Bosan dengan tempat kerja?

Bosan dengan tempat anda tinggal sekarang?

Bosan dengan kawan-kawan yang anda ada sekarang?

Bosan dengan apa yang anda buat sekarang?

Mungkin itulah yang sedang anda hadapi. Anda rasa tak ada peningkatan dalam kerja atau bisnes yang sedang diusahakan.

Anda mahu berjaya, mahu hidup selesa. Mahu cari kekayaan …

Tetapi malangnya, anda rasa tempat di mana anda berada sekarang tak menjanjikan sesuatu yang boleh diharapkan.

Anda juga rasa orang sekelilimg yang ada sekarang tidak membantu dan tidak memberikan kerjasama yang anda inginkan. Boss macam @#$%!!!.

Anda rasakan hanya ada satu saja jalan keluar.

Elok pindah saja ke tempat lain. Mungkin di sana nanti anda akan temui tempat, orang dan suasana sekeliling yang kondusif untuk diri anda menjadi orang yang cemerlang.

Kalau itulah yang sedang anda rasakan. Sebelum nak pindah randah dari satu tempat baru ke satu tempat baru yang lain. Elok cuba baca cerita di bawah terlebih dahulu. Mungkin cerita ni dapat membuatkan anda fikirkan semula solusi lain yang lebih sesuai dan berkesan.

Pemuda yang mahu pindah ke tempat dan keadaan baru

Pada satu ketika dahulu, di satu tempat yang sibuk, ada seorang pemuda yang sedang mengembara. Pemuda itu mahu mencari kemakmuran dan kesenangan hidup yang lebih baik. Dia mahu masuk mencuba nasibnya di satu penempatan yang baru.

Bermulalah perjalanannya dari satu tempat ke tempat yang baru dengan harapan untuk bertemu dengan satu tempat yang paling sesuai untuk dia tinggal dan berusaha mencapai impiannya.

Ketika dalam perjalanan menuju ke pintu masuk ke satu daerah yang baru, dia bertemu seorang tua yang bijaksana. Orang tua itu kebetulan baru saja keluar dari tempat yang pemuda itu mahu tuju.

Lalu bertanyalah pemuda itu kepada orang tua yang bijaksana itu.

“Wahai Pakcik boleh saya dapatkan sedikit maklumat tentang tempat yang baru Pakcik tinggalkan tadi” tanya pemuda itu.

“Silakan, apa yang kamu mahu tahu tentang tempat tersebut?”, jawab orang tua itu.

“Bagaimana keadaan tempat itu Pakcik?, bagaimana keadaan penduduknya, adakah mereka makmur? bolehkan saya temui kemakmuran dan peluang yang baik di situ?”, tanya pemuda itu dengan penuh rasa ingin tahu.

“Sebelum pakcik jawab, bolehkan kamu beritahu terlebih dahulu bagaimana keadaan tempat terakhir yang telah kamu tinggal sebelum ini?” tanya orang tua itu sambil memandang mata pemuda tersebut dengan penuh rasa ingin tahu.

“Ahhh! tidak ada apa-apa peluang yang menarik di tempat terakhir yang saya tinggal sebelum ini. Orangnya tidak mesra alam.”

“Masing-masing sibuk dan tamak dengan hal mereka sendiri sahaja.”

“Penduduknya juga sentiasa bersikap curiga terhadap semua orang yang mereka jumpa. Mereka memang tidak suka dengan kehadiran orang baru, sombong dan tidak boleh diharap. Tidak ada apa-apa yang baik saya temui di sana.”, jawab pemuda itu dengan nada yang kecewa.

“Sebab itulah saya angkat kaki keluar dari tempat tersebut. Saya tidak akan ke sana lagi selepas ini”, sambung pemuda itu lagi.

Mendengar jawapan dari pemuda itu, orang tua itu diam sebentar sambil anguk-angukkan kepalanya.

“Pakcik rasa, elok kamu tak payahlah masuk ke tempat yang mahu kamu tuju itu. Kamu akan bertemu dengan jenis orang yang sama saja dengan mereka yang kamu temui sebelum ini, seperti yang kamu gambarkan tadi”, jawab orang tua itu dengan perlahan dan terus berlalu pergi meninggalkan pemuda itu.

Selepas tidak berapa jauh ke depan, orang tua itu bertemu pula dengan seorang lagi pemuda lain. Pemuda itu juga sedang menuju ke tempat yang pakcik itu baru keluar.

Pemuda itu juga menahan orang tua itu untuk bertanyakan soalan yang sama.

“Pakcik, bagaimana keadaan penempatan yang baru pakcik tinggalkan di sana tadi. Bagaimana penduduknya, bagaimana suasana tempat itu, bolehkah agaknya saya temui kemakmuran dan peluang yang baik di sana?” tanya pemuda itu dengan penuh hormat.

Orang tua itu terus saja menjawab dengan soalan yang sama.

“Kamu beritahulah terlebih dahulu pada pakcik, bagaimana keadaannya di tempat terakhir yang kamu tinggal sebelum ini?”, tanya orang tua itu.

“Owh! tempat yang saya tinggal sebelum ini, penduduknya sangat baik hati. Mereka sangat pemurah dan sangat saling bantu-membantu.”

“Mereka juga tidak kemut dengan peluang dan sentiasa sanggup berkongsikan kesenangan dengan orang lain walaupun dengan orang yang baru mereka kenal.”

“Banyak peluang dan kekayaan yang telah saya nikmati di sana. Saya akan pastikan untuk ke sana semula pada masa yang akan datang.” Jawab pemuda itu dengan penuh semangat.

“Owh! kalau begitu, pakcik rasa, eloklah kamu segera masuk ke tempat yang kamu tuju itu sekarang. Kamu akan bertemu dengan budaya penduduk yang sama seperti tempat kamu tinggal sebelum ini. Kamu sudah tentu akan temui kemakmuran dan kejayaan yang sama banyak dengan yang telah kamu kecapi”, jawab pakcik itu sambil tersenyum lalu menepuk bahu pemuda itu dan berlalu.

Ke mana saja anda pergi disitulah anda berada

Dari cerita di atas, anda boleh perhatikan jawapan berbeza pakcik tua kepada dua pemuda yang berbeza terhadap satu tempat yang sama.

Semuanya bergantung kepada kesedaran yang terbentuk di dalam pemikiran yang anda bawa sekarang.

Bagaimana anda melihat, merasa, mendengar, membaca dan menghayati segala keadaan yang berlaku di sekeliling anda tetap akan sama saja walaupun di mana saja anda berada.

Anda boleh saja bertukar kerja, tukar empat tinggal, tukar jiran, tukar kawan, tukar bisnes, tukar pasangan hidup …

Selagi anda tidak berhenti sejenak dan muhasabah apa yang ada dalam diri anda itu, selagi itulah anda akan temui perkara yang sama di mana saja, dengan siapa saja yang anda jumpa.

Tiada perubahan walau pindah ke tempat baru

Sepanjang saya hidup dan berkenalan dan berkawan dengan ramai orang, saya sudah perhatikan perkara yang sama seperti yang digambarkan dalam cerita di atas tadi.

Ada kawan saya yang sudah lama saya kenal. Ketika di kampung dia buat berbagai kerosakan. Pinjam duit dan tak bayar dengan hampir kesemua kawan-kawan yang dia kenal.

Timbulkan masalah dengan apa saja urusan yang dia buat. Akhirnya buat keputusan untuk berhijrah dengan harapan dapat mengubah nasib dirinya. Itulah harapannya. Itu jugalah harapan kawan-kawan yang ada.

Setelah itu dia berhijrah ke tempat lain, mulakan kehidupan yang baru di tempat yang baru dengan lingkungan kawan-kawan yang baru.

Tak payah tunggu lama.

Dalam masa beberapa tahun saja, dia mula buat hutang yang baru. Dengan kawan-kawan yang baru. Timbulkan kerosakan demi kerosakan dengan apa saja aktiviti yang diceburinya di tempat yang baru.

Tak ada perubahan berlaku terhadap dirinya sendiri. Semua sama saja. Tindakan yang sama keluar dari dirinya secara spontan. Cuma kali ini di tempat yang berbeza dan dengan kawan-kawan yang lain pula.

Mungkin satu hari nanti dia akan pindah ke India pula.

Saya yakin, kalau dia tidak berusaha muhasabah dirinya sendiri. Mengkaji apa yang tak kena, jauh di dalam otak dan akal fikirannya itu, dia akan timbulkan masalah yang sama samada di India atau di China.

Banyak yang anda sendiri boleh lihat. Jiran yang berpindah randah dari satu taman ke satu taman. Kalau dia seorang yang kaki buat musuh dengan jiran, di mana saja taman dia tinggal, sudah pasti ada saja jiran yang jadi musuh barunya.

Kawan-kawan yang ada banyak masalah di tempat kerja, semua orang tak betul, boss tak betul, orang atas tak betul orang bawah tak betul. Di mana saja dia pindah kerja yang baru, masalah yang sama akan di bawanya.

Orang yang tukar dari satu bisnes ke satu bisnes yang lain. Ada saja masalah dalam bisnes yang dia buat. Itu tak kena, ini tak kena, pelanggan mangkaq, pesaing bangang, kawan bisnes dengki dan macam-macam lagi. Apa saja bisnes yang dia buat, perkara yang samalah akan ditemuinya.

Apa yang anda bawa, itulah yang akan anda keluarkan. Walau di mana saja, dengan siapa saja ..

Anda pula bagaimana?

Total
87
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge