Kalau anda pergi ke Timpohon Gate di kaki gunung kinabalu, ada satu tapak yang dibina khas untuk pelawat melihat pemandangan indah ke bawah.

Dari atas tapak meninjau itu, kelihatan pemandangan yang sangat indah gunung ganang saujana mata memandang di hadapan anda. Puncak-puncak bukit tersusun panjang satu demi satu. Contras warna hijau kebiruan itu memang amat mendamaikan jiwa yang memandangnya.

Saya dah sampai kat situ. Naik ke atas tapak tersebut dan merenung pemandangan di depan mata. Ketika saya duduk merenung pemandangan tersebut, saya terus teringat kata-kata Nelson Mandela. Katanya lebih kurang begini ..

“Saya habiskan seluruh hidup untuk berusaha mendaki gunung sehingga ke puncaknya. Akhirnya saya sampai juga ke atas. Di situ saya dapat lihat dengan lebih jelas … ada lebih banyak gunung yang perlu di daki ..”

Bila anda berada di atas, itu bukanlah penanda perjalanan anda sudah tamat. Malah ia hanya baru bermula, apabila anda baru ketahui bahawa rupa-rupanya masih ada banyak lagi gunung yang anda perlu daki. Masa dok ada kat bawah, hanya nampak satu gunung saja. Ingat kalau dapat naik ke atas tu, dah tentu berjaya. Rupanya tak …

Gambaran yang jelas dilihat oleh seorang pemimpin yang hebat yang dah lalui liku-liku kehidupan.

Kalau ada kesempatan, luangkan masa sekejap untuk ke situ.

Nak masuk ke situ seeloknya pergi naik dengan kenderaan. Kalau nak jalan kaki ke check point tersebut, memang sangat mencabar. Tapi jika anda seorang yang degil, boleh saja jalan kaki.

Katakan anda gagahkan juga berjalan kaki dan pergi ke check point itu perlahan-lahan.

Kalau masuk ketika waktu dah petang, sebaik saja anda sampai ke check point tersebut, suasana sudah tentu dan jadi gelap gelita.

Bila sampai dalam keadaan gelap itu, anda boleh juga naik ke tapak meninjau yang saya katakan tadi. Tapi sudah tentu tak akan ada apa-apa pemandangan indah yang cuba saya gambarkan seperti kat atas.

Ketika malam gelap duduk kat atas itu semuanya pemandangan yang ada hanyalah kegelapan. Tak ada satu bendapun yang anda boleh lihat.

Dalam keadaan itu, anda boleh pilih 2 rumusan.

Pertama, oleh kerana anda tak nampak apa-apapun masa itu, maka apa yang orang kata ada satu pendangan indah di bawah sana adalah satu pembohongan. Anda patah balik dan yakin bahawa tidak wujud pemandangan indah itu. Cerita habis kat semua orang pengalaman anda dah sampai ke sana dan tiada view yang dikatakan.

Atau anda percaya, pemandangan itu sebenarnya ada. Cuma perlu tunggu sebentar. Rehat dan bermalam kat atas tu. Bila subuh nanti, anda akan mula nampak satu pemdangan yang sangat indah. Jika anda tunggu, maka rezki untuk lihat pemandangan tersebut akan menjelma.

Pilihan yang kedua itulah yang paling betul.

Jika anda tidak dapat lihat, sesuatu yang dikatakan ada, itu buken bermakna ianya tidak wujud. Cuma masanya belum tiba. Masa yang sesuai untuk membolehkan anda nampak perkara tersebut masih belum tiba.

Jangan terus tak percaya kalau tak nampak

Kenapa saya tergerak untuk tulis pasal tajuk ini?

Sebab nak lepaskan rasa marah yang terbuku dalam hati setiap kali saya berhadapan dengan orang yang tak nampak apa yang saya nampak.

Sejak terjebak dengan urusan berceramah dan membimbing orang berniaga, contohnya, saya sentiasa cuba kongsikan kesemua perkara asas yang setiap usahawan perlu buat kalau nak majukan perniagaan mereka.

Setiap kali saya sampaikan panduan-panduan asas itu, pasti akan melayang soalan sinis bertanya samada saya pernah buat bisnes yang mereka buat.

Saya faham maksud soalan itu adalah nak bagi tahu bahawa setiap perniagaan adalah berbeza. Jadi hanya orang yang buat perniagaan yang sama saja layak untuk ajar orang lain. Contohnya dalam bab kiraan akaun.

Saya dah nampak bahawa apa saja jenis perniagaan, asas akaunnya sama saja. Mesti ada Jualan, Kos Jualan dan Kos Tetap. Dari situ anda akan dapat Untung Kasar dan Untung Bersih.

Pusinglah kot manapun, buatlah apa saja perniagaanpun, anda tak boleh elak untuk luangkan masa buat dan pantau kesemua urusan itu. Konsepnya sama saja. Cuma aktivitinya saja berbeza.

Tapi akan sentiasa saja ada ‘kutu berahaq’ yang akan cuba kata bisnes mereka tak sama.

Bila saya berhadapan dengan keadaan sebegitu, saya akan pujuk diri … dia masih tak nampak lagi. Jadi biarlah saja. Kalau dia bersedia untuk tunggu, percaya dengan nasihat saya, buat juga, hijab akan terbuka.

Pesanan buat diri saya sendiri.

Juga untuk anda yang membaca artikel ini.

Bukan dalam bab akaun saja.

Malah dalam apa saja urusan hidup.

Anda akan jumpa orang yang dah lalui perjalanan hidup berikan nasihat bahawa dengan kesabaran dan usaha, anda insyaallah akan berjaya. Walaupun anda lansung tak nampak macam mana anda boleh berjaya dalam keadaan tak ada apa-apa kelebihan.

Begitu juga bila anda ditimpa masalah yang terasa amat besar. Lansung tak nampak bagaimana anda boleh keluar dari masalah tersebut. Percayalah, selagi anda masih bernafas, insyaallah akan ada jalan keluar.

Ingat bahawa kalau anda tak nampak, perkara itu tidak semestinya tidak ada. Tunggu dan teruskan perjalanan. Tiba masanya anda akan nampak juga.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge