Kaitan antara harta kekayaan dengan kanta pembesar!

Pelik juga tajuk artikel kali ini. Kalau nak faham, teruskan pembacaan…

Memang ada kaitan sebenarnya antara harta kekayaan dengan kanta pembesar. Kanta pembesar boleh menerangkan fenomena yang berlaku apabila seseorang itu berubah dari tiada atau sedikit harta kekayaan, kepada banyak harta kekayaan yang dia miliki.

Saya cuba nak jawab persoalan samada harta kekayaan boleh mengubah perangai atau tabiat seseorang. Perkara tersebut sentiasa bermain di kepala saya dari dulu sampai sekarang.

Perbezaan yang berlaku bila ada harta kekayaan

Ramai yang berikan alasan untuk kekal dengan apa yang ada, hidup ala kadar, sebab takut diri berubah apabila Jadi kaya dan berkuasa.

Tapi dalam hati, saya sentiasa tak berapa percaya bahawa harta dan kuasa boleh membuatkan orang berubah. Maksudnya berubah dari baik kepada jahat secara terang dan nyata.

Saya tak percaya ada perubahan 360 darjah pada orang yang dari miskin menjadi kaya. Atau dari kaya bertukar menjadi miskin.

Ia membuatkan saya sentiasa memberikan perhatian. Baik kepada diri sendiri mahupun kepada kawan-kawan yang dah lama saya kenal.

Mereka yang saya boleh lihat dengan mata kepala sendiri segala perubahan yang berlaku hasil dari kedudukan mereka dari segi harta dan kuasa.

Tiada yang berubah bila ada harta kekayan

Hasil dari pemerhatian saya selama ini, ternyata apa yang ayah saya katakan dahulu adalah benar.

Saya masih ingat dengan jelas komen ayah terhadap orang yang sombong dalam satu peristiwa yang tak perlu nak saya ceritakan. Tapi komennya begini,

Orang kalau dah sombong, tak payah tunggu kaya atau berkuasa, dalam keadaan miskin papa kedanapun dia tetap sombong

Sikap seseorang bukan ditentukan oleh harta kekayaan dan kedudukannya. Ia adalah amalan yang diterapkan oleh kita dalam menjalani kehidupan dari kecil sampai besar. Bila dah selalu diamalkan, maka ia menjadi tabiat.

Bila dah jadi tabiat, bukan mudah nak ubah. Harta kekayaanpun tak akan berjaya mengubah sikap yang dah sebati menebal menjadi tabiat diri.

Apa berlaku bila anda jadi kaya

Untuk meringkaskan artikel ini, saya terus saya ke jawapan terhadap persoalan ini. Jika anda bertukar dari miskin menjadi kaya, perangai yang anda ada tak akan berubah.

Begitu juga kalau anda bertukar daripada lemah menjadi berkuasa, tabiat atau perangai yang ada dalam diri juga tidak akan berubah.

Apa yang berlaku bila anda ada kuasa dan kekayaan, perangai yang ada kat dalam diri itu hanya sekadar membesar sahaja.

Semakin kaya, semakin berkuasa, perangai yang ada semakin berganda-ganda membesar dan akan nampak semakin jelas dan ketara.

Errtinya, kalau jenis sombong, kekayaan dan kekuasaan hanya akan membesarkan lagi sikap sombong dan itu berganda-ganda. Sikap sombong akan jadi semakin jelas dan ketara hasil dari adanya kuasa dan kekayaan tersebut.

Begitu juga jika ada seorang yang pemurah dan pemaaf, dengan adanya harta dan kuasa, sifat pemaaf itu akan membesar nampak lebih jelas dan ketara berganda-ganda.

Kekayaan itu hanya sekadar kanta pembesar

Cuba ambil kanta pembesar dan talakan pada benda yang halus. Anda akan dapat lihat benda halus itu dengan lebih jelas. Mana yang tak kelihatan sebelum ini, akan jelas kelihatan.

Adakah benda halus itu berubah?

Tentu tidak. Anda masih melihat benda yang sama juga. Tapi jika sebelum ini ianya kecil dan tak berapa jelas dan terang, dengan adanya kanta pembesar, semuanya nampak amat terang dan nyata.

Itulah peranan yang dimainkan oleh harta dan kuasa. Ia hanya jadi kanta pembesar untuk membuatkan diri yang anda ada menjadi lebih menonjol.

Kalau masa miskin dahulu dia kedekut taik hidung masin, tentu tak berapa nampak sangat sebab dia miskin. Lagipun tak ramai pulak orang yang akan mencuba nasib minta sesuatu darinya. Maka perangai taik hidung masinnya itu tidak jelas dan menonjol.

Sebaik saja dia berubah mendapat banyak kekayaan, maka perangai kedekut itu terus kelihatan amat ketara sekali. Logik bukan.

Macam tu juga jika anda pemurah. Menderma seringgit dua tak ada apa yang istimewa, terutamanya untuk orang lain. Hanya anda saja tahu betapa besarnya nilai seringgi itu buat diri. Tapi disebabkan anda pemurah, anda sedekahkan juga.

Bila dah jadi kaya, banyak harta, derma akan menjadi lebih besar. Sekali masuk tabung masjib seratus dua. Orang yang sedang tersengguk mengantuk ketika dengar khutbah akan terbuka mata besar menjeling not 50 dua keping yang anda tengah sumbat masuk tabung begerak itu.

Besar tu nilainya buat orang yang tak ada duit. Tapi apalah sangat RM100 jika anda ada tunai dalam tabung simpanan RM20 juta!.

Fokus pada pembentukan sikap

Oleh itu, kerja utama paling dan amat penting yang semua orang wajib buat adalah pembinaan tabiat.

Terapkan semua tabiat yang baik dalam apa keadaan sekalipun.

Bela ibu, derma dan sedekah, solat, puasa, pemurah, pemaaf,  ringan tulang, dan lain-lain sifat kebaikan lagi, perlu dipupuk dan dibelai sehingga jadi tabiat diri.

Tak kisah dalam keadaan apa sekalipun, samada kaya atau miskin, lemah atau berkuasa.

Buat baik, punya tabiat yang baik, adalah urusan wajib semua insan yang waras.

Bukannya buat formula kalau nak kaya bela ibu, kalau nak kaya banyak sedekah, kalau nak kaya wirid 3 jam dalam masjid setiap jumaat dan lain-lain lagi formula nak kaya yang ramai orang kita suka petuakan.

Sekian saja pendapat saya.

Anda mungkin tak bersetuju dengan apa yang saya utarakan. Boleh saja utarakan pendapat anda pada ruang komen kat bawah ini untuk sama-sama kita renungkan.

Total
15
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge