Masuk 5 tahun blog Hidupringkas, Selamat Tahun Baru !

By | 31/12/2016

Sedar tak sedar dah masuk 5 tahun usia blog hidupringkas ini.

Saya mula buat dan menulis artikel di blog hidupringkas.com ini pada bulan Januari tahun 2012. Ia dimulakan dengan menggunakan platform blogspot pada masa itu. Kemudiannya dipindahkan ke wordpress yang punya lebih banyak fungsi pilihan yang menarik.

Masa mula tulis dahulu, tak ada orang yang kenal blog ini. Saya buat blog ini antaranya, sebab dah mula bosan dengan blog-blog yang berorientasikan politik yang ada banyak kat dunia cyber ketika itu.

Kawan-kawan yang mengenali saya agak sangsi samada akan ada pembaca yang sanggup nak baca tulisan berat tentang kehidupan dan perniagaan macam ni. Saya juga rasa mereka betul ketika itu. Tapi bagi saya, ketika itu, saya hanya sasarkan untuk mencapai 10 orang pembaca sahaja yang suka blog ini.

10 orang sudah mencukupi.

Sebagai permulaan saya perlu pastikan sekurang-kurangnya ada seorang pembaca yang benar-benar suka dengan apa yang saya kongsikan. Untuk itu, saya perlu pastikan semua tulisan adalah menarik dan memberikan sumber inspirasi dan mendatangkan manfaat pada orang yang membacanya.

Ternyata sasaran untuk mulakan dengan menarik hanya seorang sahaja pembaca, dengan harapan seorang itu akan membawa 9 lagi pembaca baru, berjaya juga di capai dalam masa yang agak singkat. Alhamdulillah !.

Setelah masuk 5 tahun, blog ini punya agak ramai pembaca tetap. Jumlah pembaca baru juga sentiasa ada dari masa ke masa.

Dari blog ini juga saya tubuhkan Group Kelab Usahawan Hidupringkas di Facebook. Setakat hari ini dah ada seramai 10,532 ahli ang sertainya. Satu angka yang agak besar juga untuk satu usaha mengumpulkan mereka yang berniaga dan yang minat pada dunia keusahawanan.

Anda juga boleh turut serta masuk Kelab Usahawan HR jika berminat. Mohon untk jadi ahli, sebab ianya adalah Group Tertutup. Insyaallah akan diluluskan segera. Kita berkomunikasi kat situ dan bukannya buat iklan jual barang.

Dari blog ini juga saya mula usahakan kursus pendek keusahawanan yang juga berkonsepkan ringkas tapi berkesan. Ia khas untuk para usahawan yang baru. Juga untuk usahawan lama yang tenha hilang punca nak menguruskan perniagaan mereka.

Dari blog ini juga saya berjaya melatih lebih seribu usahawan di seluruh Malaysia secara bimbingan empat mata untuk mantapkan perniagaan mereka.

Dari blog ini juga saya berjaya usahakan perjumpaan bulanan dalam kumpulan kecil sesama usahawan untuk berkenalan dan membina jaringan.

Semuanya dapat dilakukan dalam masa 5 tahun. Walaupun ambil masa yang agak lama, ia tetap satu kejayaan yang dapat memberikan kepuasan dalam hidup saya. Alhamdulillah !.

Istiqamah dan sabar sentiasa mendatangkan hasil

Walau apapun yang kita sasarkan, ia mampu dicapai seandainya sanggup bersabar dan istiqamah buat kerja. Tidak semestinya kerja keras, kerja tak berapa keraspun masih ok. Yang pentingnya adalah istiqamah.

Hanya orang yang mampu bersabar sahaja yang mampu mengadakan tabiat beristiqamah ini.

Kebanyakan orang yang gagal mendapatkan apa yang dia sasarkan adalah disebabkan oleh masalah tidak ada kesabaran dalam beristiqamah. Mungkin ada banyak halangan yang membuatkan mereka tidak istiqamah.

Ada halangan adalah disebabkan oleh faktor luaran yang tiada dalam keupayaan kawalan kita. Dan ada juga halangan adalah dari faktor dalaman yang kita boleh kawal jika ada keazaman yang kuat.

Saya yakin tabiat istiqamah dalam apa saja urusan yang kita lakukan boleh dipelajari dan dibentuk dalam diri semua orang. Orang yang nak berjaya mencapai sasarannya mestilah terlebih dahulu membentuk sifat istiqamah ini di dalam dirinya.

Latih diri supaya ada sifat istiqamah

Jika anda ada masalah dalam mengadakan sifat istiqamah ini dalam diri, eloklah jadikan tahun baru 2017 sebagai satu permulaan baru.

Sasarkan untuk menjadikan istiqamah sebagai tabiat yang sebati dalam diri anda. Caranya mudah sahaja dan semua orang boleh lakukannya. Berikut saya berikan beberapa langkah mudah untuk anda bina sifat istiqamah dalam diri.

  1. Cari satu aktiviti baru yang anda teringin nak buat. Mulakan dengan mencari satu aktiviti baru yang anda teringin nak buat selama ini dan sampai sekarang masih tak buat. Ia mungkin satu aktiviti yang merupakan hobi anda bila ada masa lapang sebelum ini tapi tidak dilakukan secara konsisten.
  2. Jangan cari perkara susah. Pastikan hobi atau aktiviti tersebut adalah mudah dan tidak makan masa yang lama untuk melakukannya. Paling lamapun mungkin satu jam sahaja. Lagi pendek lagi bagus.
  3. Tetapkan amalan secara mingguan. Bila dah kenal pasti aktiviti, buat sasaran untuk mengamalkan aktiviti tersebut berdasarkan kekerapan secara mingguan. Sekali lagi perlu ingat, jangan buat sasaran kekerapan yang berat dan menyusahkan. Mungkin hanya sekali dalam tempoh satu minggu sudah mencukupi.
  4. Senarai semua aktiviti berkaitan. Buat senarai apa saja aktiviti berkaitan dengan aktiviti yang anda dah tetapkan di atas tadi. Itu sebagai panduan pilihan tindakan yang anda boleh buat sebagai memenuhi syarat anda telah melakukan aktiviti tersebut seminggu sekali.
  5. Cari kumpulan rakan yang sama. Bila dah ada aktiviti pilihan, pastikan anda cari beberapa orang rakan yang ingin melakukan aktiviti yang sama. Anda perlu rakan yang sama sebegitu untuk menjadi kumpulan pendorong. Jika tidak dapat melakukan aktiviti secara berkumpulanpun, sekurang-kurangnya anda ada teman untuk laporkan perkembangan aktiviti anda pada mereka. Anda juga dapat membantu menjadi pendengar yang baik bila mereka nak laporkan perkembangan mereka pula.
  6. Berterusan sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Bila dah kenal pasti kesemua yang saya garskan kat atas tadi, mula amalkannya secara berkekalan dalam tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun.

Mudah saja kan ?

Pilihlah satu aktiviti yang anda rasa mudah dan baik untuk diri anda. Apa saja aktiviti yang tidak dilarang samada dari segi undang-undang mahupun budaya atau agama, boleh dilakukan.

Kita hanya sasarkan nak tanam tabiat istiqamah sahaja dalam diri. Itu yang paling penting. Sebab istiqamah itu adalah punca segala kejayaan, jadi perlu ada dalam diri semua orang yang nak berjaya mencapai sasarannya.

Anda boleh pilih membaca, fotografi, melukis, cuci tandas surau, kutip sampah keliling kampung, berjumpa kenalan baru, ziarah kawan lama, ziarah kawan ibu atau bapa, tulis blog, baca Quran atau terjemahannya, belajar bahasa baru, latihan seni pertahankan diri, bersenam, berkebun, dan seribu satu macam lagi aktiviti yang baik dan mudah.

Terima kasih kepada semua pembaca

Di kesempatan ini, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih pada mereka yang sudi membaca blog ini samada secara tetap mahupun hanya sekali.

Terima kasih juga yang tidak terhingga terutamanya pada mereka yang sudi berikan komen pada artikel yang saya kongsikan di blog ini. Dengan komen anda itu, ia amat membantu menjadikan blog ini sebagai pilihan utama enjin pencarian google. Lagi banyak komen, lagi berpotensi untuk membantu blog ini menjadi popular.

Terima kasih juga pada mereka yang sudi copy dan paste mana-mana artikel di blog ini untuk disiarkan samada dalam ruangan forum atau blog peribadi mereka tanpa terlupa memberikan kredit dan pautan pada blog hidup ringkas ini. Ini juga membantu menjadikan blog ini popular kepada Google.

Akhir sekali, saya ucapkan,

SELAMAT TAHUN BARU 2017 !

 

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

3 thoughts on “Masuk 5 tahun blog Hidupringkas, Selamat Tahun Baru !

  1. Mohamad Sukri

    Tahniah tuan Subhi anda telah berjaya dalam bidang anda ceburi,kami kawan-kawan amat bangga mengkagumi kejayaan tuan…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge