‘Checklist’ untuk hidup sihat

By | 15/06/2012

Kita biasanya menyediakan checklist bila mahu pastikan tidak tercicir perkara-perkara penting dalam sesuatu aktiviti kita. Checklist juga banyak digunakan dalam urusan pembuatan bagi memastikan kualiti barang yang dihasilkan baik. Ringkasnya dengan adanya checklist, kita boleh merasa yakin semua perkara yang perlu dilakukan telah dipenuhi dalam menjayakan matlamat kita.

Bercakap tentang matlamat, adakah kita meletakkan kehidupan yang sihat sebagai salah satu daripada matlamat penting kita. Melihatkan daripada gaya hidup kebanyakkan daripada rakyat Malaysia saya rasa ramai yang terlepas pandang dengan perkara ini. Bukan bermakna kita tidak mahukan kehidupan yang sihat, tetapi kita cuma meletakkan perkara itu seperti igauan atau harapan semata-mata tanpa ada usaha yang konkrit dan berpatutan. Keadaannya sama seperti kebanyak orang yang mahu menjadi usahawan tetapi akhirnya sampai pencen tak pernah ada kesungguhan untuk berhenti kerja dan berniaga.

Sebelum ini saya ada menulis tentang cara mudah untuk hidup ringkas adalah dengan menyediakan senarai perkara-perkara penting dalam hidup kita, tumpukan semua perkara itu dan buang semua aktiviti selain daripada yang telah kita senaraikan. Saya masih berusaha untuk menyediakan senarai perkara yang penting dalam kehidupan untuk saya tumpukan dan melupakan selain daripada itu.

Setakat ini semua perkara yang saya anggap penting hanya ada dalam kepala saya sahaja dan masih belum ditumpahkan lagi ke atas kertas bagi menjadikannya lebih serius, dan saya pasti kesihatan sudah tentu menjadi salah satu daripada perkara penting dalam kehidupan yang saya mahukan. Bila kita sebut untuk menjalani kehidupan yang sihat sudah tentu ada perkara-perkara yang penting yang patut kita lakukan atau  tinggalkan. Perkara-perkara itulah yang perlu kita berikan perhatian sebagai sebahagaian daripada aktiviti kehidupan kita bagi mencapai matlamat kehidupan yang sihat.

Saya telah mendapat satu senarai semakan yang diyakini berkesan untuk meletakkan diri kita berada di landasan yang betul dalam usaha menjadikan kehidupan yang sihat. Terdapat hanya 20 perkara yang perlu kita semak satu persatu dan selagi keseluruhan perkara tersebut masih belum dapat kita penuhi, bermakna kita masih lagi perlu berusaha bagi mencapainya. Apa yang perlu kita buat hanyalah menyemak setiap perkara dan tandakan semua yang telah kita berjaya lakukan. Berikut 20 senarai perkara tersebut:

  1. Saya tidak merokok
  2. Saya tak minum arak
  3. Berat saya normal, tidak terlalu gemuk dan tidak terlalu kurus
  4. Saya tidak sesekali menggunakan telefon bimbit ketika memandu
  5. Saya melindungi diri saya dengan penapis cahaya ketika berada di panas matahari terik
  6. Saya makan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum sedikit coklat setiap hari.
  7. Saya bersenam empat kali atau lebih dalam seminggu
  8. Saya gosok gigi dan flosh gigi saya dengan kerap
  9. Saya sentiasa memakai talipinggang keselamatan setiap kali naik kenderaan
  10. Saya mengambil ‘baby aspirin’ untuk kesihatan. ( Baby aspirin boleh mencegah pembekuan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung, anda juga boleh makan banyak buah tomato yang juga berfungsi mencairkan darah)
  11. Saya seringkali merasa berpuas hati dan gembira
  12. Saya sering melibatkan diri dalam melakukan aktiviti yang boleh mengembirakan saya
  13. Saya berpuas hati dengan kehidupan saya
  14. Saya bersedih tetapi hanya sesekali atau jarang-jarang
  15. Saya marah tetapi hanya sesekali
  16. Saya merasa tertekan tetapi hanya sesekali
  17. Saya sentiasa rasa bersyukur dan boleh dipercayai
  18. Saya ada kawan-kawan dan juga keluarga yang boleh saya harapkan
  19. Saya seorang yang optimis
  20. Saya berpuas hati dan gembira dengan hubungan kemasyarakatan saya.

Semak semua senarai di atas dan lihat samada anda berjaya melengkapkannya dengan jawapan yang positif. Jika masih ada yang belum dipenuhi, jangan risau sangat sebaliknya jadikan ia sebagai satu perkara yang anda perlu amalkan. Jika banyak sangat yang anda gagal, cuba penuhkannya satu persatu-satu sehingga anda berjaya lakukan kesemuanya. Saya telah menulis tentang Teknik untuk memberikan kekuatan dan melaksanakan apa yang kita azam sebelum ini, baca dan cubalah amalkan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge