“Apa pasal mau susah-susah exercise luar rumah?”

Itu soalan nyonya, jiran yang tinggal tak berapa jauh dari rumah saya.

Pagi tu, selepas selesai bersenam jalan kaki seperti biasa, nyonya tersebut tahan saya ketika sedang jalan menuju ke rumah.

Saya bertembung dengannya ketika dia baru balik dari pasar pagi. Nampak kalut dia keluar dari keretanya. Bersungguh-sungguh nak pastikan dia sempat tahan untuk berbual dengan saya.

Nyonya tu memang gemar bersembang. Ada saja perkara yang dia nak cakap setiap kali bertembung. 

Antara perkara yang dia paling suka adalah berikan nasihat. Terutamanya pasal keselamatan anak-anak. Kalau dia nampak anak-anak saya buat perkara yang agak merbahaya, dia orang paling awal yang akan berikan laporan supaya saya ambil perhatian.

Boleh dikatakan semua nasihat dan tegurannya selama ini memang amat bermanfaat. Saya akan ucapkan terima kasih atas keperihatinannya.

Tak payah bersenam jalan kaki

Kali ini nasihatnya agak berbeza. Dia nak cadangkan pada saya bagaimana saya boleh bersenam tanpa perlu keluar dari rumah.

Saya tak perlu bersusah payah bersenam di bawah panas matahari di waktu pagi tu. Kalau setakat nak keluarkan peluh, daam rumahpun boleh buat.

Saya dengar terlebih dahulu apa yang dia nak cadang.

Tak perlu pakai kasut kalau saya buat senaman di dalam rumah. Tak kena cahaya matahari pulak. Lebih selesa.

Tekan tubi, squat, lari setempat, angkat kaki, angkat kerusi .. dan macam-macam lagi boleh buat. 

Nyonya itu berikan banyak contoh untuk saya amalkan.

Mungkin dia kesian tengok saya kebiasaannya seorang diri, berpusing-pusing sekeliling taman hampir setiap hari. Lalu dia berikan alternatif lain yang lebih mudah untuk kesenangan saya.

Kenapa bersenam jalan kaki kat taman

Saya dengar semua cadangan dan keterangan nyonya itu sambil anggukkan kepala tanda faham.

Bila dia dah berhenti cakap, saya terus tanya soalan mudah padanya,

“Kalau saya bersenam dalam rumah, macam mana saya nak dengar bunyi burung berkicau kat atas pokok?”

Nyonya itu tengok mata saya, dia tersenyum sumbing.

Saya tunggu jawapannya darinya tapi tak keluar-keluar. Mungkin dia tak ada jawapan yang sempat difikirkan.

“Macam mana saya nak tengok daun, rumput dan pokok kehijauan kalau bersenam kat dalam rumah?” Tanya saya lagi pada nyonya.

Dia masih tersenyum sumbing. Sambung senyuman pada soalan pertama yang masih tak dapat dijawabnya. Soalan kedua itu juga dia tak dapat nak jawab.

Sementara menunggu jawapan keluar dari mulutnya, saya utarakan lagi banyak soalan-soalan dalam bentuk apa yang saya boleh dapat jika bersenam jalan kaki sekelilig taman.

Saya nak lihat burung berterbangan dan berkicauan. Terbang berkawan melintasi taman. Burung gembala kerbau berkejaran berkumpulan.

Sepasang burung kunyit bersihkan bulu di atas dahan. Sepasang burung merbuk sedang minum air jernih yang bertakung di hujung padang yang redup dinaungi dahan pokok.

Sepasang burung kelicap sibuk menghisap madu dari satu bunga ke satu bunga yang lain.

Saya nak lihat titisan embun yang sangat jernih. Seperti mutiara terkumpul pada setiap hujung daun dan rumput di taman.

Saya juga nak rasakan belaian angin lembut sekali sekala yang bertiup merentasi taman. Terasa pipi dingin dihembus angin sejuk di waktu pagi menyegarkan.

Bertegur sapa seorang demi seorang, jiran yang lalu samada bermotosikal atau berkereta sambil melemparkan senyuman pada semua. Berhenti sebentar bertanyakan khabar pada jiran yang lama tak kelihatan.

Panas matahari pagi tidak meyakitkan. Sekadar cahaya terang yang bersinar tanpa terasa habanya. Lagipun saya dapat tahu sinar matahari di pagi hari sebegitu dapat memberikan bekalan Vitamin D yang banyak kedalam tubuh badan saya.

Sinar matahari yang menyentuh kulit saya juga dapat membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Sinarnya bertindak sebagai insulin semula jadi.

Setiap kali berjalan kaki di luar sekeliling taman, fikiran saya akan berjalan bebas dan luas. Banyak masalah dapat saya selesaikan sepanjang saya berjalan kaki sejam setiap pagi.

Boleh tak saya dapat semua itu kalau sekadar bersenam kat dalam rumah?

Itu soalan akhir yang saya ajukan pada nyonya.

“Owh! itu macam ka?” terpancul keluar dari mulut nyonya. 

Saya angguk kan kepala padanya. Dan dia kembali tersenyum manis. Saya berlalu menuju ke rumah. Masih terfikir lagi cadangan nyonya tadi.

Semakin jelas dan yakin kenapa saya akan tetap teruskan juga aktiviti setiap pagi itu walaupun biasanya seorang diri. 

Total
21
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge