yang lain.

Bila dah terlalu banyak yang nak kena buat, dia terus kejang dan akhirnya tak tahu mana satu nak kena buat dulu. Setiap kali nak mula buat sesuatu, ada saja perkara baru yang muncul. Dah hilang tumpuan dan mula layan benda baru tu pulak.

Samada anda masuk dalam golongan pertama kat atas tu atau golongan kedua, boleh saja cuba ringkaskan semula kehidupan anda tu.

Kedua-dua kes adalah sama. Tak tahu nak buat apa sebab tak ada benda nak buat. Atau sebab terlalu banyak nak kena buat, boleh membuatkan kehidupan jadi berserabut dan tak menyeronokkan.

Ringkaskan semula kehidupan

Apa yang anda perlu buat, untuk lakukan aktiviti ringkaskan semula kehidupan, adalah dengan menyediakan sebatang pen dan kertas.

Ambil kertas, pusingkan arah horizontal, dan bahagikan kepada 3 bahagian sama besar. Tulis tajuk kat atas setiap bahagian tu 3 perkara seperti berikut:

  • Dok buat apa sekarang – ini senarai segala aktiviti dan tugasan yang memang anda sedang lakukan sekarang.
  • Sepatutnya buat apa – Ini pula segala aktiviti yang anda pun tahu sepatutnya perlu anda buat tapi tak buat-buat.
  • Teringin nak buat – Ini adalah segala aktiviti atau tugasan yang anda memang teringin nak buat yang selama ini jadi angan-anagan sahaja.

Mudah kan?. 3 senarai yang saya berikan kat atas tu mudah sangat untuk anda fahamkan dan buat. 

Mula senaraikan satu demi satu dalam bentuk point yang ringkas, bermula pada soalan ‘dok buat apa sekarang? Pastikan anda tulis secara ringkas dan padat bermakna. Tak perlulah nak buat karangan pulak.

Saya berikan sedikit contoh mudah kat bawah ni.

Dok buat apa sekarang

Renungkan sejenak, berlaku jujur dan mula senaraikan apa yang anda sedang buat sekarang. Samada secara rutin atau secara berkala.

Saya berikan contoh senarai dok buat apa sekarang seperti berikut.

  1. Khidmat bantu usahawan mantapkan bisnes
  2. Khidmat nasihat program bimbingan usahawan
  3. Uruskan dua blog secara aktif
  4. Urus bisnes perkhidmatan ESSB
  5. Pantau bisnes perkhidmatan PSSB
  6. Puasa Isnin & Khamis
  7. Brisk walk setiap pagi
  8. Baca buku
  9. Lawat orang tua sebulan sekali
  10. Family day setiap hari ahad
  11. Layan media sosial, whatsapp, FB dan lain-lain.
  12. Belajar main guitar

Sepatutnya buat apa

Selepas selesai senaraikan perkara yang anda sedang buat sekarang, buat pula senarai apa yang sepatutnya anda buat, tapi tak buat.

Tak perlu risau takut terlepas pandang perkara yang sedang dibuat kat atas tu. Bila teringat, boleh patah balik dantambahkan lagi senarai tadi.

Senarai ini perlukan kejujuran juga. Anda perlu tahu dan sedar apakah perkara yang sepatutnya anda buat untuk mencapai matlamat besar kehidupan anda.

Saya berikan contoh sepeti berikut kat bawah ni

  1. Tulis e-book panduan berniaga
  2. Bina team penulis dan menguruskan projek bantu usahawan dan aktiviti sumbangan kemasyarakatan lain.
  3. Belajar bagaimana nak melabur secara bijak duit yang ada
  4. Buat perancangan besar syarikat yang ada ke tahap paling tinggi
  5. Fikir dan rancang bagaimana ibu boleh tinggal semula di kampung di rumahnya sendiri.
  6. Bina rangkaian baru kenalan yang jauh lebih berjaya
  7. Rancang penggunaan aset yang ada supaya menjana pendapatan pasif
  8. Buat pemeriksaan kesihatan menyeluruh
  9. Buat perancangan pendidikan anak-anak

Teringin nak buat

Bila dah selesai buat senarai apa yang sepatutnya anda buat, boleh sambung buat senarai apa yang anda teringin nak buat pulak.

Tak habis senarai kat atas tadi tak apa. Nanti bila teringat boleh tambah.

Saya berikan contoh senarai perkara yang anda teringin nak buat seperti berikut

  1. Plan trip kembara jelajah dunia satu keluarga
  2. Baca lebih kerap dan lebih banyak bahan-bahan berat terkini
  3. Lebihkan masa bersama kawan-kawan dan masyarakat
  4. Belajar dan kuasai bahasa baru
  5. Beli tanah buat kebun buah-buahan
  6. Ceburi bidang teknologi tinggi dan terkini. Robotik, IOT, Blockchain, AI dan sebagainya
  7. Berkecimpung dan aktif dalam badan sukarela
  8. Memahami dan mengkaji Al-Quran secara perkataan demi perkataan

Buat semakan semula

Bila anda dah selesai buat kesemua senarai kat atas tadi, anda boleh mula buat semakan.

Cara menyemak amat mudah.

Anda hanya perlu bertanya soalan berikut pada setiap senarai atau tugasan yang ada di atas tadi,

  • Adakah ianya perlu? – Bersikap nekad dalam menjawab soalan ini. Kalau memang perlu, kekalkan. Kalau tak perlu singkirkan tugasan tersebut. Contohnya kerja layan medai sosial, perlu ke aktif? kalau tak perlu gariskan saja keluar dari senarai.
  • Adakah ianya penting? – Mungkin tugasan itu tak perlu, tapi ianya penting. Samada untuk anda atau untuk orang yang anda ambil berat. Kalau penting, maka kekalkan. Kalau tidak, buang saja.

Bila dah selesai buat semua semakan, anda akan pastikan hanya perkara perlu dan penting saja yang tinggal dalam senarai.

Senarai nilah yang anda akan buat perancangan seterusnya. Masukkan ke dalam senarai perancangan hidup anda untuk disusun segala strategi dan perancangan yang bersesuaian.

Sediakan masa ringkaskan semula kehidupan

Bila rasa hidup mula berserabut, aktiviti ini saya akan lakukan. Ia banak membantu untuk saya betulkan semula perjalanan hidup yang dilalui.

Kalau tergelincir boleh segera dibetulkan supaya tak tersesat jauh.

Anda boleh gunakan cara yang sama untuk aktiviti yang lebih kecil seperti tugasan harian, mingguan atau bulanan. Tekniknya sama saja, dengan menggunakan 3 senarai kat atas tadi. Sedang buat, sepatutnya buat dan teringin nak buat.

Anda juga boleh guna pendekatan ini dalam menyusun semula projek atau urusan yang lebih spesifik dalam tugasan atau pekerjaan anda sekarang.

Agendanya adalah sama. Untuk pastikan hidup anda lebih prodktif dan hanya buat perkara perlu yang mendatangkan manfaat sahaja. Tinggalkan segala urusan yang tak perlu, tidak mendatangkan manfaat, walaupun ianya dilihat baik.

Selamat bermuhasabah !

Total
45
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge