Sempena bulan puasa ramadan ini, izinkan saya kongsikan satu petua menarik ini untuk anda amalkan setiap kali masuknya bulan ramadan.

Bulan puasa tahun ini mencatatkan kali yang ke 51 saya menempuh pengalaman hidup di bulan puasa.

Sungguh pantas masa berlalu.

Kalau dilayan dengan kesibukan hidup mengejar masa untuk menyusun segala keserabutan hidup yang berlaku, memang anda akan hanyut sehingga ke liang kubur.

Nasib baik ada bulan ramadan.

Itu bulan istimewa yang banyak meninggalkan kenangan dalam hidup. Bulan ramadan istimewa sebab suasana menjalani ibadah puasa membuatkan anda sentiasa ingat segala kenangan. Samada pahit atau manis.

Suasana berpuasa yang berlaku serentak di mana sahaja anda berada membuatkan semua orang mampu mengikat memori yang kuat terpahat dalam sanubari. Baunya, kepanasannya, rasa mengantuknya, warna-warna yang melekat di dalam kepala, keletihan yang terasa dan banyak lagi rasa yang dapat disentuh oleh semua deria rasa yang anda ada.

Ingatan yang dirasai semula setiap kali datangnya bulan ramadan dikuatkan lagi dengan suasana yang berlaku sepanjang bulan ramadan. Bulan yang punya jadual ketat bermulanya dari terbit matahari sehingga terbenamnya matahari membuatkan segala yang berlaku mudah untuk diingati.

Setiap hari-hari yang anda lalui ada fasa-fasa ulangan yang perlu anda tempuhi. Bermula dari fasa sahur, kemudian subuh, kemudian pagi, kemudian tengahari, petang, persediaan untuk berbuka, masuknya waktu berbuka.

Selepas berbuka pula sibuk bersedia untuk ke masjid atau surau. Solat tarawih, makan moreh. Tadarus dengan kawan-kawan satu jemaah. Bagi yang masih bertenaga, sambung pula dengan minum atau sembang di kedai kopi.

Bulan ramadanlah banyak hubungan sesama manusia dikuatkan semula. Anak-anak dengan ibubapanya. Ayah dan ibu dengan saudara maranya. Dengan jiran tetangga, dengan kawan-kawan. Peniaga pula dengan pelanggan dan pembekalnya dan begitulah aktiviti silaturahim diperkukuhkan semula.

Sebab itu kehilangan orang yang kita sayang sangat terasa dibulan ramadan. Apatah lagi jika mereka pergi ketika berada di dalam bulan yang mulia itu.

Jadikan bulan puasa titik perubahan

Jika anda dapat faham apa yang saya cuba sampaikan, maka tentu anda setuju bahawa untuk membuat satu perubahan dalam hidup, maka bulan ramadan adalah tempat permulaan yang amat baik.

Anda boleh fikirkan apa saja tabiat baik yang mahu diserapkan dalam peribadi diri. Mulakannya ketika menjalani ibadah puasa di bulan puasa.

Untuk mereka yang mahu mencapai sesuatu dalam hidup terutamanya jika anda seorang usahawan, maka bulan ramadan juga merupakan satu tempat mula untuk merancang dan tanam azam yang tinggi.

Dari pengalaman saya selama menjadi usahawan, banyak azam yang ditanam dalam bulan ramadan membuahkan hasil. Malah boleh dikatakan kesemuanya bertitik tolak dari bulan ramadan.

Sebelum tibanya bulan ramadan, saya akan mula fikirkan apakah yang saya mahu ubah dalam hidup. Bila dah pasti, maka sebaik saja masuknya bulan ramadan, saya akan jadikan impian itu sebagai wirid dalam setiap doa yang saya pohon ke hadrat Tuhan.

Pernah saya blur tak tahu nak buat bisnes apa lagi yang sesuai dan menarik sebagai perniagaan baru. Lalu saya masukkan doa memohon agar Allah tunjukkan satu perniagaan yang menarik dan sesuai untuk saya bina.

Saya doa setiap kali selesai solat fardu. Tambah lagi dalam setiap selesai solat Tarawih, tambah lagi selepas selesai baca Al-Quran. Habis saja bulan ramadan datanglah peluang yang menarik dan sesuai. Lalu saya bina sampai berjaya.

Untuk anda yang masih belum amalkan mohon doa dan fokus mencari jawapan terhadap apa yang anda mahu dalam hidup, masih belum terlewat untuk amalkan petua yang saya kongsikan ini di bulan ramadan tahun ini.

Dan bermula dari tahun ini, jangan lepaskan lagi peluang yang sama untuk bulan-bulan ramadan yang akan datang. Untuk permulaan, mohon agar umur anda masih panjang agar dapat melalui satu lagi bulan ramadan di tahun yang akan datang.

Banyak berfikir di bulan ramadan

Kalau anda selalu dengar tazkirah dari alim ulama tentang ramadan, tentu anda dah fasih apa amalan yang terbaik sepanjang bulan ramadan ini.

Petua saya pula mudah untuk anda amalkan. Malah seiring dengan petua yang selalu anda dengar dalam tazkirah.

Paling asas adalah kurangkan atau lebih baik henti terus segala aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat. Dari berborak kosong lebih baik duduk seorang diri dan merenung semula perjalanan hidup anda.

Kalau nak dapatkan idea, berborak dengan kawan-kawan, biarlah terhadap perkara yang membina kefahaman hidup dan menambah pengetahuan diri untuk diamalkan.

Banyakkah berfikir ketika sedar. Biar seligat mungkin dan fokus pada urusan yang paling penting untuk dicernakan. Bila dah letih berfikir, tikur dengan nyenyak supaya otak dapat rehat dan melakukan kerjanya.

Sesemak manapun anda perah otak berfikir ketika sedar, semuanya akan membantu otak untuk menapis dan menyusun semula pemikiran anda itu untuk persediaan keesokkan harinya ketika jaga.

Begitulah prosesnya selama sebulan sehingga apabila tamatnya ramadan, anda akan dapat satu rumusan jitu dan mantap untuk dilaksanakan sehingga datangnya ramadan tahun depan pula.

Begitulah istimewanya bulan ramadan jika anda tahu menggunakannya dengan baik. Insyaallah ianya akan jadi titik tolak perubahan demi perubahan dalam kehidupan anda.

Selamat beramal …

Ikhlas dari saya,

Sibu, Sarawak.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge