Dalam artikel kali ini saya nak kongsikan beberapa prinsip penting yang anda perlu pegang dalam hidup, kalau nak berjaya dalam bisnes.

Kalau anda tak berpeluang untuk buat bisnes, masih terlekat dalam dunia kerja makan gaji, pun masih ok. Tak ada salahnya hidup dengan makan gaji. Malah itulah kerjaya yang paling ramai orang buat dalam dunia ini.

Prinsip penting ini juga masih tetap terpakai untuk diamalkan dalam hidup anda.

Saya tak mahu goreng panjang lebar untuk artikel kali ini. Harapannya, walaupun tak berapa banyak goreng untuk cuba mencerahkan maksud supaya lebih mudah difahami, anda tetap dapat ambil manfaat yang besar untuk mula diamalkan dalam hidup anda. Insyaallah.

Prinsip penting yang perlu anda pegang

Kesemua prinsip penting ini, saya himpunkan hasil dari menjalani kehidupan yang dah melepasi 5 siri. Mungkin agak terlewat untuk saya menemuinya. Kalau sejak muda lagi saya faham kesemua ini, tentu lebih mudah perjalanan hidup ini.

Tapi syukurlah, sekurang-kurangnya, saya berjaya juga jumpa dan memahami apa yang sudah dilalui selama ini. Lebih malang seandainya hidup dari muda sampai tua, sampai nazak masih tak jumpa apa-apa hikmah kehidupan untuk disebarkan menjadi pedoman pada yang masih muda.

Bila dah jumpa. Menjadi tugas saya pula untuk kongsikan dengan semua pembaca yang sudi mengikuti blog ini, terutamanya buat mereka yang masih muda dan rasa kehidupan sangat mencabar untuk ditempuhi.

Jika anda tidak amalkan, membuat refleksi segala kejadian dalam hidup anda, mencari sudut baru yang dapat dipelajari, memang sampai matipun, tak akan ada apa-apa yang boleh dipelajari. Hidup akan jadi sia-sia dimakan usia begitu saja tanpa ada apa-apa kebaikan terutamanya untuk diri anda sendiri.

Berikut saya kongsikan beberapa pegangan atau prinsip penting yang perlu anda pegang untuk berjaya dalam hidup ini.

#1. Kekayaan sentiasa lebih dari mencukupi

Secara umum, hanya ada dua prinsip yang biasanya dipegang oleh manusia kebanyakannya.

Satu golongan sentiasa berpegang, samada secara sedar atau tidak sedar, bahawa apa yang ada kat dunia ini tidak mencukupi untuk semua.

Jadi kena berebut. Siapa dapat terlebih dahulu, dia punya. Kalau lambat, dapat kat orang lain dan dia akan kehilangan semua peluang yang ada.

Prinsip tak mencukupi ini paling ramai yang orang pegang. Ada yang pegang secara sedar dan dia memang percaya dunia memang macam itu.

Ada juga yang tak sedar. Tapi segala aksinya, pemikirannya, jelas menunjukkan disudut hatinya terselit kepercayaan sedemikian.

Satu lagi golongan, yang tak berapa ramai sangat, percaya bahawa dunia ini ada kemakmuran dan kekayaan yang lebih dari mencukupi untuk semua orang yang ada dimuka bumi ini. Samada secara sedar atau tidak sedar, segala tndakannya, pemikirannya, menunjukkan dia percaya macam itu.

Hasilnya, dia tak kedekut, tak berkira, sangat ringan tulang, sangat bertolak ansur, sangat pemurah dan suka membantu. Paling penting, dia tak kelam kabut untuk berebut semua benda. Tak gelogoh dan tak pernah rasa takut kalau dia ketinggalan.

Prinsip penting inilah yang anda perlu pegang kalau nak berjaya.

Memang dunia ini, Tuhan jadikan segala isinya, antara langit dan bumi, lebih dari mencukupi untuk semua makhluk yang ada di muka bumi ini. Kalau setiap insan atas muka bumi ini kaya raya, aman makmur senang lenang, kekayaan dan kemakmurannya masih ada berlebihan banyak lagi.

Jadi jangan nak rasa takut kalau-kalau tak cukup. Jangan nak rasa cemburu kalau orang dapat dulu lebih banyak, dan rasa orang ambil hak anda. Tak ada asasnya untuk nak percaya macam itu.

Kalau orang lain dapat hidup senang lenang, dia berjaya cari jalan untuk mendapatkannya. Dia tak ambil bahagian anda pun sebenarnya. Masih ada bahagian anda yang masih tersembunyi menantikan masa yang sesuai untuk giliran anda pula.

Mungkin ada yang tak setuju dengan prinsip yang saya katakan ini. Sebab dia ada pengalaman, kononnya, orang lain naik dengan tikam belakang atau pijak kepalanya untuk naik ke atas.

Itu tandanya anda masih tak percaya. Sebab itu hidup anda masih susah dan tak ada apa-apa. Fikir semula. Betulkah orang pijak anda untuk naik atau anda sendiri secara tak sedar jadikan diri sebagai bahan pijakan.

Selagi ada pegangan dunia ini bersifat tak mencukupi untuk semua orang, selagi itu anda susah untuk berjaya.

#2. Dunia sentiasa berkembang, bukan menguncup

Baca sejarah, baca perkembangan dunia, baca perkembangan teknologi dan sains. Anda akan dapati dunia sentiasa berkembang membesar dan membesar kemakmuran dan kekayaannya.

Ambil contoh sejarah Teh dan Kopi sudahlah. Masa zaman sebelum perang dunia pertama dulu, Teh dan kopi adalah minuman segelintir kecil penduduk dunia saja. Kat Eroah umpamanya, orang Putih masa tu hanya mampu minum Teh atau Kopi mungkin setahun sekali saja untuk orang biasa.

Orang kayapun minum Teh atau Kopi dalam majlis tertentu saja. Ia bukan minuman awam yang diambil ikut suka masa dan ketika. Masa tu, mungkin ramai yang terfkir bahawa kalau semua orang minum Teh dan / atau Kopi, tentu tak cukup, habis terus daun teh dan biji kopi.

Tapi sekarang, semua orang di seluruh dunia mampu minum teh atau kopi. Itu minuman biasa untuk semua orang dari semua peringkat. Tak kira susah atau senang, kaya atau miskin, bangsawan atau marhaen.

Itu hanya satu contoh saja. Banyak lagi yang anda boleh perhatikan. Segala kemakmuran dan kekayaan dalam dunia ini, sentiasa berkembang dan bukannya menguncup. Hilang satu, akan muncul ganti yang jauh lebih bagus dan lebih meluas.

Buka mata dan lihat dengan mata hati anda. Jangan mengeluh dan jangan bersedih. Anda akan nampak bahawa dunia ini sentiasa berkembang dan bertambah kemakmurannya. Sentiasa cukup untuk semua yang hidup termasuk untuk diri anda sendiri.

#3. Jadi konduktor, bukan penebat

Oleh kerana dunia sifatnya sentiasa berkembang sebegitu, terpulang samada anda nak jadi pengalir yang menyumbang kepada perkembangan tersebut, atau jadi penebat yang membantutkan perkembangannya.

Jika anda bersedia, jadikan diri anda sebagai pengalir kemakmuran, maka anda akan berkembang seiring dengan perkembangan kemakmuran dan kekayaan dunia ini.

Jika anda jadikan diri anda sebagai penebat, jadi penghalang kepada apa saja aktiviti yang menggalakkan kemakmuran hidup, kemakmuran dan kekayaan akan tinggalkan anda. Kemakmuran dan kekayaan tak suka kepada penebat.

Bila anda ditinggalkan sebab lawan arus, maka jadilah hidup anda sukar, jadi bom jangka yang akan meletup di sana dan sini susahkan semua orang. Dan paling pasti, anda susahkan diri sendiri.

Untuk jadi konduktor yang baik, anda perlu jadi orang yang berguna. Banyak ilmu, bersifat ingin tahu, suka belajar, berfikiran positif, jadi penyumbang kepada penyelesaian masalah bukan pencetus masalah. Cari jalan dan bukan cari alasan dan lain-lain lagi sifat yang seumpama dengannya.

#4. Jangan risau untuk memberi

Kalau anda faham makna konduktor, anda akan faham bahawa sifat kedekut bukanlah amalan yang baik. Konduktor akan benarkan pengaliran tenaga melaluinya untuk disalurkan pula kepada bahan lain.

Apa yang masuk melaluinya akan keluar semula. Itulah kerja konduktor. Hasilnya sudah tentu ke arah yang mendatangkan manfaat.

Kalau dapat banyak duit, anda simpan dalam bank, dalam bantal, lansung tak guna, maka tak akan ada apa-apa manfaat yang akan terhasil. Kalau bisnes, kemut tak kongsi dengan orang lain yang turut sama menyumbang, alamat bisnes anda tak akan kekal lama.

Duit banyak, kemut tak belanja anak isteri, saudara mara dan masyarakat yang memerlukannya, anda dah mula jadi penebat kepada kemakmuran dan kekayaan.

Jadi, jangan nak berkira sangat. Pastikan apa yang masuk, sentiasa dialirkan keluar semula apabila dah kenal pasti mendatangkan faedah dan manfaat.

#5. Tumpu pada perkara yang betul dalam hidup

Anda sentiasa ada dua pilihan dalam cara melihat kehidupan anda sekarang.

Samada nak tengok apa yang tak kena dalam hidup anda, atau pilih untuk melihat apa yang kena dalam kehidupan anda sekarang.

Pilih mana satu, dan sudah pasti anda akan sentiasa temui senarai panjang untuk setiap satunya.

Pilihlah untuk lihat apa yang kena, fokus pada perkara tersebut. Anda akan mula jadi manusia yang bersyukur.

Apa saja yang anda ada, samada untuk berkembang dan membesar, bergantung kepada pilihan yang anda buat sekarang.

Jika anda fokus pada apa yang kena dalam hidup anda sekarang, maka semua yang kena dan betul itu akan mula merebak dan membesar. Lebih banyak yang betul dan baik akan berlaku pada kehidupan anda sekarang.

Kalau anda fokus pada apa yang tak kena, maka segala yang tak kena itu akan membesar dan berkembang juga, semuanya jadi lebih tak kena. Anda akan jadi lebih kusut dan merosot.

Jadi, sentiasa pilih untuk lihat apa yang kena dalam hidup anda.

#6. Yakin semuanya akan berakhir dengan baik

Cuba tengok sekeliling. Cuba semak semula kehidupan anda sendiri.

Anda pasti dapat lihat bahawa, apa saja keadaan yang berlaku, apa saja masalah yang terjadi, kesemuanya akan berakhir dengan baik.

Susah yang amat sangat satu ketika dahulu, anda tahan, cari jalan dan sabar menempuhinya, akan berakhir dengan baik juga bila tiba masanya.

Malah, segala masalah yang anda pernah hadapi satu ketika dahulu, sebesar manapun, hanya dengan kesabaran, sedangkan tak ada apa-apa usaha yang anda cubapun, akhirnya berakhir dengan baik juga bila tiba masanya.

Jadi, percayalah, jika anda sedang hadapi masalah, sekusut manapun, sebesar manapun, masih tak nampak jalan .. itu cuma nak beritahu bahwa ianya masih belum berakhir lagi. Sabarlah. Sebab bila ianya berakhir, ia akan berakhir dengan baik.

Kalau anda masih susah. Buat bisnes apapun masih tak jadi. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Sabar saja sebab memang macam tu pun benda yang masih belum berakhir. Yakinlah, bila ianya berakhir nanti, semua akan berkesudahan dengan baik.

Jadi apa nak rosoit sangat ! Sabar !

Itulah yang dapat saya kongsikan setakat ini.

Sungguh! bila saya renung semula semua yang berlaku dalam hidup saya, semua yang berakhir, akan berakhir dengan baik.

Mungkin ada sesetengah perkara, anda rasa ia sepatutnya berakhir bukan macam tu. Anda rasa sepatutnya, ia lebih baik. Tapi hakikatnya, itulah yang terbaik ketika masa itu.

Sekarang, dan apa yang akan berlaku di masa yang mendatang tak ada sesiapa yang tahu.

Apa yang anda boleh yakin dengan pasti, ianya akan tetap berakhir dengan baik. Insyaallah! Jadi relaks dan teruskan kehidupan sehingga ke noktah terakhir anda.

Moga perkongsian kali ni ada manfaatnya untuk anda yang sudi membaca.

Total
56
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge