Tahukah anda tentang kesan berganda yang boleh anda dapat apabila sesuatu usaha itu dilakukan secara istiqamah ?

Kesan berganda ini saya gunakan sebagai gantian daripada perkataan ‘Compounding effect’ dalam Bahasa Inggeris.

Puas saya cari dalam google perkataan yang sesuai untuk digunakan dalam bahasa melayu, tapi nampaknya, perkataan berganda adalah yang paling sesuai.

Maksud kesan berganda

Ada orang kata, kononnya Albert Einstein pernah sebut yang Law of Compounding merupakan perkara ajaib nombor lapan kat dunia ni. Entah betul atau tidak, dia sebut macam tu saya tak pasti.

Tapi kalau betul, Einstein percaya fenomena berganda itu merupakan salah satu hukum alam. Sebab itu dia sebut Law of Compounding.

Salah satu dari contoh kesan berganda adalah hasil nombor yang diganda dua secara berterusan. Katakan anda ada RM1 digandakan dengan 2, akan menghasilkan RM2. Kemudian diteruskan lagi gandaan akan menjadi RM4. Seterusnya meningkat kepada RM8, RM16, RM32, RM64 dan begitulah seterusnya.

Cuba bayangkan duit anda yang RM1 itu digandakan berterusan setiap minggu dalam tempoh setahun. Pada minggu pertama anda hanya ada RM1, masuk minggu kedua jadi RM2, minggu ke-3 dah jadi RM4.. nak mudah tengok kita susun sebaris kat bawah ni;

RM1 – minggu pertama

RM2 – minggu ke 2

RM4 – minggu ke 3

RM8

RM16

RM32

RM64 – minggu ke 7

…..

RM33,554,432 – minggu ke 26

Cuba lihat hasil gandaan wang anda bila masuh baru setengah tahun, dah jadi lebih dari RM33 juta !!!.

Anda boleh kira sendiri nanti untuk habiskan tempoh setahun yang ada 52 minggu. Jumlahnya lebih dari cukup untuk anda jadi orang paling kaya kat Malaysia !.

Kesan berganda eksponen

Satu lagi perkara yang menarik tentang kesan berganda ini kalau anda masih ingat adalah dalam bab eksponen yang kita belajar ketika sekolah dahulu.

Bagi yang tak suka matematik, jangan risau, tak payah nak buka buku ulangkaji semula apakah bendanya eksponen tu. Cukup faham apa yang nak saya cuba sampaikan saja kat sini.

Gambarajah kat bawah adalah graph persamaan eksponen yang berkadar dengan masa.

 

Saya suka sangat dengan konsep eksponen ini sebab ia banyak menerangkan pada kita tentang kewujudan kesan berganda terhadap apa saja amalan yang dilakukan secara istiqamah.

Katakan paksi x adalah masa. Jika anda teruskan apa saja aktiviti secara konsisten dan sentiasa berusaha membaiki diri dan menambahkan ilmu dan kefahaman dalam aktiviti itu, lambat lain, akan berlaku kesan eksponen terhadap segala usaha anda.

Ertinya, dalam tempoh tertentu, hasil yang anda dapat meningkat dengan amat banyak walaupun usaha yang dilakukan amat sedikit dan pantas.

Itulah kesan berganda yang saya maksudkan.

Kesan berganda pada kehidupan

Ia banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita jika anda menggunakan mata hati dalam melihat segala fenomena kehidupan.

Ia juga menjawab kenapa orang kaya menjadi teramat lebih kaya apabila mereka dah mula kaya. Ia juga menjawab kenapa orang susah semakin susah apabila mereka tidak berusaha dan asyik mengeluh tak kira tempat.

Kesan berganda ini juga berlaku pada kita semua. Contoh mudah adalah dalam urusan memandu kereta. Semakin lama kita belajar bawa kereta, semakin sedikit usaha yang diperlukan untuk mengawal kereta yang dipandu.

Berbanding ketika mula anda belajar memandu, segalanya terasa amat sukar dan mengambil masa yang lama untuk memahami teknik pemanduan.

Jangan kerap ubah haluan dalam hidup

Jika anda faham kesan berganda dalam kehidupan ini, anda tidak akan mudah-mudah untuk ubah haluan hidup.

Bagi usahawan pula, anda tidak akan mudah-mudah nak ubah perniagaan dari satu perniagaan ke satu perniagaan.

Kesannya amat meletihkan ! dan anda akan buang terlalu banyak masa sampai akhirnya tersedar diri dah terlalu tua dan menghampiri saat kematian. Itulah kes buang masa yang tak patut berlaku pada orang yang nak berjaya dalam hidupnya.

Bila anda ubah haluan setiap kali berlaku masalah, anda terpaksa mula semula. Lihat graph awal pada persamaan eksponen di atas. Masa yang lama atau usaha yang amat keras diperlukan setiap kali anda mulakan sesuatu.

Belum sempat nak masuk lonjakan anda dah putus asa dan mula ubah haluan.

Jika anda bersabar, istiqamah dan terus perbaiki diri dan belajar, kesan eksponen akan berlaku dan anda akan mula nikmati fenomena pareto dalam kehidupan. Fenomena buat kerja sikit tapi hasil yang dikecapi amat banyak.

Lumrah kehidupan memang begitu.

Pada saat mula anda mencuba sesuatu, berlaku fenomena pareto juga, tapi dalam keadaan terbalik. Anda terpaksa curahkan usaha dan masa yang banyak untuk mendapat hasil yang sedikit.

Kemudian anda teruskan juga, belajar dan belajar perbaiki diri. Sehinggalah sampai titik berganda di mana berlaku fenomena pareto juga yang menjadi idaman semua orang. Buat kerja sikit tapi dapat hasil banyak.

Oleh itu, dengarlah cadangan saya ini.

Jangan kerap ubah haluan. Buat sesuatu secara sederhana supaya anda kekal ada momentum untuk berterusan.

Sabar dan teruskan usaha sehingga berlaku kesan berganda. Ketika itu, anda akan mula tersenyum dan ramai orang berkeinginan nak jadi macam anda. Insyaallah.

Saya tak pasti samada anda faham atau tidak apa yang saya cuba sampaikan kat sini. Dah puas saya cuba ringkaskan segala perkataan dan ayat supaya anda semua faham.

Dan paling penting untuk diri saya sendiri adalah sentiasa ingatkan diri untuk bersabar dan istiqamah dalam mengamalkan apa yang saya kongsikan kat sini.

Selamat beramal !

Total
29
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge