Ini sambungan dari 2 artikel yang lalu berkenaan 3 tabiat paling penting wajib ada pada semua usahawan yang nak berjaya dalam perniagaan mereka

Saya dah berikan 2 tabiat dalam artikel yang lalu seperti berikut:

Kalau nak jadi usahawan, semangat kena tinggi. Lebih daripada kawan-kawan lain yang makan gaji.

Dengan semangat yang tinggi itulah yang buat anda berani laburkan masa, usaha dan harta yang ada untuk mulakan perniagaan. Biar apa orang nak kata, anda tetap berusaha sampai jadi.

Bila dah berani ambil risiko, janganlah pulak main hentam keromo, belasah berusaha tanpa ada perancangan dan daya tumpuan yang tinggi.

Semangat tinggi saja tak cukup.

Ramai yang berani ‘mati’ berhenti kerja, habiskan masa, tenaga dan duit ringgit untuk berniaga. Tapi akhirnya terkandas teruk sehingga susah nak pulih.

Puncanya adalah disebabkan main terjun, hentam ikut emosi dan rasa syok sendiri yang berlebihan. Tak ambil tahu mana yang tak penting dan mana satu yang amat penting.

Perlu gabungan kedua-dua tabiat

Bila anda berusaha menjayakan perniagaan, ada seribu satu kerja yang perlu dilakukan. Tak ada orang yang nak bantu jernihkan susun atur senarai kerja berdasarkan keutamaannya yang sebenar.

Malah semua orang akan berikan tekanan bahawa urusan yang berkaitan dengan dia adalah urusan paling penting di dunia ini.

Pembekal kata dia paling penting, pelanggan kata dia lebih penting, saudara mara juga kata begitu, macam tu juga kawan-kawan, jiran, bank, pihak berkuasa, pekerja, pembantu, penasihat tak diundang .. semua orang kata kerja dia paling penting !

Kalau ikut semua (maklumlah semangat anda tu tinggi!), setiap saat hidup dalam dunia perniagaan anda dipenuhi oleh tekanan kerja penting untuk semua orang yang terlibat.

Anda tak akan sempat nak guna otak untuk buat keputusan.

Kalau tak latih diri untuk uruskan masa dengan kerjaya berdasarkan keutamaannya, kalau tak ada daya tumpuan yang tinggi, anda akan hanyut dengan pantas.

Tabiat no. 3 – Bina jaringan sokongan

Ini tabiat no. 3.

Tabiat terakhir yang anda perlu ada, pupuk sampai jadi sebati dengan darah daging, kalau nak pastikan kemungkinan usaha perniagaan anda berjaya adalah tinggi.

Anda wajib paksa diri untuk pergi mengadakan sistem bantuan yang dapat memberikan segala sokongan dan pertolongan yang anda perlu dalam pelayaran anda menuju kejayaan.

Bila anda jadi usahawan, anda sebenarnya meletakkan diri dalam dunia yang terasing dan kesunyian. Tambah pulak kalau pasangan hidup tak mahu terlibat dengan apa yang anda usahakan.

Dari awal lagi anda akan rasa sunyi sepi melayang macam kapal angkasa rosak di angkasa. Walaupun secara fizikalnya anda dikelilingi oleh ramai orang, tapi hakikatnya tak ada orang yang nak dengar masalah yang anda hadapi.

Anda akan terpaksa berlakon, pakai topeng yang memberikan gambaran semuanya ok. Ya lah!, takkan nak buat muka sedih hilang keyakinan bila orang tanya pasal perniagaan anda.

Hakikat kedudukan perniagaan anda yang sebenar, anda sendirilah layan seorang diri di malam sunyi sambil merenung bintang di langit. Lebih-lebih lagi masa awal berniaga ketika semuanya dalam keadaan tidak pasti.

Jadi nak buat macam mana?

Bina sistem bantuan luar anda

Untuk keluar dari dunia sunyi dan gelap itu, anda perlu bina rangkaian sistem bantuan yang diperlukan supaya anda selamat dari menjadi murung teruk.

Perkara pertama yang anda perlu segera lakukan adalah dengan buat urusan yang ramai orang tak berjaya (lagi) tak suka ikut.

Perkara itu adalah mula pilih kawan berdasarkan kepentingan. Nyah semua kawan yang tak boleh bantu anda maju ke depan dan gantikan dengan mereka yang hanya bermanfaat.

Bab ini, ramai yang akan rasa meloya dan tak setuju dengan saya.

Tak sanggup nak singkirkan kawan-kawan lama, samada yang baik atau yang buruk. Tak sanggup dikatakan jenis pilih kawan, tak setia kawan dan lain-lain lagi yang sama buruk dengannya.

Isi masa dengan kawan yang betul

Untuk jelaskan masalah tersebut. Saya bukan suruh tinggalkan kawan-kawan negatif tak ada kepentingan tu terus. Erase nama mereka dari ingatan dan lupakan segala kenangan bersama yang lalu. Mana boleh buat macam tu!.

Anda tetap kawan dengan semua kawan yang anda kenal sekarang. Kalau mereka kesempitan perlukan bantuan kritikal, sudah tentu jadi tanggung jawab anda untuk berikan bantuan jika mampu.

Kalau mereka jemput makan kenduri tahlil, sudah tentu anda perlu pergi jika kelapangan.

Anda hanya perlu tambah masa dengan kawan-kawan yang bermanfaat dan kurangkan masa bersama mereka yang tak mendatangkan manfaat.

Itu saja, bukannya pangkah terus.

Buat semua kawan-kawan yang ada sekarang dan tandakan kawan mana yang paling banyak anda habiskan masa bersama. Tanda berdasarkan yang paling banyak masa sehingga paling kurang.

Fikirkan semula kawan paling lama anda habiskan masa tu samada dia memberikan manfaat yang anda perlukan untuk berjaya dalam urusan perniagaan dan kehidupan anda sejak 6 bulan yang lalu.

Contohnya jika kawan anda itu merupakan sumber idea, pencetus inspirasi atau banyak membuatkan anda tersedar ke bumi nyata, maka kekalkan kekerapa bertemu dengannya.

Tapi kalau kawan anda itu, hanya kaki buat lawak, dengan menjadikan orang lain sebagai badut untuk dilekehkan. Walaupun anda terbahak-bahak ketawa gembira. Walau pun anda juga sering tumpang tuang minyak naikkan api kerja tak berfaedah tu.

Elok kurangkan masa bersama dengannya. Tak akan membantu untuk melonjakkan segala usaha anda untuk berjaya.

Itu contoh antara 2 pangkal yang saya rasa boleh buat anda faham apa maksud saya.

Isi masa dengan bahan yang betul

Selain dari buat aktiviti menapis kawan-kawan, anda juga perlu tapis bahan-bahan sokongan lain yang banyak habiskan masa anda selama ini.

Maksudnya, lihat semula jenis buku, majalah, blog, akhbar, portal berita dan lain-lain seumpamanya. Yang banyak anda habiskan masa membaca dan melayarinya.

Buat juga senarai rancangan TV yang anda tonton.

Adakah bahan-bahan tersebut membantu untuk anda berkembang. Adakah bahan-bahan itu diperlukan untuk pastikan usaha anda lancar dan berjaya?

Semak satu persatu. Buat analisa secara jujur. Kalau tak ada faedah, singikirkan dari senarai keutamaan anda.

Contohnya anda jadi pembaca tegar Harakah. Tak pernah lepas beli dan sentiasa baca habis. Siap hafal lagi isu utama untuk dibahaskan di tangga surau selepas solat insya.

Adakah ia membantu perniagaan jual peralatan sukan anda?

Tentu anda sendiri boleh jawab.

Buat pengisian kekosongan semula

Kalau anda buat betul-betul apa yang saya sarankan kat atas tu. Sudah pasti akan ada banyak kekosongan yang perlu diisikan semula.

Perlu cari kawan baru untuk dihabiskan masa lebih kerap. Tambah lagi kalau kesemua 5 atau 6 orang kawan akrab yang anda ada sekarang jenis gossip politik 24 jam sampai bawa ke mimpi.

Perlu juga isikan bahan baru untuk digantikan dengan bahan yang tak mendatangkan faedah yang anda nak buang sekarang.

Tambah kawan dari kalangan usahawan yang berbeza industri. Cari mentor. Cari juga seorang role model yang anda kagum dan mula ikuti semua perkembangannya.

Fikir semula keperluan utama anda

Untuk isi kekosongan yang saya sebutkan kat atas tadi, anda perlu fikir betul-betul apa yang anda perlukan sekarang.

Samada dari segi ilmu, kemahiran atau bantuan lain seperti sokongan moral, tekanan positif dan seumpamanya.

Ilmu apa yang anda perlu tambah. Kemahiran apa yang anda perlu tingkatkan. Penasihat macam mana yang anda perlu cari dan sebagainya.

Dari siapa anda boleh dapat semua itu. Dari mana anda boleh rujuk untuk maklumat sebegitu.

Bila dah kenal pasti semua itu, anda boleh mula cari semula samada kawan, buku, majalah, portal dan sebagainya untuk dijadikan bahan sokongan dan bantuan untuk anda berjaya.

Anda juga boleh tambah lagi dengan aktiviti seperti seminar, kelas, forum, WhatsApp Group, FB Group dan sebagainya.

Dapatkan bantuan coach

Satu lagi cara mudah untuk mendapatkan bantuan dan sokongan adalah dengan menggunakan khidmat Business Coach.

Seorang coach yang baik mampu memberikan banyak bantuan terhadap keperluan anda untuk berjaya. Dia juga boleh mendorong dan memberikan tekanan supaya anda buat kerja sampai berjaya.

Pilih coach yang ada track record bantu orang lain untuk berjaya melalui program atau khidmat profesionalnya. Setakat dia mengaku seorang coach hebat belum tentu dapat membantu anda.

Pastikan coach yang fokus pada hasil. Bukan yang hanya sekadar kaki sembang kencang dan lebih fokus pada buat duit untuk kekayaan dirinya sendiri.

Ringkasan 3 tabiat wajib ada

Tamat sudah kesemua 3 tabiat yang anda perlu ada untuk pastikan supaya anda berjaya.

Bukan banyakpun. Hanya 3 sahaja. Tapi kesemuanya itu adalah senarai wajib ada. Tak ada pilihan kalau anda nak berjaya.

Memang ada banyak tabiat yang orang surah serapkan masuk ke dalam diri. Kalau anda rajinbaca buku, berbagai teori diberikan dalam bab tabiat ni.

Oleh sebab saya tak suka nak serabutkan diri sendiri dan juga kawan-kawan pembaca yang saya hormati, maka saya kongsikan konsep 3 tabiat hidup ringkas yang saya yakin sudah mencukupi.

Sila amalkan dan kongsikan kat sini bila dah berjaya nanti.

Total
34
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Kawan kawan yang tak berniaga takkan faham situasi orang berniaga. Cara mereka merancang hidup dan berbelanja pun tak sama. Sebab tu kena pilih kawan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge