Siapa yang tak mahu sebuah kehidupan yang lebih baik daripada apa yang dia ada sekarang ?

Jika ditanya soalan tersebut pada semua orang, tentu semua akan mengiyakannya. Cuma jika ditanya lebih lanjut lagi, apa yang dia maksudkan terhadap sebuah ‘kehidupan yang lebih baik’ itu, mungkin ada ramai yang akan terfikir sejenak.

Jika anda sedang terfikir sekarang, jawapan yang sama terhadap soalan itu, jangan risau. Memang ramai orang tidak cuba luangkan masa sejenak untuk fikirkan tentang kehidupannya secara serius. Kehidupan macam mana yang dia rasakan sebagai sebuah kehidupan yang lebih baik daripada sekarang.

Kenapa perlu merancang kehidupan yang lebih baik

Bila masa tidak diperuntukkan untuk menetapkan sasaran terhadap kehidupan diri kita, maka kita biasanya hidup seperti kayu kering yang terapung atas air sungai. Daya arus yang menentukan pergerakannya dan keadaan sekeliling yang berikan perubahan pada kedudukannya. Bila ada halangan, kayu tersekat, bila datang arus kuat, dia terlepas hanyut semual meneruskan perjalanan.

Anda juga mungkin jadi begitu secara tidak sedar. Bila keputusan tidak dibuat untuk jadi macam mana dan untuk buat apa supaya jadi sebagaimana yang anda mahukan, maka semua orang lain sekeliling anda akan tentukan pergerakan anda selanjutnya.

Mungkin anda tak berapa setuju ?

Cuba fikirkan contoh ini. Katakan anda lalui satu hari cuti tanpa tentukan nak buat apa. Bangun pagi seperti biasa, anda masih tak tentukan nak buat apa. Buka TV dan lepak tengok ada program apa. Kemudian telefon berdering, lalu dengan cepat anda angkat.

Kawan rapat ajak pergi minum pagi dan melepak kat kedai mamak. Tanpa perlu fikir, dan lagipun anda masih tidak sarapan, terus saja bersetuju dan bersiap untuk keluar. Tengah minum, isteri pula telefon, ajak pergi rumah kakaknya, anda selesaikan minum dengan kawan dan bergegas pulang. Dan begitulah seterusnya, pergerakan anda akan ditentukan berdasarkan dorongan semua orang kecuali anda sendiri.

Cuba bayangkan pula kalau anda dah tetapkan apa nak dilaksanakan pada hari cuti tersebut. Anda dah buat perancangannya secara rapi dan mula melaksanakan sebaik saja bangun dari tidur lagi. Ketika buat bersediaan itu, tiba-tiba telefon berdering. Kawan ajak minum dan lepak, anda dengan yakin akan menolaknya sebab dah ada perancangan lain yang ditentukan sejak awal lagi.

Ada perbezaan tak ?

Sudah tentu ada perbezaan yang banyak. Kes pertama anda tak buat penentuan (atau anda sengaja mahu biarkan bebas begitu membiarkan perkara spontan menentukan pergerakan), akan ada saja orang lain yang tolong tentukan.

Kes kedua anda dah tetapkan dengan tegas nak buat apa dan apa saja perkara yang boleh menghalang perancangan anda dari dilaksanakan, sudah tentu anda dengan tegas dan yakin juga akan menolaknya.

Jadi, merancanglah !

Tentukan kehidupan bagaimana yang anda mahu. Anda perlu mulakan dengan meluangkan sedikit masa yang serius, bagi memikirkan sebuah kehidupan yang anda mahu bermula dari sekarang. Senaraikan satu persatu-satu dan berikan tempoh masa untuk anda mencapainya.

Apa yang anda mahu dapatkan

Anda mungkin dah pernah dengar dari ramai penceramah motivasi kat luar sana tentang ramai orang yang tidak jelas dengan apa yang dia mahu.

Tetapi jika ditanya soalan terbalik, apa yang anda tak mahu, mungkin jawapan yang banyak akan mampu diberikan dalam masa yang pantas.

Begitulah !, ramai jeas dengan apa yang dia tak mahu, tapi dia tidak berapa jelas dengan apa yang dia mahu.

Andaian kebanyakan orang, apa ang dia mahu sudah tentu adalah lawan kepada apa yang dia tak mahu. Kalau dia tak mahu susah tak ada duit, maka lawannya adalah dia mahukan kesenangan dan banyak duit dalam bank.

Tapi malangnya otak tidak ada gambaran yang serupa sebagai mana perbualan kia secara biasa. Otak bukan berkerja secara teks atau kata-kata. Otak lebih peka terhadap imbasan. Kalau saya kata jangan bayangkan bendera Malaysia, sudah pasti gambaran yang amat jelas dalam pemikiran anda adalah rupa gambar Malaysia itu.

Umumnya otak akan bayangkan lawan daripada kata-kata yang diarahkan. Tidak ada bayangan lawan dalam cara berkerja otak kita. Tetapi jika saya kata bayangkan imej bendera Pas pada anda, dengan jelas bayangan bendera Pas akan keluar dalam pemikiran anda.

Maka segeralah fikirkan apa yang anda mahu dan mula buat senarainya satu persatu. Lupakan dahulu apa yang anda tak mahu sebab otak tak boleh buat kerja macam tu dengan cekap.

Jadi jawab soalan kehidupan macam mana yang anda mahu sekarang. Kemudian mula buat perancangan macam mana nak dapatkannya.

Pastikan kehidupan yang seimbang

Bagi saya, kehidupan yang lebih baik perlu ada unsur-unsur sebuah kehidupan yang seimbang. Ada kaitan terhadap diri kita sendiri, kaitan antara kita dengan Pencipta, kaitan antara kita dengan alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuhan, dan juga antara kita dengan sesama manusia

Ada orang yang mengejar kekayaan. Dia habiskan kebanyakan daripada masanya untuk kejar kekayaan dan kemahsyuran. Tapi malangnya dia abaikan terus kesihatan secara yang amat teruk. Tidur tak cukup dan tak menentu, makan berlebihan ikut nafsu, tidak bersenam, tidak tenangkan fikiran, badan gemuk berlebihan, nafas semput dan macam-macam lagi. Tapi duitnya banyak…. berbaloikah ?

Memandangkan sekarang dah bulan December, sesuai sangat untuk anda buat muhasabah diri secara serius untuk memikirkan kehidupan yang lebih baik yang anda perlu rangka bermula dari sekarang.

Mungkin itu boleh dijadikan azam tahun baru terakhir untuk anda. Sebab selepas ini, ia akan menjadi satu pelan perlaksanaan berterusan yang tidak akan habis bulan demi bulan dan tahun demi tahun.

Untuk memulakan perancangan tersebut, saya syorkan bermula dari sekarang, gunakan diari atau buku catitan aktiviti harian. Kalau anda jenis yang tak suka menulis, lebih selesa menggunakan telefon pintar, gunakan Apps yang bersesuain untuk mencatit perkembangan harian.

Mencatit secara harian merupakan satu permulaan yang amat baik untuk menuju sebuah kehidupan yang lebih baik. Nanti kita lihat pula bagaimana menggunakan buku catitan harian secara berkesan untuk membuat perubahan dalam kehidupan.

Total
24
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge