Bersedia untuk berjayaBagaimana nak tahu bahawa anda sudah bersedia untuk berjaya sebagai seorang usahawan?

Ini persoalan yang akan saya cuba kongsikan dalam artikel kali ini untuk anda yang masih tercari-cari formula bagaimana nak berjaya sebagai seorang usahawan.

Pendapat dalam artikel ini hanyalah berdasarkan pemerhatian saya selama ini bergaul dengan para usahawan.

Juga hasil dari pemerhatian cerita hidup para usahawan yang berjaya samada di dalam TV mahupun di dalam buku-buku atau majalah keusahawanan.

Cerita mereka yang bersedia untuk berjaya

Dalam artikel yang sebelum ini, saya ada kongsikan cerita luar biasa seorang anak drebar.

Dalam artikel itu saya hanya sampaikan sedikit saja dari kisah kejayaannya. Dari seorang anak drebar yang miskin, hidup penuh cabaran.

Kemudiannya berusaha mendapatkan pendidikan, sehinggalah berjaya bergelar sebagai seorang jurtera dalam bidang telekomunikasi.

Dia balik ke Malaysia setelah sambung belajar di UK dan mendapat mula memegang jawatan penting di Telekom.

Naik setapak demi setapak hingga berada di kedudukan nombor 4 orang jawatan paling tinggi dalam syarikat Telekom.

Walaupun masih muda dan berada di kedudukan itu, dia ambil risiko pula untuk letakkan jawapan dan terjun masuk ke dunia pekerjaan swasta yang penuh cabaran.

Dia masuk menyertai syarikat UMW di mana ianya adalah atas pelawaan usahawan yang tak asing lagi Tan Sri Eric Chia.

Atas sebab tertentu dia letakkan jawatan dan nekad untuk memulakan perniagaannya sendiri.

Itu satu keputusan yang nekad dan berisiko tinggi yang dia ambil. Masih tak ramai anak melayu yang berani buat macam itu di zaman itu. Biasanya orang Melayu lebih selesa makan gaji terutamanya di sektor kerajaan.

Setelah berhempas pulas menjayakan syarikatnya sendiri dengan menggunakan duit simpanan sendiri, tanpa ada apa-apa bantuan atau sokongan dari segi kewangan dari pihak kerajaan, dia akhirnya berjaya juga naik ke atas.

Dia merupakan salah seorang anak Melayu yang awal sekali menceburkan diri dalam bidang telekomunikasi kat Malaysia ini. Paling penting bukannya atas bantuan atau belaian manja kerajaan.

Malah pihak kerajaanlah yang menghampirinya kemudian setelah mengakui kebolehannya dan juga keupayaan syarikat yang dia bina.

Orang itu sebenarnya ialah Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, pengasas Sapura Holding.

Cerita perjalanan hidupnya jika diamati punya satu perkara penting yang boleh dipelajari untuk kenal pasti seseorang itu bersedia untuk berjaya sebagai usahawan.

Rahsia bersedia untuk berjaya

Ketika ditanya kenapa pengasas Sapura Holding itu sanggup ambil semua risiko yang berat-berat itu. Sanggip lepaskan semua jawatan dan pangkat yang kukuh dan stabil, dia kongsikan rahsianya yang mudah.

Dia berasal dari keluarga susah, yang boleh hidup hanya dengan makan ikan kering dan nasi kosong sahaja. Dan dia sentiasa bersedia untuk lalui perkara yang sama jika ditakdirkan semua yang dibuatnya tidak menjadi.

Ertinya, Tan Sri Shamsuddin tidak ada apa-apa untuk berasa rugi.

Dia bermula semuanya dari kosong, berusaha kuat mendapatkan apa yang dia mahu dan berjaya mendapatkannya. Dia yakin untuk mengulangi jalan yang sama berkali-kali sebab sudah terbukti yang dia mampu naik walaupun dari kosong.

Kekuatan yang sebenar ada dalam dirinya.

Bukan pada segala kemewahan dan kebendaan yang dia berjaya kumpul.

Semua itu bila-bila saja boleh susut dan hilang. Tapi pengalaman dan jalan yang dlaluinya untuk naik ke atas akan sentiasa tersemat dalam jati dirinya sampai bila-bila.

Tak takut untuk hilang semua

Saya banyak tengok cerita yang dikongsikan oleh orang-orang yang berjaya. Sat ketika dulu, ada dikongsikan rencana bersiri orang-orang yang berjaya dari zero kepada hero.

Saya suka tengok cerita tersebut dan berjaya melihat satu corak pemikiran yang sama dikongsikan oleh semua mereka yang berjaya.

Mereka semua bermula dari kosong dan berpegang bahawa mereka tidak punya apa-apa untuk terlepas hilang. Sebab tak ada apapun yang boleh hilang bila anda tak punya apa-apa.

Selagi orang tidak ikat dan kurung jiwa dan raga mereka, mereka sentiasa bersedia untuk berusaha untuk naik ke atas.

Orang putih kata, nothing to loose!

Itulah formula asas untuk menempah kejayaan terutamanya dalam dunia keusahawanan.

Berjaya bila habis semua

Ada ramai juga usahawan yang saya kenal bermula dari ada banyak duit dan punya harta peninggalan ibubapa yang banyak.

Mereka buat macam-macam dengan penuh keyakinan untuk berjaya.

Tapi semuanya berakhir dengan kegagalan.

Titik mula mereka menempah kejayaan semula, naik sedikit demi sedikit, hanya mula berlaku apabila mereka dah hilang semua yang dah ada.

Ada yang terpaksa bermula dari jual goreng pisang tepi jalan untuk menamung kehidupan diri dan keluarga bila dah jatuh susah. Bila dah masuk tahap itu barulah mereka mula bersedia untuk berjaya.

Adakah anda bersedia untuk berjaya

Jika ditanya, memang ramai yang minat sangat nak jadi usahawan berjaya. Samada yang sedang makan gaji mahupun yang masih menganggur, semuanya simpan hasrat nak jadi usahawan berjaya.

Tapi paling sukar untuk melihat mereka yang sedang enak makan gaji, sanggup lepaskan jawatan dan mulakan perniagaan.

Punca utamanya adalah mereka rasakan ada terlalu banyak yang terpaksa dilepaskan. Terlalu banyak rasa akan kerugian. Jawatan, gaji tinggi, status dalam masyarakat dan lain-lain lagi seumpamanya.

Selagi ada perasaan begitu, selagi itu tidak akan ada keberanian untuk jadi usahawan.

Hanya mereka yang ambil masa untuk berfikir secara mendalam, senaraikan apa yang mereka hilang atau rugi jika gagal teruk dalam percubaan untuk berniaga, yang akan dapat melihat samada diri dah bersedia untuk berjaya.

Hakikatnya semua orang lahir dengan tidak punya apa-apa. Malah pakaian pun tak ada. Jika anda lahir dari kalangan keluarga yang miskin dan susah, lagilah panjang tempoh hidup dalam keadaan tak punya apa-apa.

Jika usaha demi usaha dilakukan dan naik sedikit demi sedikit anda akan berjaya kumpulkan pengalaman bagaimana nak naik bermula dari kosong.

Ditambah lagi pula dengan latihan ambil risiko untuk lompat ke tangga setapak lagi ke atas dan menempa kejayaan baru pula. Anda mula tanam pengalaman untuk ambil risiko untuk menempa kejayaan baru.

Setiap risiko yang anda ambil biasanya akan menggunakan idea ‘nothing to loose’ untuk memujuk diri bagi mencuba naik ke atas lagi.

Itulah yang hampir semua orang yang naik dari zero ke hero amalkan dan masih tanam pemikiran yang sama sampai sekarang.

Asalkan dia bukannya usahawan yang diberikan tongkat hebat dan sentiasa mendapat green card untuk kemasukan ke zon selesa, dia akan sentiasa ada sifat bersedia untuk berjaya itu.

Anda macam mana?

Adakah anda rasa dah bersedia untuk berjaya sekarang?

Total
38
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge