Rumah berterabur kepala semak berserabut. Itu gambaran apa yang berlaku kalau rumah tempat anda tinggal tidak dikemas dan diuruskan dengan baik.

Anda bantu dunia ini jadi tempat yang lebih baik sekiranya rumah yang anda duduk sekarang jadi tempat tinggal yang baik.

Pernah dengar nama Jordan Peterson?

Beliau merupakan penulis kepada buku yang terkenal ’12 Rules for Life – An antidote for chaos’. Dari buku tu punya tajuk saja dah boleh agak ianya berkisar tentang isu apa.

Jordan Peterson ni saya rasa sangat fokus kepada usaha perbetulkan diri sendiri. Kalau anda berusaha disiplinkan diri, betulkan cara berfikir, betulkan cara hidup, jadi orang yang lebih baik. Uruskan tubuh badan dan tempat tinggal anda sendiri supaya jadi lebih baik, secara automatik, anda menyumbang kearah dunia yang lebih baik.

Antara pandangannya yang saya sangat termakan adalah tentang nasihat untuk berhati-hati kepada mereka yang menggelarkan diri sebagai pejuang kesejahteraan dunia. Contohnya seperti aktivis yang sangat vokal terhadap alam sekitar umpamanya.

Sebelum nak kadi pengikut tegar mereka itu dengar apa nasita ni dulu.

Kata Jordan Peterson, ‘kita perlu berhati-hati kepada mereka yang menyeru dan berjuang terhadap menjadikan dunia ini lebih baik sedangkan orang itu sendiri rumahnya tak terurus berterabur seperti tongkang pecah’

Ayat tongkang pecah semua tu saya yang reka la. Dia tak kata macam tu. Tapi lebih kurang macam itulah pendapat atau amarannya kepada para pelajarnya.

Bukan nak nafikan matlamat perjuangan tu. Semua pergerakan ke arah menjadikan dunia satu tempat yang selamat, aman sejahtera adalah perjuangan yang sangat baik. Memang itu yang dianjurkan dalam Islam.

Cuma jangan terpadaya dan terikut-ikut pemimpin yang cuma ambil kesempatan. Cari makan dengan perjuangan yang dia sendiri tidak amalkan. Dia lebih fokus pada cari makan saja dan gunakan tema perjuangan itu sebagai kenderaan untuk dipacu.

Mesej yang nak disampaikan kat sini adalah, disiplinkan diri dan mulakan usaha untuk jadikan dunia ini lebih baik dari rumah tempat tinggal anda sendiri.

Susun kemas rumah sempena Covid-19

Dalam keadaan covid-19 masih tidak 100% berjaya dikawal dan dikuasai sekarang, macam-macam boleh jadi.

Selepas majoriti besar dari aktiviti ekonomi dibuka semula, tak ada jaminan tidak akan berlaku lonjakan semula kes Covid-19 nanti.

Sama-sama kita doakan rakyat Malaysia pandai jaga diri masing-masing. Dan lonjakan kes tak akan berlaku selepas aktivit ekonomi bergiat semula.

Apa yang pasti. Anda dan saya akan biasakan diri untuk duduk kat rumah lebih daripada selalu. Kalau tak ada urusan penting sangat, elok duduk saja rumah. Beli makan bungkus, bawa balik makan kat rumah dengan keluarga.

Jika dah tahu masa banyak akan habis kat rumah sekarang, elok pastikan rumah tu kemas dan tersusun. Artikel ni bertujuan untuk berikan panduan mudah dan ringkas bagaimana nak buat macam tu.

2 fokus utama rumah hidupringkas

Matlamat kemas dan susun rumah ni adalah untuk jadikan rumah anda sebagai sebuah rumah hidupringkas.

Ada 2 fokus utama yang perlu dibuat supaya tempat anda tinggal jadi rumah hidupringkas

  1. Tersusun dan teratur – Pastikan rumah itu sebuah rumah yang anda ingat dan tahu semua barang yang ada. Dan anda juga tahu kat mana semuanya tersimpan.
  2. Kurang barang luas ruang – Rumah yang mudah untuk melakukan pergerakan di setiap masa dan setiap sudut.

Macam mana nak realisasikan kedua-dua perkara tersebut di atas?

Berikut beberapa langkah yang anda perlu buat.

Semua benda dan aktiviti ada rumahnya

Ini konsep paling penting yang perlu anda patuhi. Contohnya kunci rumah. Adakan satu tempat untuk kunci rumah anda tu.

Jika anda ada banyak jenis kunci, kunci kereta, kunci stor, kunci motosikal, kunci pejabat, kunci bangsal kebun, kunci tandas, kunci rumah kedua dan sebagainya. Maka perlu diadakan satu tempat kunci khas yang terhimpun dan tersusun kesemua kunci tersebut.

Jangan bubuh merata. Jangan main campak atas meja. Jangan selit kat paku pintu. Jangan zip dalam beg tangan. Jangan lepas masuk dalam poket seluar.

Itu contoh kunci saja. Aplikasikan pada semua benda yang ada kat rumah anda sekarang. Sediakan satu tempat khas untuk setiap benda yang ada.

Selain dari barang, aktiviti juga perlu buat sama macam tu juga. Satu aktiviti satu tempat. Jangan dicampur adukkan berbagai aktiviti pada satu tempat yang sama.

Saya belajar perkara menarik ini dalam buku Atomic Habits. Buku itu ditulis untuk kongsikan pengalaman penulis dalam usaha membentuk tabiat yang baik dan membuang tabiat yang buruk.

Ada kelebihannya jika anda khaskan aktiviti penting kehidupan anda pada satu tempat. Saya bagi satu contoh mudah. Aktiviti rehatkan diri, tidur.

Pastikan anda jangan campur adukkan katil, tempat tidur itu dengan aktiviti selain dari tidur. Bila buat macam itu, anda bina tabiat yang baik untuk berikan isyarat pada otak sebaik saja anda nak tidur rehatkan diri.

Sebaik saja anda masuk bilik tidur, baring atas katil, letakkan kepala atas bantal. Anda akan terus rasa mengantuk. Sebab otak mendapat isyarat itu tempat tidur. Sebab kebiasaannya bila anda masuk duduk baring kat situ anda nak tidur.

Itu buatkan anda mudah tidur dan dapat tidur dengan nyenyak.

Jika anda campur adukkan tidur dengan baca buku dengan layari smart phone dan makan dan minum atas katil tempat tidur tu. Anda tidak membina satu keadaan yang jelas untuk tabiat mudah tidur. Kat satu tempat saja macam-macam boleh berlaku. Jadi otak tak dapat tune dengan tepat dan jelas.

Kalau nak bna tabiat membaca pula, adakan tempat khas, meja atau kerusi atau sofa khas untuk aktiviti membaca. Biarlah tempat itu sangat selesa dan nyaman. Jadi bila anda ambil buku dan duduk situ, terus minda terfokus dengan mudah untuk faham apa yang sedang dibaca.

Bukan saja dapat bantu anda fokus. Malah setiap kali anda duduk di situ saja, tangan akan secara automatik capai buku buka dan baca. Lama kelamaan, anda hanya perlu pergi duduk kat situ saja untuk mula membaca.

Sama juga dengan bersenam. Satu tempat khas untuk aktiviti itu.

Juga lain-lain aktiviti seperti amalan keagamaan contohnya. Jika anda pengamal tarikat, adakan satu tempat khas untuk wirid amalan tarikat anda itu. Jangan dicampur adukkan dengan aktivit lain di satu tempat yang sama.

Enggang sama enggang, pipit sama pipit

Macam saya tulis kat atas tadi kisah kunci yang berbagai. Kumpulkan dan adakan satu tempat khas untuk semua kunci.

Untuk saya sendiri kat rumah, ada satu mangkuk besar diperbuat dari kayu jati. Saya letakkan mangkuk tu atas meja dinding panjang tak jauh dari pintu masuk rumah. Semua kunci ada dalam tu.

Jangan pula campur adukkan segala benda mak nenek dalam tu. Jangan campak skru drebar, jangan letak pemotong kuku, jangan bubuh tukul dan sebagainya dalam tu.

Semua barang ada tempatnya dan barang sama jenis perlu dikumpulkan sesama jenisnya.

Barang pertukangan mesti dikumpulkan sesama mereka. Adakan tempat khas untuk barang tukang tu. Kalau ada banyak sangat, kena sediakan tempat yang mencukupi.

Pakaian pun sama juga.

Seluar susun sama seluar. Baju sama baju. T-shirt sama T-shirt. Round neck sama round neck. Kemeja sama kemeja. Cerah sama cerah dan gelap sama gelap. Begitulah seterusnya. Agar semunya seiring, selari dan sekata.

Kasut sama kasut. Kasut sukan sesama yang sukan dan kasut sandal sesama sandal dan kasut kulit sesama kulit.

Dengan berbuat demikian, anda menuju ke arah tahu semua benda yang anda ada. Dan anda juga mampu pergi ambil bila saja diperlukan. Tak akan terhegeh-hegeh nak cari dan cuba ingat sampai pening kepala.

Satu barang masuk, satu mesti keluar

Dua aktiviti kat atas tu dah selesaikan semua urusan susun dan atur barang dalam rumah anda. Sediakan semua tempat untuk semua barang mencukupi kemas dan tersusun rapi.

Pastikan semuanya ngam-ngam. Tak lebih dan tak kurang. Tak sempit dan tak berlebihan ruang.

Kenapa perlu buat macam itu?

Sebab nak mula amalkan disiplin masuk satu barang baru, kena keluar satu barang lama.

Contohnya kotak simpanan baju t-shirt anda. Jika anda dah terlanjur pergi beli sehelai lagi baju t-shirt baru, masa nak simpan anda terpaksa keluarkan satu t-shirt yang lama. Tak kisah nak hadiahkan, nak jadikan kain buruk atau apa saja.

Yang pentingnya, setiap kali anda nak masukkan satu item baru ke tempat khasnya, kena keluarkan satu item yang lama.

Anda akan disiplinkan diri dari main beli ikut suka nafsu saja. Nak beli boleh, perlu ingat dalam kepala kat mana barang ketagori tersebut disimpan, mana satu yang lama nak dikeluarkan. Pergi tengok dulu dan fikirkan.

Sama juga pada kasut, atau apa saja barang lain. Jika barang dah rosak, keluarkan dari tempat simpanan dan buang atau recycle. Jangan nak buat simpan kenangan nostalgia dan sebagainya kononnya itulah kasut pertama sukan anda. Semakkan dada saja.

Selfie saja dengan barang lusuh nak buang itu. Simpan gambar tu dalam gmail. Lepas tu pergi campak. Habis cerita. Kenangan dan gambar selfie anda tu akan kekal kat situ insyaallah.

Semua amalan di atas akan berjaya susunkan semua barang anda dan paling penting, anda akan jadi susah nak tambah barang baru sesuka hati.

Uruskan segala surat dan dokumen

Dalam zaman sekarangpun anda masih akan terima surat dan dokumen. Bil utiliti juga masih banyak yang pakai kertas lagi.

Jadi sediakan satu tempat khas untuk semua surat menyurat dan segala dokumen itu. Bila terima buka terus dan buat apa yang perlu. Jangan campak dokumen atau surat yang anda dah buka pada tempat simpanannya.

Yang dah di buka mesti diikuti dengan langkah seterusnya. Samada buang atau masukkan dalam file jika perlu simpan. Jangan biar bertimbun tanpa buat sesuatu. Pastikan setiap minggu, peruntukkan masa untuk buka semak dan selesaikan semua dokumen tersebut.

OK! dah siap!

Apa macam?

Mudah dan ringkas sajakan urusan nak jadikan rumah hidupringkas. Saya yakin anda dapat amalkan selalu. Barangkali anda memang dah laksanakan kesemua idea di atas dengan baik selama ini. Cuma perlu dibaiki sedikit sebanyak dari konsep yang saya kongsikan kat atas tadi.

Selamat berpuasa dan susun kemas rumah anda. Lepas ni boleh buat amalan yang sama untuk pejabat anda pulak.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge