Petua mudah buang tabiat buruk – cukup berkesan!

By | 12/07/2012

perangai burukSiapa yang tak ada tabiat buruk?

Kalau anda rasa tak ada lansung tabiat buruk, anda manusia sempurna dan itu tandanya anda seorang pembohong.

Jika kita mengaku bahawa salah satu daripada sifat utama kita adalah tidak sempurna, kita akan mula berpijak di bumi nyata.

Mereka yang mengaku tidak sempurna akan membuat perkara-perkara berikut:

  • Sering berdoa pada Tuhannya dan mengaku hanya Dia yang melaksanakan segala sesuatu
  • Sering memohon ampun samada sengaja atau tidak sengaja kesalahan yang dilakukannya
  • Sering menerima kesalahan orang lain dan memaafkan mereka kerana sedar anda dan mereka sama sahaja, tidak sempurna
  • Sentiasa memaafkan diri sendiri bila gagal
  • Tidak sombong
  • Kurang menipu untuk menutup ketidak sempurnaan
  • Tidak takut mencuba

Apa yang disenaraikan di atas hanya sebahagian saja dari kebaikan jika kita mengaku dan menyedari diri kita tidak sempurna.

Ok!

Jika kita dah mengaku tak sempurna, kita tentu mengaku ada menyimpan perangai atau tabiat buruk dan tentu semuanya adalah hasil daripada amalan buruk yang kita jadikan sebagai amalan rutin sehinggakan jika tidak dilakukan akan menyebabkan rasa tak puas.

Itu dalam bahasa orang putihnya mereka namakan sebagai ‘habit’.

Apa itu tabiat ?

Sesuatu itu tak akan jadi habit jika tidak dilakukan secara berulang-ulang dan konsisten.

Manusia memang jenis yang amat bergantung dengan habit. Jika kita diajar untuk makan tanah, setiap hari dipaksa dan dilakukan secara berulang-ulang, lama kelamaan tanah akan menjadi makanan kita, begitulah hebatnya kesan habit pada manusia.

Dengan membuat sesuatu secara berulang-ulang secara konsisten manusia mampu membentuk sikap atau habitnya.

Sebab itu juga kita berasa hairan kenapa orang tidak sedut sahaja asap ekzos kereta sedangkan ianya sama sahaja dengan asap rokok.

Itu berpunca daripada habit yang ditanam dengan menyalakan rokok lalu menyedutnya.

Tetapi kalau di ajar menyedut ekzoz kereta saban hari, lambat laun akan menjadi tabiat seperti merokok juga.

Jadi isi penting berkenaan habit adalah perlakuan yang dilakukan secara berulang-ulang. Jika kita berjaya memecahkan perlakuan tersebut dan berjaya menghentikannya daripada dilakukan secara berulang-ulang, kita akan berjaya menghapuskan habit kita itu.

Senarai tabiat buruk

Sebelum kita perturunkan petua mudah ringkas dan semua orang boleh buat ,mari kita senaraikan dahulu antara habit buruk yang sering ada pada kita:

  1. Berbohong
  2. Mencuri barang orang
  3. Merokok, hisap ganja dan lain-lain sepertinya
  4. Bermalas tak bersenam
  5. Nganga depan TV sampai tak sedar dunia sekeliling
  6. Berborak kosong dengan kawan-kawan sampai lupa beli beras
  7. Mengadap depan komputer melayan FB, video game, blog, merayap internet, dan lain-lain seumpamanya sehingga tertinggal makan tengahhari dan malam.
  8. Minum arak
  9. Kerap melancap
  10. Mengendap orang mandi
  11. Baran ketika bawa kereta
  12. Potong barisan
  13. Mengata orang
  14. Mengutuk bagi orang marah
  15. Main judi, tikam ekor, beli loteri dan lain-lain
  16. Korek hidung depan orang ramai
  17. Gigit kuku sampai hampir kudung jari tangan

Kalau nak di senaraikan teramat panjang pula jadinya. Yang pentingnya kita mendapat gambaran apa habit buruk yang ada pada kita.

Buang tabiat buruk

Berikut saya perturunkan petua yang berjaya saya amalkan bagi membunuh amalan buruk tersebut atau sekurang-kurangnya mengawal tabiat buruk kita.

  • Langkah yang paling asas sekali ialah mengenal pasti apa habit buruk yang kita ada
  • Kenal pasti pula yang mana satu mahu kita hapuskan.
  • Limitkan habit yang kita jadikan amalan tersebut kepada bilangan nombor. Contohnya jika anda mahu berhenti merokok, limitkan bilangan rokok anda kepada hanya 10 batang sehari dan jangan tetapkan masa tertentu, ini akan mencetuskan masalah lain pulak, hanya limitkan bilangan.
  • Patuhi bilangan yang anda tentukan tersebut walau apapun yang terjadi.

Itu sahaja caranya.

Mudah bukan? dan ia memberikan kesan yang cukup hebat bagi membunuh amalan rutin kita tanpa kita merasa kehilangan sesuatu.

Minda tidak tertekan kerana kita masih boleh melakukan perkara kegemaran kita itu (walaupun ianya buruk). Lama kelamaan dan biasanya tak berapa lamapun, anda akan dapati tabiat buruk tersebut mudah untuk dikawal dan akan rasa kekuatan untuk meninggalkannya terus sahaja, anda sendiri yang akan menentukannya.

Untuk maklumat teknik tersebut di atas terbukti berjaya dan ia bukanlah rekaan saya sebaliknya diceduk daripada hasil kajian yang dijalankan di barat.

Selamat mencuba dan semoga berjaya.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge