Semua perangai anda bergantung pada keadaan

By | 15/02/2017

Tahukah anda bahawa semua perangai anda amat bergantung pada keadaan di mana anda berada ?

Mungkin ramai yang tahu tapi tak sedar dan tak ambil peduli.

Dari dulu kita mudah sangat labelkan seseorang itu secara umum. Orang itu pemalu, orang itu mulut laser, orang itu pendiam dan macam-macam lagi seumpamanya.

Saya pun percaya macam tu jugak.

Orang kata saya ni pendiam, dan saya percaya.

Lebih teruk lagi, saya ulang ayat yang sama berkenaan diri saya berdasarkan apa yang orang kata tu. Tapi saya selalu terlintas kesahihan perkara tersebut setiap kali bersama dengan kawan-kawan rapat.

Bila bersama kawan rapat, saya akan jadi antara orang yang paling banyak bercakap. Di kala itu saya mula terfikir semula tentang sikap saya.

Tetapi semua itu akhirnya diabaikan saja dan dipendamkan dalam pemikiran.

Perangai bergantung pada keadaan

Semua persepsi tentang sikap atau perangai saya yang dikatakan begitu dan begini mula hilang bila saya mula faham duduk perkara sebenar.

Banyak kajian menunjukkan bahawa semua manusia sebenarnya punya perangai dan perwatakan yang berbeza bergantung pada keadaan.

Maknanya sikap atau perangai umum seseorang itu bukanlah sesuatau yang tetap. Tak ada orang yang pendiam dalam semua keadaan. Kecuali orang bisu yang tak ada suara.

Dalam kes saya tadi, saya pendiam bila bersama dengan keluarga (selain dengan ibu saya). Saua juga pendiam jika bersama dengan orang baru yang saya kenal dan saya hormati.

Bila bersama dengan orang yang dikenali rapat, saya banyak bercakap. Bila dengan mak, saya juga banyak bercakap. Begitu juga dengan orang yang baru saya kenal, yang pandang rendah pada saya, saya akan bertindak agresif menyerang segala kata-katanya yang salah menyentuh tentang pemikiran saya.

Manusia semua unik

Boleh dikatakan artikel ini adalah lanjutan dari artikel lalu yang saya kata bahawa semua manusia adalah unik secara individu.

Hakikat bahawa semua orang punyai perangai dan sikap yang berbeza bergantung pada keadaan membuktikan keunikan ini.

Bayangkan begitu banyak pemalar yang berupa keadaan semasa di mana seseorang itu berada, dapat menentukan sikap atau tindakan seseorang itu. Kemungkinan untuk semua orang punyai sikap atau perangai yang sama dalam semua situasi adalah terlalu nipis.

Oleh itu, anda dan saya serta semua orang adalah unik.

Kenali perangai dan diri anda

Dulu masa kanak-kanak, selalu dengar orang tua-tua alim kat masjid selalu ulang sebuat ayat, ” kenali diri sendiri, kalau nak kenal Tuhan“.

Ramai orang yang condong ke arah sufi suka ayat ini.

Dalam buku Sun Tzu The Art of War juga terkenal dengan kata-kata, ” kenal diri, kenal musuh anda, dalam seratus pertempuran sekalipun tak akan kalah… “.

Sekarang saya rasa lebih faham apa maksud sebenar semua ayat tersebut.

Lebih tepat anda kenal diri, lebih mudah untuk menguasai sesuatu ilmu. Sebab semua orang punya cara yang unik untuk bertindak dan mencerna apa yang berlaku.

Bagi orang yang otaknya menyala terang bila lihat gambar, pastikan kalau nak belajar sesuatu gunakan teknik bergambar.

Bagi orang yang otaknya menyala terang bila dengan bunyi pula, pastikan guna pendekatan bunyi untuk belajar ilmu yang nak dikuasai.

Cuba kenali diri anda sekarang

Cuba ingat kembali apa yang orang labelkan tentang diri anda selama ini. Dan anda pula percaya dan simpan dalam hati perkara tersebut.

Katakan orang kata anda jenis pemalas.

Cari beberapa keadaan di mana anda amat rajin dan buat kerja lebih daripada biasa. Tentu anda akan jumpa keadaan itu.

Cuba perhatikan keadaan tersebut. Dengan siapa, waktu mana, bagaimana emosi anda ketika itu, apa matlamat yang ak dicapai, apa motivasi anda dan lain-lain lagi perincian keadaan.

Jika anda perhatikan, sebaik saja berlaku semua keadaan tersebut, sikap malas anda terus hilang. Anda bertukar jadi rajin. Dan kalau orang tengok diri anda ketika itu, pasti semua orang kata anda jenis seorang yang rajin pula.

Oleh itu, kalau anda nak capai sesuatu yang memerlukan sikap diri yang rajin untuk mencapainya. Wujudkan keadaan yang sama, maka anda pasti akan bertukar jadi rajin.

Bukti kajian perangai bergantung keadaan

Sebenarnya banyak kajian yang dilakukan oleh para penyelidik terutama dari kalangan para psikologi yang membuktikan apa yang saya kata ini.

Kita ambil satu kajian yang amat terkenal terutamanya dalam buku motivasi. Kajian tentang kanak-kanak dah Marshmallow.

Anda yang kaki membaca tentu dah pernah baca tentang kajian ini.

Bagi yang tak pernah dengar, ia merupakan satu kajian di mana kanak-kanak diuji sikap tahan diri mereka terhadap Marshmallow. Kajian ini dicetuskan pada mulanya 40 tahun dahulu oleh pakar psikologi bernama Walter Mischel, dari Universiti Columbia.

Semua kanak-kanak amat suka makan gula-gula marshmallow ni. Jadi daya tahan yang amat kuat diperlukan untuk membuatkan mereka tak ambil dan masukkannya ke dalam mulut.

Secara ringkasnya, kanak-kanak berumur antara 3 ke 5 tahun di letakkan dalam bilik bersama seorang dewasa bersama dengan sebiji marshmallow setiap seorang.

Orang dewasa itu beritahu pada mereka, siapa yang tak makan marshmallow ini sepeninggalan saya, sehingga saya datang masuk semula, akan dapat satu biji lagi marshmallow. Kemudian orang dewasa itu keluar dari bilik.

Para pengkaji duduk dari luar pantau setiap orang kanak-kanak tersebut. Masa yang diambil untuk mereka tahan tak makan dicatit. Ada kanak-kanak yang tak tahan lama, terus makan. Ada kanak-kanak tahan lama dan sabar menunggu sebab nak dua biji.

Rumusan dari kajian tersebut, apabila kesemua mereka dipantau dan diikuti perjalanan dan pencapaian kehidupan mereka selepas itu, lebih lama kanak-kanak itu bertahan, lebih berjaya dan baik pencapaian hidup mereka.

Dari kajian itu, rumusan dibuat secara umum tanpa melihat kenapa kanak-kanak tahan diri dan kenapa ada yang tak tahan.

Satu kajian lagi dibuat terhadap kumpulan kanak-kanak. Kali ini dalam dua keadaan berbeza. Satu keadaan orang deasa yang bersama mereka pamerkan integriti boleh dipercayai. Satu keadaan lagi pula mereka bersama seorang dewasan yang tak ada integriti.

Bagaimana nak pamerkan orang dewasa yang boleh dipercayai atau tidak boleh ?

Mereka biarkan orang dewasa itu bersama dengan kanak-kanak dalam kelas seni upamanya. Orang dewasa itu janji nak pergi ambil sesuatu untuk kanak-kanak tersebut. Tapi bila dia kembali, dia tak bawa.

Satu lagi orang dewasa buat janji yang sama, tapi kali ini dia tunaikan apa yang dia janji.

Kemudiannya ujian marshmallow dijalankan untuk dua kumpulan kanak-kanak itu.

Sebagaimana yang dijangkakan, kumpulan yang bersama dengan yang dewasa boleh dipercayai punya ramai kanak-kanak yang mampu bertahan lama sabar tak makan marshmallow. Satu lagi kumpulan hanya seorang saja yang tahan sampai habis, yang lain belasah makan terus marshmallow mereka.

Ertinya keupayaan tahan diri bergantung pada keadaan.

Dalam kes tersebut, anda tak boleh kata kanak-kanak yang tak tahan diri dari makan marsmallow mereka sebagai kanak-kanak yang akan gagal dalam kehidupan mereka nanti. Ia terlalu salah dan keluar dari konteks sebenar kenapa mereka bertindak sedemikian.

Cari perangai baik anda dan pergunakan

Saya tak mahu cerita panjang sangat pasal bab ini. Cukup setakat apa yang diberikan di atas tu.

Percayalah cakap saya, anda ada terlalu banyak sikap dan perangai baik yang akan tercetus keluar apabila keadaan dan suasananya sesuai.

Jadi cari sikap itu dan cari bila ia keluar.

Bila dah kenal pasti, anda boleh mula menggunakannya untuk mencapai apa saja matlamat yang anda tetapkan. Yang pentingnya matlamat itu baik untuk diri anda dan juga untuk orang ramai.

Begitu juga anda ada perangai dan sikap yang buruk yang akan tercetus keluar bila kena suasana dan keadaannya. Hindari suasana dan keadaan itu, dan kehidupan anda akan lebih baik. Insyaallah.

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

3 thoughts on “Semua perangai anda bergantung pada keadaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge