Anda dan saya masuk dalam kategori manusia zaman moden.

Salah satu perangai pelik yang manusia zaman moden ada adalah, perangai suka beli, ambil, simpan atau miliki berbagai-bagai barang yang tidak diperlukan.

Barang tak perlu itu maksudnya, kalau tak adapun tak apa.

Dalam satu kajian yang disiarkan pada tahun 2014, purata sebuah rumah di Amerika ada memiliki sebanyak 300 ribu barang!.

Dari sekecil-kecil barang seperti klip kertas sehinggalah barang besar seperti meja buruk. Baca laporan lama ni kat sini.

Kalau rajin, cubalah kira tengok berapa banyak barang yang anda simpan dalam rumah tu. Saya yakin skru dan nut lama saja mungkin dah ada beratus-ratus biji dalam bekas cawan lama. Nak buang sayangggg … !

Saya juga yakin tentu akan ada lebih dari 10 ribu barang. Itu kira sikitlah !

Walaupun dah banyak kali cuba pujuk dan yakinkan diri sendiri bahawa kebahagiaan tak datang dari aktiviti memiliki barang. Tapi sekejap saja peringatan itu akan dilupakan. Terkandas lagi beli dan tambah barang kat pejabat atau kat rumah.

Bila pergi window shopping, tertengok barang menarik, ditawarkan dengan harga yang sangat murah pulak, maka mudah saja untuk terperangkap, lalu membelinya.

Antara keperluan dengan keinginan

Bila dah lalui pengalaman berniaga sendiri, saya mula nampak ada 2 jenis barang atau perkara yang orang jual.

  • Barang keperluan – Semua barang atau perkara yang sangat terdesak untuk dimiliki. Secara umumnya, barang keperluan asas untuk hidup masuk dalam kategori tersebut. Makanan contohnya. Merupakan barangan keperluan. Tapi makanan diperlukan hanya bila lapar. Kenderaan hanya perlu bila nak ke destinasi yang ditentukan.
  • Barangan keinginan – Namapun dah boleh faham apa makna barang yang berasaskan keinginan ni. Teringin saja. Kalau ada, manusia akan rasa macam seronok dan dapat puaskan hatinya. Kalau tak ada, tak berat sangat kesan dan akibatnya. Semuanya hanya mainan emosi saja. Kerusi kereta diperbuat dari kulit boleh dijadikan contoh sebagai barang keinginan.

Kenapa saya bezakan antara dua benda atau perkara tersebut?

Sebab nak cari jalan bagaimana nak pasarkan perniagaan yang saya jalankan. Cara yang berkesan untuk tingkatkan jualan perniagaan yang saya jalankan.

Saya cuba bandingkan aktiviti pemasaran dan jualan berbagai jenis perniagaan yang ada sekarang. Samada di internet atau di luar sana.

Ramai pakar atau guru teknik pemasaran dan jualan yang muncul terutamanya dalam dunia cyber. Mereka tawarkan kursus bagaimana nak tingkatkan jualan perniagaan yang dijalankan secara online atau offline.

Yang luangkan masa dan laburkan duit untuk ikuti kursus tersebut memang ada yang berjaya. Bukan sedikit. Hasil dari kursus, mereka aplikasikan dalam perniagaan. Lalu berjaya buat beratus-ratus ribu ringgit. malah ada yang buat jutaan ringgit.

Saya hairan dan pelik bagaimana mereka buat semua itu?

Bisnes barang keperluan berasaskan masalah

Bila saya perhatikan, baru nampak kenapa perniagaan yang saya buat, yang fokus kepada barang keperluan, tak sama dengan bisnes yang mereka buat. Mereka fokus pada barang keinginan.

Contohnya begini.

Katakan anda buka bengkel servis dan repair kenderaan. Siapa yang akan pergi bengkel kenderaan anda?

Sudah tentu mereka yang ada masalah dengan kenderaan. Samada tak boleh start enjin atau rosak tak boleh digunakan seperti biasa.

Dalam kes sebegitu, anda perlu selesaikan masalah yang sedang dihadapi. Itu bukan kes nak dapatkan barang atau khidmat berdasarkan keinginan. Itu dah jadi kes barang keperluan.

Kat situlah masalahnya.

Hanya orang yang rosak kenderaannya sahaja yang akan gelabah cari bengkel.

Terlalu pelik untuk berjumpa dengan orang yang tak ada apa-apa masalah kerosakan dengan kenderaannya pergi masuk dan keluar bengkel kereta untuk baiki kereta yang tak ada apa-apa masalah.

Atau anda mungkin buat bisnes pest control.

Pelanggan yang tiba-tiba rumahnya diserang anai-anai saja yang akan kelam kabut cari syarikat pest control. Dia perlu selesaikan masalah itu bila ianya datang.

Perniagaan macam itu masuk dalam kategori perniagaan yang ada permintaan hanya apabila pelanggan hadapi masalah. Kalau tak ada masalah, sehebat manapun aktiviti pemasaran dan teknik menjual yang anda pakai, tidak akan mampu membawa orang masuk.

Hanya orang gila sahaja yang akan pergi kedai tayar suruh orang tampal tayarnya yang tak bocor!

Bisnes barang keinginan tak bergantung pada masa

Cuba bayangkan pula satu lagi jenis perniagaan.

Perniagaan yang menjual barang atau khidmat yang memenuhi keinginan pengguna.

Perniagaan sebegitu muncul terlalu banyak macam cendawan lepas hujan. Masuk era internet ni lagi bertambah laju kemunculannya.

Ubat kuat, krim cantik, beg kulit terkini, tudung secantik nelofa, aksesori kereta dari thailand, rim tayar K-Pop, sapu-sapu putih, beg tangan luar negara, tali jam kulit buatan tangan, batu cincin kecubung rangi …. entah apa lagi produk dan servis yang anda boleh bayangkan. Semuanya ada.

Ini semua produk yang berasaskan keinginan.

Bukan wajib ada. Tak adapun tak apa.

Tapi jenis barang yang macam inilah yang berkali ganda banyaknya berbanding barangan keperluan.

Kenapa jadi banyak macam tu?

Sebab terbukti ianya lebih mudah untuk dijual berbanding produk yang hanya diperlukan bila masalah datang. Macam yang saya berikan contoh kat atas tadi.

Saya akan terdorong untuk beli tali jam kulit buatan tangan kat Lazada bila nampak tali tu cantik. Sedangkan tali jam yang ada sekarang masih boleh digunakan tanpa ada masalah.

Itu contoh yang mudah nak tunjuk bagaimana anda lebih mudah terdorong untuk beli barang berasaskan keinginan berbanding beli barang berasaskan keperluan.

Kemahiran ilmu pemasaran dan jualan yang menggabungkan pengetahuan emosi manusia terkini berjaya menipu manusia moden untuk beli banyak barang yang tak diperlukan.

Nak tipu orang pergi baiki kereta yang tak rosak adalah hampir mustahil untuk dilakukan, melainkan anda tipu kata kereta dia rosak.

Tapi nak pujuk orang beli beg tangan baru buatan kulit original yang sudah pasti dapat membuatkan kawan-kawan puji, adalah jauh lebih mudah.

Peniaga buat gambar yang sangat menarik. Buat pakej yang sampai meleleh air liur. Tengok packaging saja dah meleleh.

Dipermudahkan pulak cara pembayaran. Dikatakan pula harga biasa RM450 … sekarang … RM99 sahaja !!!

Andapun tertipu dengan mainan emosi anda sendiri.

Lagi pula, tak ada orang yang akan kata anda gila beli beg tangan kulit baru walaupun beg kulit tahun lepas yang anda beli masih boleh dipakai tanpa ada sedikitpun cacat.

Tapi orang akan kata anda gila pergi kedai suruh tampal tayar kereta anda yang tidak bocor !

Buang barang yang tak diperlukan

Panjang lebar nak saya cerita bagaimana anda berakhir dengan kumpulkan beribu-ribu barang yang hakikatnya lansung tidak diperlukan.

Saya cerita begitu supaya anda tak akan tertipu lagi selepas ini dengan segala teknik pujuk rayu yang datang bertubi-tubi dalam kehidupan anda untuk beli barang yang tak perlu.

Jika anda dah lama amalkan budaya hidup minimalis tahap ekstrim macam di Jepun, mungkin anda sudah terselamat dari terjebak dengan budaya beli dan simpan seribu satu macam benda yang tak perlu.

Tapi kalau anda masih normal macam saya dan ramai lagi orang lain, anda sudah tentu ada simpan terlalu banyak barang.

Tak perlu rasa bersalah. Jadikan ini satu peluang untuk ubah hidup dan tukar cari berfikir ke arah yang lebih waras.

Anda hanya perlu kumpulkan kesemua barang tersebut, dan buang kesemua barang yang tidak diperlukan.

Bagi mereka yang masih lagi leka asyik dok fikirkan nak beli barang yang masih tak ada, elok ubah pemikiran tersebut secara terbalik.

Anda boleh fokus kepada buang terlebih dahulu sebanyak mungkin barang yang ada.

Lebih menarik bukan?

Segarkan minda buang barang tak perlu

Cakap saja untuk buang semua barang yang tak diperlukan memang mudah. Tapi cuba anda buat tengok. Anda akan hadapi kesukaran yang agak mencabar emosi.

Gambar lama buruk yang kelabu, nak tengok pun susah. Masih ada dalam simpanan anda selama berpuluh tahun sedangkan kali terakhir anda buka dan tengok gambar tu mungkin 10 tahun sudah. Itupun susah nak buang!

Puncanya adalah ikatan emosi yang terbina anda gambar itu dengan memori jauh disudut hati anda. Anda bukan saja simpan gambar buruk tu. Anda juga simpan segala cerita pahit manis yang berkaitan dengan gambar tersebut. Anda masih diikat dengan memori lalu yang dah lama dan basi.

Itu baru gambar.

Ada berpuluh ribu lagi benda kat rumah atau pejabat anda.

Bayangkan bebanan memori yang anda terpaksa simpan secara tak sedar semak berserabut di dalam minda. Kisah suka duka. Kisah kecik hati. Kisah frust bercinta. Kisah dihina. Kisah kegagalan. Dan berpuluh lagi kisah samada baik atau buruk.

Seandainya anda berikan tumpuan untuk pergi ke hadapan yang lebih segar dan baru, anda perlu buang semua kisah lama yang menghalang kemasukkan ilmu dan pemikiran baru ke dalam minda.

Jadi mulakan dengan aktiviti membuang semua benda  atau barang yang anda tak perlu terlebih dahulu.

Selamat menahan emosi … !

Nota: Saya gunakan perkataan buang kat sini bukan bermaksud buang dalam tong sampah. Maksudnya adalah nyahkan dari pemilikan anda. Ada banyak cara nak buang dari pemilikan. Sedekah atau hadiahkan pada orang yang memerlukan adalah cara terbaik. Jual juga cara yang baik. Jalan terakhir sahaja baru pertimbangkan untuk buang.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge

%d bloggers like this: