Kenapa tak bahagia dengan kerja yang kita lakukan

By | 15/04/2013

bosan dengan kerjaKenapa rasa tak bahagia dengan kerja yang sedang anda lakukan sekarang ?

Masalah besar orang moden adalah tak bahagia dengan kerja yang mereka lakukan.

Antara nasihat yang terbaik dalam hal pekerjaan yang diberikan oleh bijak pandai adalah:

“Jangan terus kekal bekerja pada pekerjaan yang anda tak suka!”

Nasihat sebegitu cukup popular di kalangan orang barat dan kini dikalangan orang asia juga termasuk kita, nampaknya sudah selesa dengan falsafah itu dan menerimanya.

Kita juga sudah biasa mendengar nasihat daripada para motivator dan lain-lain agar memilih pekerjaan yang kita suka.

Teorinya amat mudah:

“Jika anda buat apa yang anda suka, kehidupan berakhir dengan tidak ada seharipun di mana anda perlu bekerja”

Berdasarkan saranan terkenal itu maka ramailah mula berfikir samada kerja yang dilakukannya sekarang adalah pekerjaan yang dia suka.

Masalahnya adalah kebanyakan daripada kita amat jarang mengetahui dengan yakin dan terang apakah perkara atau pekerjaan yang dia suka. Kebanyakan daripada kita lebih pakar menyenaraikan segala perkara atau pekerjaan yang kita tak suka.

Bagaimana nak tahu samada kerja yang kita lakukan sekarang merupakan pekerjaan yang kita suka? antara petua mudah adalah dengan menjawab soalan di bawah:

“adakah setiap kali anda bangun pagi, anda rasa tak sabar untuk bersiap pergi kerja?”

Jika jawapannya adalah ‘Ya!’, bermakna anda sedang melakukan kerja yang anda suka.

Sebaliknya jika jawapannya adalah ‘Tidak!’, ini mungkin bermakna anda tak suka dengan kerja yang anda lakukan sekarang.

Perhatikan jika anda rasa tak selesa untuk pergi kerja setiap pagi, carilah apa sebenarnya masalah yang sedang dihadapi.

Berdasarkan pengalaman, kita rasa tak seronok pergi kerja bukan berpunca daripada kerja yang sedang dilakukan, tetapi disebabkan oleh berbagai masalah lain seperti:

  • Kerja terlalu banyak dan anda tidak mampu melaksanakannya disebabkan tahap keupayaan yang rendah atau tidak cekap.
  • Mempunyai masalah komunikasi dengan boss atau atau rakan setugas. Sedangkan anda tak dapat mengelakkan diri dari bekerjasama atau berinteraksi dengan mereka setiap kali melaksanakan tugas.
  • Mempunyai masalah perhubungan romantik dengan rakan sekerja. Bercinta atau jatuh hati dengan rakan sekerja memang seronok jika semuanya berjalan lancar. Tapi bila timbul masalah seperti cinta anda dikhianati atau seumpamanya, ia amat meyusahkan kehidupan.
  • Prestasi anda tidak bagus. Mungkin anda kerja dalam bidang jualan dan sasaran yang telah ditetapkan tidak dapat dicapai.
  • Tak tahu apa sebenarnya tugas anda. Ini merupakan masalah besar sebahagian pekerja yang kebingungan. Apabila tak tahu apa skop pekerjaan, tak boleh merancang perjalanan harian, apatah lagi merancang untuk menjadi lebih cekap!.

Mungkin ada berbagai sebab lain yang kesemuanya hanya menjurus kepada masalah diri sendiri dan bukanlah masalah kerja yang sedang dilakukan.

Jika kita lihat dengan baik-baik, kebanyakan masalah tak seronok di tempat kerja boleh di atasi jika kita berfikiran terbuka dan bersedia menyelesaikan masalah sebenar yang sedang dihadapi.

Untuk selesaikannya anda perlu berhadapan dengan siapa saja untuk berbincang dan meleraikan kekusutan yang sedang dihadapi. Sikap paling mudah dan ringkas untuk meleraikan segala kekusutan tersebut adalah dengan berterus terang tanpa rasa malu.

Jangan fikirkan kesan atau akibatnya jika anda berterus terang. Jika anda diketawakanpun, ketawaan berdekah-dekah pada kita tidak akan membawa kepada kematian seandainya kita turut sama ketawa berdekah-dekah sambil menudingkan jari pada mereka.

Tak bahagia itu pilihan sendiri

Secara dasarnya, apa saja pekerjaan yang kita dapat lakukan dengan baik dan cemerlang mampu memberikan kita kepuasan dan kegembiraan asalkan:

  • Kita tahu apa matlamat kerja yang sedang kita lakukan itu.
  • Kita dihargai oleh teman atau boss samada secara terus atau tidak terus.
  • Kita terpaksa berusaha sedikit untuk melaksanakan segala pekerjaan kita. Kerja yang tidak ada usaha biasanya membuatkan ianya menjadi tidak bermakna.
  • Pendapatan yang dibawa pulang cukup untuk menyara kehidupan kita dan keluarga serta tanggungan ala kadar. Pastikan kita sentiasa berbelanja kurang sedikit daripada pendapatan yang kita bawa pulang.
  • Kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Tak perlu membandingkan dengan orang sekeliling dan tak perlu ada lebih berbanding orang lain untuk membuatkan kita gembira.
  • Kerja sebaik mungkin dan janganlah paksa diri untuk kerja kuat semata-mata untuk membolehkan anda memiliki apa yang anda tidak mampu milikinya sekarang. Relaks dan fokus pada situasi sekarang dan berbelanja berdasarkan apa yang kita ada dan bukannya bekerja berdasarkan apa yang kita belum ada.

Namun untuk mendapatkan kepuasan yang lebih hebat dan tak perlu kecut perut rasa tak cekap, rasa tak dapat buat kerja dengan baik atau rasa boss akan marah dan sebagainya, anda boleh berhenti kerja dan berniaga.

Disamping itu, amalkan konsep yang saya seperti yang telah disenaraikan di atas dengan istiqamah. Insyallah anda akan rasa bahagia.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge