Antara ‘ada duit yang cukup’ dengan ‘ada duit yang banyak’ …

Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang kawan lama dari kampung. Dia bawa bersamanya dua orang lagi kawan. Teman sepekerjaannya kat kampung.

Saya bawa mereka pergi minum kat kedai mamak.

Dalam berkenal-kenalan dengan dua orang lagi kawan baru itu, mereka tanya saya kalau-kalau ada peluang untuk buat duit banyak.

Kedua-duanya sudah ada kerja tetap yang baik. Jadi saya cuba selidik apa sebenarnya yang mereka sasarkan.

Kesimpulan yang saya dapat adalah mereka nak ada duit yang banyak.

Jadi saya tanya mereka mana satu yang mereka kejar. Antara ada duit yang cukup, atau ada duit yang banyak. 

Mungkin anda juga sedang memikirkan cara untuk punya duit yang banyak. Jadi saya tanyakan soalan yang sama pada anda sekarang.

Mana satu lebih penting?

Jika anda seorang yang normal, waras dalam pemikiran, sudah tentu punya duit yang cukup adalah jauh lebih penting daripada punya duit yang banyak.

Asas untuk hidup selesa dan tidak tertekan adalah dengan terlebih dahulu pastikan anda punya duit yang cukup.

Sekalipun anda punya duit yang banyak, tapi tak cukup, ia tidak menjamin kehidupan yang baik dan aman.

Sasarkan ada duit yang cukup

Kenapa anda perlu sasarkan untuk ada duit yang cukup berbanding duit yang banyak?

Sebab paling penting adalah keupayaan untuk mengawal apa yang berlaku.

Jika anda sasarkan untuk ada duit yang cukup, anda sebenarnya memilih untuk mengawal keadaan bermula dengan mengawal diri anda sendiri.

Kenapa saya kata anda begitu?

Sebab kedudukan samada cukup atau tidak cukup adalah bergantung kepada diri anda sendiri. Anda yang tentukan berapa yang perlu dan mencukupi.

Buat senarai segala keperluan anda sekarang.

Hanya senarai asas sahaja terlebih dahulu. Anda sendiri yang lebih tahu mana satu yang wajib dan mana satu yang harus. Jika anda ada pendapatan tetap, saya yakin segala keperluan wajib anda sudah pasti dah selesai.

Kalau selepas dikira kesemua keperluan anda dan duit atau pendapatan masih tak cukup, cuba semak semula senarai tadi. Mungkin ada yang boleh anda abaikan terlebih dahulu. Tentu ada yang anda terlepas pandang. Benda yang tak wajib, tapi anda masukkan ke dalam senarai wajib.

Kalau masih belum selesai, selepas dah banyak kali buat semakan senarai, ertinya masih ada banyak perkara asas yang perlu anda usahakan untuk tambah pendapatan.

Buat kiraan berapa tambahan yang diperlukan secara tepat. Kemudian cari jalan macam mana nak dapatkannya. Buat perancangan dan kemudian laksanakan sehinggalah anda berjaya selesaikannya.

Jangan sasarkan duit yang banyak

Kalau anda sasarkan duit yang banyak, anda sebenarnya cuba nak kawal banyak perkara yang tidak berada dalam kawalan anda sendiri.

Pertama sekali dalam bab nak tentukan berapa banyak yang dikatakan banyak?

Berapa banyak pula dikatakan sikit?

Bila sebut perkataan banyak atau sikit, mahu tak mahu, anda terpaksa buat perbandingan. 

Bila anda mula buat perbandingan dalam kehidupan, mula bandingkan diri anda dengan orang lain, maka sudah tentu ceritanya tak akan habis. Akan ada orang lain yang punya duit lebih banyak dari apa yang anda ada.

Mungkin ada yang berkata, anda bukan bandingkan dengan orang lain. Tapi dengan diri anda sendiri. Antara dahulu dan sekarang.

Jika anda buat perbandingan dengan diri anda sendiri. Antara sekarang dengan tahun lepas. Isu banyak atau sikit tak timbul. Ia lebih menjurus kepada isu menentukan samada cukup atau tak cukup.

Jadi ternyata, sasaran terbaik adalah untuk mencapai kedudukan punya duit yang cukup.

Fokus pada kerja dan usaha

Bila dah selesai tentukan berapa jumlah duit yang cukup. Buat perubahan samada rendahkan kos atau tambahkan pendapatan sehingga mencukupi.

Anda boleh tersenyum puas bila dah berjaya.

Bersyukurlah!

Buat sujud syukur.

Hargai kedudukan anda sekarang dan tak perlu nak risau lagi. Paling penting, kekalkan tahap pencapaian tersebut dalam masa yang cukup panjang tanpa perlu tingkatkan keperluan lagi melainkan betul-betul perlu.

Dalam keadaan sebegitu, segala semak di dalam dada anda akan hilang lebih dari separuh. Jiwa akan lebih tenang.

Bila jiwa dah tenang, akan lebih mudah untuk anda fokus pada kerja dan usaha yang sedang anda lakukan sekarang.

Berikan tumpuan untuk hasilkan kerja dan usaha yang paling baik yang anda mampu lakukan. Bukan untuk kejar duit, sebab duit anda dah cukup. Tapi sebagai tanggung jawab anda untuk menjadi manusia yang terbaik.

Tak kisah samada anda seorang yang makan gaji atau seorang usahawan. Panduan yang saya berikan ini boleh saja anda guna pakai.

Jika anda betul-betul amalkannya. Kalau anda seorang yang makan gaji, prestasi anda akan melonjak.

Kalau anda seorang usahawan pula, perniagaan anda akan lebih lancar dan rezki akan datang dari berbagai sumber yang tak diduga.

Total
64
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge